Jumaat, 2 Disember 2016

Kopitiam

Memang hampir hari-hari aku makan tengahari kat Kopitiam.

Walaupun sepinggan nasi goreng adalah RM6.50.
Walaupun secawan kopi panas RM2.50.
Walaupun segelas teh tarik RM3.50.

Walaupun sebelah ofis tersergam elok kedai makan.

Bukan terasa bagus-bagus sampai perlu ke Kopitiam dan taknak ke kedai sebelah.

Tapi kerana kebersihan.

Beberapa kali selepas makan di kedai sebelah aku muntah-muntah, hampir demam dan lemah-longlai.

Beberapa kali juga bila beli makanan yang sama harganya berubah-ubah.

Lalu aku putuskan mahal beberapa ringgit lebih baik dari seharian penat lembik sedangkan kerja masih berbaki beberapa jam.

Dan begitulah.

P/S: Punyalah pesan makanan yang hampir sama sampaikan kadang tak perlukan menu.

Isnin, 7 November 2016

Kopi Secawan

Kopi secawan dia rapatkan ke bibir dan menghirupnya perlahan.

Rasa suam-suam panas air kopi dan pedas nasi goreng kampung yang baru dihabiskan tadi, bersatu dalam tekak, dan menghasilkan rasa lega serta puas hati.

Sambil tubuh pegun di sofa tipis restoren, mindanya menerawang jauh, bergentayangan ke belakang masa beberapa hari yang lepas.

Mengimbas semula bagaimana perasaan jadi penuh di hatinya, lalu melimpah keluar dari benteng yang tak tinggi mana, menzahirkan tekanan yang kerap dirasa sejak hampir setahun kebelakangan ini.

Mengenang bagaimana dia bukan sengaja menyusahkan hati-hati mereka yang ambil berat tentangnya, mereka yang dia juga ambil berat, mereka yang selalu di samping dia.

Keluhan terluah lagi.

Otaknya rasa bejat memikirkan solusi.

Apa wajar dia tinggalkan satu-satu sumber rezeki (dan sumber kepada semua tekanan yang sedang dihadapinya) untuk dia sekeluarga dan depani apa saja halangan di depan dengan tulang empat keratnya?

Fikirannya rasa beku memikirkan bagaimana jawapan kepada semua persoalan yang sedang bebani pundaknya hari demi hari.

Sebahagian hatinya mahu lari dari masa sekarang.

Tapi sebahagian lagi pengecut untuk keluar dari zon selesa (yang semakin hampiri gaung bahaya).

Dia mengeluh lagi. Merenung bayangnya yang terpantul dari secawan kopi yang main kurang suhu panasnya.

Melihat bayang wajahnya yang berkerut dengan segala apa yang dinamakan masalah.

Apa perlu dia tinggalkan semua yang telah dia usahakan bertahun-tahun? Pengalaman yang telah dia timba akan jadi kosong andai dia melangkah pergi, justeru beranikah dia menapak keluar dari zon itu?

Tangkai cawan berisi kopi suam dicapai lagi. Dia bawa ke bibir berhati-hati, menghirupnya hingga habis.

Dia renung keladak hitam di dasar cawan. Terasa sama dengan fikirannya sekarang.

Gelap.




P/S: Di mana rasa berani itu pergi?

Selasa, 1 November 2016

CHATIK Collection

Berangan tak salah.

Dan alhamdulillah, angan-angan mat jenin aku rupanya berpeluang jadi nyata.

SARA Instant Shawl adalah keluaran pertama dari CHATIK Collection.

Instant shawl dua muka, sarung, sarung, kemaskan kanan dan kiri, siap!

Hampir dua bulan rupanya proses ni, dan ia sesuatu yang sukar untuk seorang yang banyak bergantung kepada orang lain seperti aku.

Menjahit tak pandai, tapi demi impian ni aku gagahkan juga.


P/S: Dan benarlah, langkah yang aku kira besar ni, masih terlalu banyak ranjaunya.

Sabtu, 29 Oktober 2016

Merisik

Balik kampung macam biasa di kala hujung minggu.

Balik-balik je rupanya dijadualkan ada rombongan datang merisik pada petang tu . Maka aku pun tumpang sekali lah meribut.

Lalu begitulah, cuti sekolah Mac tahun depan bakal menerima ahli keluarga barulah dalam keluarga mentua.


P/S: Tiada majlis pertunangan, hanya nikah dan sanding mungkin.

Isnin, 24 Oktober 2016

Go Go Go!!

Sound effect game StarCraft.

Go go go!!

Ia memacu semangat.

Terasa ingin rebah. Tapi begitulah hakikat. Perjalanan singkat di alam fana tapi seolah begitu panjang hingga lelah terasa di mana-mana.

