Selasa, 26 Disember 2017

<<Naagin : Dendam yang Panjang>>

Naagin bermaksud ular jadian.

Dan dalam setiap kisah ular jadian (kebanyakan yang aku pernah tonton ialah Hindustan/Tamil), kebiasaannya ia muncul untuk membalas dendam. Selalunya disebabkan pasangannya dibunuh.

Justeru kisah Naagin yang sekarang sedang bersiaran di TV3 jam 4.00 - 5.00 petang, juga bertunjangkan motif yang sama - membalas dendam atas kematian ibu dan ayahnya.

Setelah lebih 20 episod menonton, secara tak sengaja aku tertonton episod 59 - 61 di Youtube/Facebook. Selajur tertanya-tanya, berapa episod drama ni agak-agaknya?

Setelah membuat sedikit pembacaan melalui Google, rupanya terdapat 137 episod dengan dua musim, dan ada ura-ura akan adanya musim ketiga bermula 2018 nanti.

Musim satu, Naagin mencari lima pembunuh ibubapanya.

Musim dua, watak heroin Srivanya (ingat-ingat lupalah namanya) yang telah menjadi manusia biasa, memiliki seorang anak perempuan (Srivani kot namanya) pula telah dibunuh oleh sekumpulan lapan orang. Lalu anak perempuannya pula mencari satu demi satu pembunuh ibunya.

Penghujung musim dua, Srivani dibunuh suaminya sendiri di atas sebab yang tidak jelas.

Bermakna, Naagin bermula dengan usaha membalas dendam, dan perkembangannya juga ialah terus membalas dendam.

Umpama rantaian yang tidak akan putus.

Kerana aku mudah bosan, walaupun jujurnya genre tak logik sebegini antara kegemaran, lalu langsung aku hentikan menonton episod seterusnya.

Lalu satu jam yang berharga itu menjadi milikku semula. Aman damai rasanya.

Bagaimanapun, Sri Devi tetap pelakon paling sesuai memegang watak ular jadian. Mata bulatnya serta ekspresi wajahnya cukup realistik hingga suatu ketika aku merasakan beliau memang beh bertukar menjadi ular.

Sekian ulasan drama.

Ahad, 17 Disember 2017

Siri TJM: Kangkudang

Kangkudang.

Menu paling klasik #situkangjahitjalanan.

Kangkudang = kangkung + udang besar. Kalau udang kecik dia jadi sayur kangkung goreng. Jadi udang mesti kena besar.

Nak masaknya amat mudah. Siang kangkung seikat (kalau dulu seikat RM1 je, kalau kat Tesco sekarang mungkin RM1.20 - RM1.50), petik-petik bahagian daun dan pucuk, batang tak perlu.

Pasalnya #situkangjahitjalanan ni tak makan batang kangkung. Itu saja.

Kemudian siang udang, buang kepala dan sebahagian ekor. Tengah-tengah tinggalkan kulit sikit baru sedap.

Tumbuk 2-3 ulas bawang putih, cilipadi, dan sedikit kunyit, lumurkan pada udang tadi. Taruk garam sikit.

Haa dah boleh masak. Panaskan kuali, masukkan sikit minyak, dah panas, masukkan udang. Goreng kasi dia merah-merah, kalau ada sos ikan sila percikkan sepercik dua, kalau takde, abaikan. Masukkan kangkung, goreng seketika, bagi layu pon boleh, sebab #situkangjahitjalanan suka yang begitu.

Dah siap.

Hidangkan dengan nasi putih.

Memang makan tak berapa nak sedar kiri kanan sangat lah.

Selasa, 12 Disember 2017

Antara Menulis dan Menjahit

Antara MENULIS dan MENJAHIT.

Aku sebenarnya suka kalau aku pandai melukis. Tak cantik macam kartunis pun takpelah asalkan bukan orang lidi.

Lari topik kan.

Menulis dan menjahit.

Kedua-duanya aku suka. Kedua-duanya makanan untuk jiwa aku. Kedua-duanya membahagiakan.

Menulis; ini bagaikan dalam pembuluh darah, minat ini sejak aku 9 tahun.

Masa tu hanya menulis dalam buku 355. Dan sejak waktu tu aku gemarkan tema-tema seperti misteri, perkara ghaib, benda-benda yang gagal diterjemahkan akal logik.
Malangnya waktu tu aku tak seperti sekarang, waktu tu aku seorang yang sangat pendiam (mohon percaya) dan amat pasif.

Jadi bila kawan-kawan baca tulisan aku waktu tu, dan dengan bahagia tambahkan cerita menjadi cerita cinta yang taktahu lah dari mana idea tersebut datang, aku hanya menahan rasa diam-diam tanpa ekspresi.

Menulis terus jadi cara ekspresikan sesetengah perkara, luahkan beban perasaan, dan hilangkan tekanan, sesekali.

Dalam masa yang sama, ada satu angan-angan yang kelihatannya sukar jadi kenyataan ; menjahit.

Walaupun ibu aku seorang tukang jahit, bakat dan kemahiran bukan semacam genetik yang boleh diperturunkan. Aku gagal belajar menjahit, walaupun pernah mencuba.

Hinggalah suatu ketika aku secara tidak sengaja telah mengikuti satu kursus pendek tentang jahitan tudung.

Perlahan-lahan dan lama-kelamaan nikmat menjahit menjadi sesuatu yang hampir menyamai keindahan menulis ; keseronokan.

Justeru, selain membaca, menulis, dan melayan lagu, menjahit kini salah satu hobi dan kegemaran.


Ikhlas Membebel,
#situkangjahitjalanan

Jumaat, 24 November 2017

Product Review : MMG Massage Gel

Disclaimer: Bukan review berbayar. Hanya review peribadi.

_______
MMG ni aku beli dulu separuh harga aje. Alah, kawan yang jual. Jadi belilah. Lagipun aku memang pengguna bebenda macam ni, macam Panaflax, Yoko-Yoko.

Jadi apa salahnya cuba.

Eh tapi jangan salah faham. Kawan aku jual harga tertera kat kotaknya jugak. Cuma aku bayar separuh harga, sebab lagi separuh kitorang pakai sistem barter.

Kawan aku ambik chiffon bubble 2 meter, dah separuh harga MMG ni, itu yang aku bayar separuh je!

Jadi, antara ketiga-tiga produk aku pakai ni (Panaflax, Yoko-Yoko & MMG), masing-masing ada lebih dan kurang.

1. Aplikasi
Ini MMG memang satu mata.
Yoko-Yoko pon senang pakai, tapi agak sukar nak kawal sebab dia cair. Dan Yoko-Yoko ni kadang menyebabkan ereksi kalau aplikasi beberapa kali di tempat yang sama.
Panaflax pun senang, tapi kau memang kena ada gunting lah. Kalau Panaflax ni ada saiz kekecik macam Salon Pass, boleh saing MMG untuk poin yang ni.

2. Harga
Sepertinya MMG paling mahal, harganya 2x ganda harga Yoko-Yoko. Tapi kalau kira semula, paling mahal adalah Panaflax. Sebab 4 keping je, dan walaupun gunting kekecik tapi kalau buat kira-kira, sama ada lebih mahal, atau paling tak pun, sama mahal dengan MMG.

3. Penyimpanan
Panaflax tolak satu poin. Memang renyah sikit nak simpan semula. Yoko-Yoko & MMG menang satu sorang.

4. Bau
Ini sangat subjektif. MMG memang wangi. Tapi wangi dia agak menusuk. Manakala Yoko-Yoko dengan Panaflax tak payah tanya lah memang terang-terang bau minyak angin.

Tapi dari segi bau ni MMG kalah walaupun dia wangi. Husben akak tak boleh bau dik. Terus migrain beliau. Jadi akak kau ni pakai curi-curi jelah.

Kesimpulannya, tepuk dada tanya selera. Nak kepastian kena cuba dulu lah. Maklumlah review dibaca dengan mata, otak tafsirkan makna.
Nak lebih jelas, kena juga calit sikit kat leher yang tegang tu.




Ikhlas Menulis,
#tukangjahitcubamenulis

Selasa, 24 Oktober 2017

#tukangjahitjalanjalan : Port Tidur

Assalamualaikum,

Notakaki :
Tak semua kereta boleh ditanggalkan penyandar seat belakang dan seat depan boleh direbahkan samarata dengan seat belakang.
Untuk kepastian boleh rujuk manual yang disertakan masa pembelian kereta.

Entry kali ni nak kongsi pasal pemilihan lokasi yang sesuai.

Aspek yang perlu dipertimbangkan dalam pemilihan lokasi antaranya ialah keselesaan dalam konteks berasa selamat untuk pejamkan mata, rehatkan badan, dan memenuhi tuntutan semulajadi, serta tempat yang menjadi laluan/tumpuan.