Bekalan ke alam abadi entah kosong entah terisi.

Tapi aku putuskan beginilah.

Hati ni rasa lemah tapi aku akan terus menapak.

Selangkah demi selangkah biar lambat asal tak putus asa sendiri.

Kerana Allah itu ada. Di mana-mana. Bila-bila. Sepanjang masa.



P/S: Akan kudukung hasrat ini.

Sabtu, 22 Oktober 2016

Teh O Ais

Badan sama-sama penat dek perjalanan Temerloh-Gua Musang melalui Kuala Lipis eh bagai ular dipalu.

Justeru kami putuskan bungkus makanan balik makan jelah.

Singgah di satu kedai masakan panas ni, ada satu keluarga sedang menjamu selera.

Aku pesan dua jenis lauk dan nasi putih dua bungkus. Akak tu minta duduk dulu. Aku angguk, duduk dan keluarkan telefon dan mula main game Burger.

Selang beberapa minit salah sorang pekerja bawakan segelas teh o ais.

Yang tak ada dalam pesanan aku.

Sambil tersenyum dia meminta aku minum dulu sementara pesanan aku disiapkan.

Kedai ni biasa-biasa saja. Tapi layanan sebegini adalah kali kedua aku terima.

Dan walaupun lepas balik aku dapati ada kesilapan pada pesanan aku, rasa hampa tu tak begitu terasa, mengenangkan bagaimana mereka sedaya melayan pelanggan.

Dengan senyum dan penghargaan.

Oh ya, kali pertama adalah di McD/KFC Plaza Damansara - di mana mereka hulurkan segelas kecil air pepsi/coca cola - kerana fries sedang digoreng.

Silapnya aku hanya berterima kasih, walhal perkara semacam ini layak diviralkan.



P/S: Terima kasih korang.

Jumaat, 21 Oktober 2016

Tergendala

Baru je bersemangat meneruskan projek yang terbengkalai.

Eh eh. Ada lagi lah pulak halangannya. Apakah.

Makanya aku berehat bersama Kit Kat sekejap.

Kejap je. Aku tak putus asa lagi ni.

Nak buat. Akan buat.

Cuma dalam tempoh bertenang je dulu.



P/S: Mode tabah.

Ahad, 9 Oktober 2016

Syaitan the Devil

Dah nama syaitan, maka kerjanya menghasut je kan.

Banyak betul dajal-dajal syaitan ni dalam kepala aku.

Susah nak bernafas dibuatnya. Nak pandang orang rasa benci, nak tengok orang rasa menyampah, nak tenung lagi memang taklah.

Jangan kata pandang, dengar suara pun dah tak mampu.

Taktahu lah.

Susah hati aku macam ni. Macam mana nak terus hidup dalam suasana macam ni.

Ini lah yang selalu buat aku rasa nak putus asa.

Tapi, begitulah.



P/S: Meluah tak bermaksud aku mengalah. Aku akan berdiri selagi kaki mampu menongkah arus.

Ahad, 2 Oktober 2016

Maal Hijrah

Tahun berubah lagi.

Maka aku mengambil kesempatan untuk menanam azam baru.

1)Mahu kurangkan percakapan dan bebelan - kata seorang chef yang juga penulis, fokus pada apa yang kita dapat buat.

Maknanya, andai berlaku sesuatu kesilapan oleh orang lain, usah fokus pada kesalahan itu, tapi fokus pada apa yang kita boleh lakukan untuk perbaiki keadaan.

Nak fahamkan pun dah susah, nak buat tu tak pastilah.

Tapi aku akan cuba. Justeru, aku akan kurangkan perkataan andai ia tak perlu.

2) Lebihkan kasih sayang.

Untuk keluarga, dan keluarga. Untuk kawan takpe, sebab dengan kawan aku sangat sopan. Eh. Tapi dengan keluarga macam selalu kurang kasih sayang.

3) Kurang tak suka.

Kena kurangkan tak suka itu tak suka ini.

4) Solat awal waktu.

Ini sedang berusaha sedaya dapat. Semoga Allah kurniakan kekuatan.

5) Kreatif, yakin, percaya!

Aku tahu aku kreatif, aku yakin aku mampu, dan aku mahu percaya aku berdaya!


P/S: Walaupun azam bernombor, nombor hanya angka, bukanlah susunan keutamaan.

P/S/S: Mahu aktif berblog semula. Menulis akan membantu aku kurang luahkan kesakitan dalam bentuk percakapan.

Sabtu, 24 September 2016

"...Maaf mengganggu.."

Kerana mereka juga manusia yang punya keluarga.