Elakkan lokasi terlalu sunyi demi keselamatan masing-masing.

1. LOKASI

1.1 R&R
Ini adalah antara lokasi paling sesuai, selain dari tandasnya tidak berkunci pada waktu tertentu, R&R juga biasanya ada bilik mandi, jadi bolehlah terus mandi sebelum teruskan perjalanan esok paginya.

Oh ya, jangan lupa bawak sabun mandi, berus gigi dan ubat gigi sendiri ya. Tuala mandi sekali. Serta selipar tandas. Karang habis kasut lawa korang.

1.2 Stesen Minyak
Andai kata korang ke lokasi yang takde R&R, stesen minyak pun boleh. Tapi pastikan kereta korang tak menghalang laluan lori minyak yang biasanya datang pukul 3-4pagi untuk hantar minyak.

1.3 Masjid-Masjid Utama
Kat sini pun boleh, terutamanya di musim sibuk contohnya musim menghantar anak ke IPTA/IPTS, musim konvo, musim cuti sekolah, musim cuti raya, dan seangkatan dengannya.

Surau-surau kecil atau masjid-masjid biasa tak begitu digalakkan, sebab biasanya selain tandas dah berkunci, persekitaran selalunya agak sunyi.

1.4 Berdekatan Kedai Makan 24jam
Ini lokasi terdesak andai kata tak jumpa lokasi lain yang lebih sesuai. Berdekatan kedai makan yang beroperasi 24jam adalah lebih baik dari lokasi yang sunyi atas aspek keselamatan.

2. KIPAS & POWERBANK

Dah dapat port cantik? Cun.

2.1 Matikan enjin kereta.

2.2 Turunkan sedikit tingkap untuk bagi udara masuk. Pastikan kereta dah berkunci.

2.3 Sekarang korang boleh gunakan kipas kecik yang boleh cucuk kat USB. Cucuk kat powerbank.

Boleh letakkan kipas ni atas kotak/beg bagi kedudukan kipas tinggi sikit untuk tiupan angin yang lebih sekata.

AXIA kecik je jadi satu kipas dah ok. Tapi kalau nak letak 2 kipas pon boleh. Pilihan di tangan korang!

Oh ya kipas ni boleh beli di mana-mana pasaraya, macam kitorang hari tu beli kat MR.DIY, tak sampai RM15 rasanya.

Tapi kipas murah bunyinya agak bising sikit, kalau yang mahal sikit mungkin lebih senyap.

_____
Sampai sini dulu entry ni. Gambar aku cuba kongsi dalam sedikit masa lagi.

Sekali lagi, ini adalah pilihan kitorang sendiri, bagi yang punya modal lebih, teruskan booking hotel. Lebih selesa!



P/S: Nak gosok baju/tudung kat mana? Haaa ini takde tips lain melainkan, bawa je yang ironless. 😁


Isnin, 23 Oktober 2017

#tukangjahitjalanjalan : AXIA ke HomeCar

Assalamualaikum dan hai,

Seperti tajuk di atas, dari AXIA ke HomeCar, aku sekadar mahu berkongsi bagaimana kami sekeluarga (2 dewasa dan kanak-kanak 2 tahun setengah) berjalan-jalan sekurang-kurangnya sekali sebulan (biasanya 2 kali sebulan) dan menjadikan AXIA bukan setakat sebuah kenderaan.

Tema: Kereta kami, tempat tidur kami.

1. Minimumkan barangan yang mahu dibawa. Elakkan luggage dan utamakan beg sandang.

2. Kosongkan bonet.

3. Tanggalkan penyandar seat belakang, hanya ada 2 skru, selepas dah tanggalkan, bila nak pasang semula, taknak letak balik skru tu pun takpe.

Tinggalkan kat rumah penyandar itu.

Sekarang, di bahagian belakang dah lapang hingga ke bonet.

4. Bentangkan tilam/toto, bahagian bonet letak tebal sikit untuk samaratakan ketinggian.

Beg-beg, boleh letak di tempat letak kaki seat belakang.

5. Tanggalkan tempat sandar kepala kedua-dua seat depan. Rebahkan keduanya hingga mencecah seat belakang.

Sekarang dah boleh baring dan lunjurkan kaki.

Dah siap? Belummm.

6. Sediakan bantal-bantal, serta selimut.

7. Tutup tingkap dengan apa saja yang korang nak, shawl/tirai etc etc. Kami punya, kami letak sendiri-jahit-shawl-hitam sebagai langsir/tirai.

Dah siap!

Mak-mak yang mana yang masih susukan anak ke apa, sila helakan nafas tenang sebab anda dah terlindung dari mata-mata luar yang memandang.

Nak buka tudung dan baring pun dah boleh!

______
Entry berikutnya aku akan kongsi pulak kat mana nak cari lokasi strategik untuk parking, dan tidur.

Ini adalah semata-mata perkongsian. Kalau korang ada modal lebih adalah lebih baik parking je kereta, check in hotel. Bahagia pun bahagia. Hehe.

Sekian dulu, jumpa lagi nanti.

Yang Suka Jalan-jalan Selalu,
#tukangjahitinneranda

Sabtu, 21 Oktober 2017

Tombiruo: Penunggu Rimba :- Movie Review

Tombiruo: Penunggu Rimba
____

Ini bukan sinopsis, hanya pandangan seorang pembaca dan penonton.

_____

Sedikit peringatan baik hati (baca sebagai soft reminder) kepada pembaca Tombiruo dan triloginya, naskhah ini adalah berbeza dari bacaan.

Justeru kepada yang bukan pembaca novel (dan tertanya-tanya, RAM siapa?) usah risau, anda akan dapat menikmati cerita ini.

Ketepikan logik akal, hukum fizik, duduk, sandarkan belakang anda, dongakkan kepala sedikit (jika anda beli tiket lambat dan terpaksa duduk di depan skrin), dan tontonlah dengan minda yang tidak meneka-neka.

________

Permulaan cerita yang memang menyebabkan akak kau ni tertegun hingga lupakan date kat sebelah.

Terpesona dengan kegigihan bapak kandung Tombiruo yang begitu nekad ingin membunuh Tobugi dan anaknya, demi menghapuskan bukti dosanya.

Dan tertahan nafas bila Monsiroi tega menusuk buluh panjang ke leher si bapak demi menyelamatkan bayi kecil yang baru dilahirkan. Tapi terasa kecewa bila bayi sekecil itu dihanyutkan ke sungai.

Apa bezanya kau selamatkan dia dari mata pedang dan kemudian nyawanya kau pertaruhkan kepada hutan?

Di sini lah bezanya.

Bayi itu bukan diselamatkan Pondolou, tapi diselamatkan semangat hutan (seiring tajuk cerita), sedang Pondolou hanya membelanya.

Dan semangat Tombiruo seperti menyatu dengan hutan. Amukannya membawa ribut dan amukan hutan.

Bermula dari sini, sila lupakan jalan cerita trilogi Tombiruo.

Jujurnya pertengahan jalan cerita agak perlahan tapi terubat juga dengan watak antagonis Wong (siapa ini? Sakit hatiku melihat liciknya dia.) dan bagaimana Wan Suraya secara tidak langsung mempunyai hubungan emosi dengan kedua Amiruddin dan Tombiruo (dua-dua kau nak bolot ya).

Dalam tertanya-tanya bagaimana konfliks hubungan Tombiruo dan Amiruddin terlerai, rupanya terjawab oleh babak penuh mistik oleh Mansiroi.

Berdiri bulu roma bila isi kandungan kotak kayu Mansiroi terdedah.

Babak menarik bila hanya Tombiruo dan Amiruddin saling berpandangan penuh erti manakala Wan Suraya terpinga-pinga di antara mereka.

Sekali lagi, sila lupakan trilogi Tombiruo.

Beberapa kejutan dalam filem ini, antaranya bila watak Ondu mati. Dan Monsiroi rebah seolah kehilangan nyawa. Walaupun rupanya Monsiroi masih bangun berkerudung dan tersenyum kemudiannya.

Dan menyangka watak Tombiruo juga ditamatkan, kemain emosi melihat sehelai daun gugur mendarat di tapak tangannya, layu dan mereput.

Sejurus Tombiruo tersentak terbangun.

"Kau percaya kita bersaudara?"

"Aku sanggup menjadi saudara kau kalau kau sanggup menjadi saudaraku."

Tombiruo yang seakan terkesima bila Amiruddin memeluknya.

Apapun, filem ini wajar tonton. Dan andai kata ada sambungan pun cantik juga memandangkan masih banyak lompang-lompang yang boleh diisi.

Rating? Akak kau bagi 3.5 dari 5 dari sisi seorang pembaca, dan 4/5 dari sisi seorang penonton.