***      ***      ***      ***

Bertahun-tahun di talian menerima pelbagai rungutan dan mendengar bermacam masalah, suara jerkah dan caci-maki semacam sesuatu yang biasa.

Justeru bilamana meninggalkan dunia panggilan tersebut, tak dapat tidak aku pun memerlukan mereka untuk selesaikan sesetengah perkara.

Kerana mereka adalah punya capaian yang hampir menyeluruh ke mana-mana jabatan, sedang aku hanya berada di dalam satu cawangan kecil.

Lalu, bila memerlukan mereka, ayat yang mampu membuat mereka selesa untuk membantu, adalah, maaf mengganggu. Bolehkah membantu?

Percayalah, mereka akan lebih gembira. Kerana mereka bakal membantu kita, maka apa salahnya pohon bantuan dengan memuliakan mereka?

Kerana aku juga satu masa dulu, terus terangnya amat sukar menerima ucap terima kasih, walhal sergah sumpah seranah amat mudah menjadi halwa telinga.

Lalu, biarkan aku jadi satu dalam seribu.



P/S: Aku janji, meski rasa marah melonjak-lonjak mahu dilempiaskan dengan lontaran suara, aku janji akan cuba sedaya menahannya. Kerana aku juga seorang yang punya keluarga.

Khamis, 22 September 2016

Dari Simpang ke Jalan Lurus

Dahlah dah lama tak menulis kat sini. Lepas tu bila tengok dalam setahun terakhir ni, post semua jenis-jenis patah semangat. Putus asa. Aura negatif di mana-mana.

Bila pikir-pikir semula, aku salah percaturan dalam banyak hal. Setiap inci perkara aku pandang dari sudut yang salah. Semuanya nampak tak kena, tak lengkap, dan tak sempurna.

Lalu hasilnya, tekanan melambak-lambak.

Dan rasa kecewa. Tak suka. Tak gembira.

Walhal, aku sebenarnya dikelilingi sumber-sumber kebahagian yang banyak. Cukup untuk buat aku tersenyum dan ketawa.

Begitulah. Tak ada kerja, dah ada kerja. Kesorangan, dah berkeluarga. Jauh dulunya, sekarang dan bersama.

Tapi sentiasa meminta-minta yang tak perlu.

Justeru, akhir-akhir ni aku mula berfikir-fikir semula.

Bersederhana itu bukan tuntutan kosong, ia penuh makna hakikatnya.

Perlahan-lahan, aku sedang cuba membetulkan langkah yang selama ini menyimpang.

Baiklah, tak lah menyimpang, cuma mengambil laluan-laluan jauh yang penuh halangan, sedang lebuhraya terbentang selesa.

Lalu, semoga aku istiqomah. Dan percayalah, istiqomah itu terlalu mudah aku tuturkan, untuk laksanakan terlalu payah, namun tak mustahil.


P/S: Umpamanya sehelai selendang, materialnya penting, tapi lebih penting bagaimana ia disarungkan.

Isnin, 19 September 2016

Ilham

Taip.
Padam.
Renung.
Taip.
Padam.

Renung.

Renung.

Langsung tutup apps.

Main game.

Susah jugak nak nukilkan apa yang terbuku bila ilham tu tak kunjung tiba.

Rabu, 7 September 2016

Home Made Snack

Macam biasalah, tajuk sentiasa tak Melayu kan.

Dulu-dulu, rasa jugak betapa rajin lah sesetengah orang buat makanan ringan di rumah. Betullah, memang lebih baik sama ada dari segi bahan-bahan dan kesihatan, tapi dari mana lah kerajinan dan kekuatan itu depa dapat tak tahu lah.

Mungkin sebab masa tu Aisyah takde. Atau jugak keluarga aku jenis yang tak makan bebenda sebegitu.

Atau... kemungkinan besar sebab aku tak pandai masak, dan tak berani masak.

Pada waktu itu lah. Hahahaha.

Sejak punya dapur sendiri sekarang, dan Aisyah dah mula boleh makan macam-macam, dan melihat macamana Aisyah makan biskut lah, apa lah, yang aku buat, baru faham apa tu kepuasan memasak dan ia dihabiskan.

Dari situ lah kekuatan dan kerajinan itu datang.

Dan kadang-kadang berjaya jugak buat sesuatu yang MAW pun makan. Oh ini kejayaan besar.

Sesuatu yang akan dibanggakan di kalangan keluarga bila masak sesuatu dan MAW makan dengan jayanya tanpa membuat memek-memek muka yang menjengkelkan.

Susah makan satu, amat memilih satu, kegemaran pulak pizza dan KFC, dan sekarang mungkin burger kadang-kadang.

Sekian.



P/S: Rindu jugak menulis ni kadang-kadang.