Nota akhir, siapa Wong tu? Menjadi betul wataknya, sudahnya nyawa liat macamkan getah sekerap.

P/S: Tertunggu-tunggu preview berkenaan Sunan, ingatkan RAM muncul kat skrin. Sekali surat Sunan yang melayang-layang. Terpaksa lah akak kau tergelak.

Sabtu, 14 Oktober 2017

Detik Demi Detik

Untuk mencapai bintang, kau sanggup mendaki bukit yang tinggi, menuruni lurah yang jurang, menghadapi ombak yang menggila, dan mengharungi hujan yang membadai.

Lalu atas usahamu yang tak putus, bagai tak kenal erti putus asa, seperti tak tahu apa itu penat, akhirnya Allah kurniakan kejayaan.

Bintang itu kau petik. Cahayanya kau simpan. Hangatnya kau nikmati.

Justeru kau kini di puncak.

Masa berlalu. Hari berganti hari. Bulan bertukar bulan. Tahun demi tahun.

Bintang di pelukan makin sirna. Umpama piala tak digilap, tompok karat yang dulunya kecil semakin melebar. Membesar memenuhi permukaan.

Puncak yang dulunya terlihat serba indah, semakin pincang di pandangan.

Pemandangan serba magis pertama kali kau lihat dulu mulai pudar kemagisannya.

Pedang yang suatu ketika kau hunus penuh rasa percaya, terzahir buruk tak berguna. Tak ubah besi buruk tak berharga.

Lantas, tanpa rela baju besi kau tanggalkan.

Terlorot lemah tak bernyawa.

Di depanmu juram.
Di belakangmu belantara.

Kirimu sepi.
Kananmu sunyi.

Pahlawan yang terleka, engkau lah.


Isnin, 9 Oktober 2017

Tombiruo : Adaptasi

Tahniah RAM, Tombiruo akhirnya ke layar perak.

Sebagai pembaca, aku gembira mendengarnya.

Tapi secara peribadi, aku kurang suka dengan berita ini.

Sebab imaginasi aku bakal terbelah, pecah berkecai. Itu saja. Maklumlah aku membacanya pada usia 16 tahun.

Apapun, aku akan menontonnya. Bila dan bagaimana, biar masa jadi penentunya.

Oh, kepada kawan-kawan, siapa sindir lagi tentang ni, aku denda belikan tiket ke panggung wayang. Serta popcorn sekali.

Sarkastik adalah sesuatu yang tak perlu. Minat aku adalah thriller, dan membaca. Bukan thriller, dan menonton.

Itu saja.

Selasa, 5 September 2017

Shawl 30"

Seorang pelanggan lalu di depan, melenggang memegang tiket di tangan sambil menapak anak tangga berhati-hati mengimbangi tubuhnya.

Pelanggan ni memang biasa dengan staf di sini. Berbadan gempal sedikit tapi sesuai dengan ketinggiannya. Pun begitu beliau memang berjalan agak perlahan.

Yang mencuri tumpuan ialah lilitan shawl di kepalanya.

Aku memang obses shawl jadi maaflah, itu lah yang selalu aku perhatikan.

Seni lilitannya.
Jahitannya.
Kreativiti tampal, sulam, atau taburan maniknya.
Dan yang penting, saiznya.

Pelanggan tu mengenakan shawl bidang 30", santai dibiar bebas begitu.

Biasanya saiz sebegitu adalah saiz lebar yang selalunya dikaitkan dengan kealiman/kewarakan serta ke-ustazah-an seseorang (ya, aneh dan pelik, tapi sila terima hah), tapi tidak bagi beliau.

Saiz sebegitu sedang elok sahaja.

Tidak kelihatan keterlaluan, malah tampak anggun dan bersahaja.

Sejurus terfikir.

Adil itu cantik.
Sedang zalim selalu terlihat tidak keruan.


Yang Suka Memerhati
#bloggersedangcubamenulis

Jumaat, 25 Ogos 2017

Kerana Kau Mentimun

Manusia itu pelupa sifatnya.

Maka dipanggil manusia; dia yang lupa.

Manakala adil itu sifat Allah adanya.

Justeru manusia dan adil susahnya seiring berjalan.

Manusia seringkali menjunjung kesamarataan. Dan ia disangka keadilan sedang adil itu bilamana sesuatu diletakkan sesuai tempatnya.

Kelihatan sama tapi bukan saja tak serupa, malah berbeza keadaannya.

Dan manusia, sering terpedaya oleh ujian kesenangan, mudah menang bila diuji kesukaran, tapi kerap rebah tersembam apabila diduga dengan kebahagiaan dan kekayaan.

Lalu, kuasa jadi sanjungan.

Siapa kudrat, dialah iradat.

Sang Raja umpama durian hebat. Pejal dan berduri tajam di luarnya. Gagah perkasa.

Manakala rakyat biasa ibarat mentimun layaknya. Murah, mudah, dan lemah.

Digolek luka, tergolek pun luka.

Berdiri rebah, duduk pun lelah.

----------

Andai dendam itu tak membakar, maka aku kepingin berdendam.

Memohon yang tidak-tidak atas tiket teraniaya.

Tapi demi tak terus kalah kepada tipudaya amarah, maka lidah kugigit, menahan dari terus berkata yang bukan-bukan, meski terlepas juga ayat-ayat mengikut rasa yang luka.

P/S: Begitulah.

Ahad, 20 Ogos 2017

Review: De Botani Hotel, Ipoh

De Botani Hotel
Ipoh
10-15minit ke Pusat Bandaraya

Salah satu hotel yang harga walk in lebih murah dari Agoda.

Harga asal RM88, waktu promosi RM78 (termasuk GST RM82.++).

Setakat pengalaman singgah di hotel-hotel bajet, hotel ni antara yang terbaik.

Bilik saiz biasa, tapi sangat kreatif.

Tiada almari, tapi di belakang cermin solek diwujudkan tempat sangkut baju.

Meja kiri kanan katil pula ada ruang, jadi boleh letak bag/handbag/barang/baju kotor. Taklah berlonggok je barang, jadi memang kemas dan otomatik rasa selesa.

Tong sampah yang comel seolah-olah kayu/meja kecik.

Bilik air yang luas, bersih, dan selesa. Paling suka tempat sidai tuala dan panciran air berjauhan antara satu sama lain, jadi takde lah masalah terpercik air.

Dua soket di kiri kanan katil, jadi lakibini tak gaduh sorang nak cas laptop soranf nak cas telepon.

Dan, lantai yang menggunakan mozek jenis bercorak/permukaan kasar.

Jadi bila keluar bilik air dengan kaki lembap, taklah terasa licin.

Staff pula memang sangat peramah dan baik.

Oh ya, boleh minta hair dryer kalau mahu.


P/S: Akan singgah lagi andai datang semula ke sana. 😉

Jumaat, 4 Ogos 2017

SA : Telefon

Entry lepas, aku letakkan kekangan masa setiapkali telefon SA ambil.

Tapi hanya berkesan sehari dua.

Kemudian SA dapati masa boleh diubah.

Lalu terus memberontak mahukan telefon.

"Seminit je," katanya, comel.

Comel tak comel, selagi tak puas memang dia tak bagi balik.

Justeru sebelum lebih parah tindakan lebih tegas perlu diambil.

Telefon memang tak boleh sama sekali.

Memang meraung-raung bila SA tak dapat telefon.

Mujur lah ayahnya sama menyokong pengharaman telefon.

Lalu aku download beberapa video yang gemar ditontonnya dan pasangkan di TV.

Mahu atau tidak, hanya tonton TV.

Manakala penggunaan telefon oleh aku sendiri, semuanya secara sembunyi-sembunyi.

Kalau dulu, setiapkali aku keluar seketika ke pasaraya (SA dan ayahnya menunggu di dalam kereta), telefon aku tinggalkan, tapi sekarang tak lagi.

Menangislah anak, asal takde sesalan di masa akan datang.

Walaupun implikasi dari menonton TV menyebabkan dia asyik nak tonton TV. Sampaikan ayahnya kena merajuk dulu baru dapat tonton rancangan lain.

Tapi sekurangnya sudah kurang mengamuk. Dan pandai bermain dengan teddy bear.

Kadang kami biarkan saja SA sepah-sepahkan rumah, bermain dengan imaginasinya.

Memasak, hancurkan biskut, masukkan dalam mangkuk, sudukan ke dalam mangkuk lebih kecil, suapkan teddy bear, baby bear, dan happy bear.

Amuknya sudah makin kurang, walau sesekali dia masih meminta telefon.

Dan....

"Nanti ibu beli basikal deh." 😑😑😑😑

Dah sejak bila ibu kau janji nak beli basikal pulak....



P/S: Kerana kau anak.