Jumaat, 29 Julai 2022
Rahsia: Dialek VS Bahasa Melayu
Jumaat, 22 Julai 2022
Senah dan Sayur
Rabu, 20 Julai 2022
Senah Penipu
"Cikgu, nenek saya kata Cikgu Senah menipu."
Senah yang sedang tergawang-gawang bercerita tentang pokok terpempan.
"Apa yang Cikgu Senah menipu?" Soalnya spontan.
Serentak juga Senah menyelongkar kotak ingatannya. Ada ke dia membuat sebarang penipuan atau lawak kurang bernas yang mungkin boleh disalaherti oleh anak-anak lima dan enam tahun ni?
Rasanya tidak. Seingatnya dia cukup berhati-hati dalam menabur kata-kata, apatah lagi ibubapa sesi ini ramai juga yang agak cerewet dan mudah pula membuat aduan.
Anak menangis tak mahu ke sekolah pun masuk group whatsapp sambil menyalahkan anaknya bergaduh dengan murid lain.
"Nenek saya kata seluar saya tak ketat. Cikgu Senah menipu je," sambung Soleh, kanak-kanak lima tahun yang petah bercakap itu.
Kali ini Senah julingkan mata.
Soleh yang berbadan agak gempal itu sering menghadapi masalah mengenakan semula seluarnya setiap kali keluar dari bilik air. Senah perasan Soleh selalu terkial-kial kerana seluarnya yang nampak agak ketat. Lalu Senah usulkan agar Soleh meminta ibunya membelikan seluar yang lebih besar sedikit. Meski dia juga arif, kesukaran itu mungkin juga berpunca dari jarangnya Soleh menguruskan diri sendiri.
"Nenek cakap seluar Soleh tak ketatlah ya?"
Soleh angguk.
"Habis yang Soleh sekejap-sekejap tarik seluar tu, tak ketat ke?"
Kali ini Soleh gelengkan kepala.
Senah mengeluh. Sudahlah. Pelanggan tentulah sentiasa di pihak yang benar, bukan?
Kerana Senah juga manusia yang masih punya rasa (dan masih lagi bersumbu yang tidaklah panjang mana), cerita-cerita Soleh hari ini dilayan seadanya sahaja. Eh sakit juga rasanya dipanggil penipu!
Isnin, 18 Julai 2022
Senah Tertusuk Sembilu
Senah bukanlah seorang yang berani sangat. Namun bila merasakan dirinya diperguna atau diambil kesempatan, Senah pantang benar. Tiba-tiba sahaja semangat kepahlawanan entah dari mana menyusup masuk.
Detik itu juga Senah rasa dirinya ibarat wirawati yang memperjuangkan maruah seorang anak Melayu. Pantang berundur sebelum berjuang! Siapa atau apa sahaja di depan Senah redah! Senah tak peduli, di depannya hantu Jepun tanpa kepala atau langsuir berjubah putih koyak-rabak bergentayangan sambil terkekek-kekek.
Asal sahaja Senah yakin dia di pihak yang benar. Ah, hanya yang salah sahaja wajar takut, bukan? Begitulah Si Senah yang naif dengan sepak terajang dunia yang tidak pernah adil.
---
Hanya yang Senah kesalkan adalah apabila teman seperjuangan yang disangka boleh menjadi tempat bersandar melepas lelah sambil menyusun strategi baru, rupanya hanya kayu reput yang menanti rebah. Bukan sahaja tidak berguna malah jadi sekam pula menusuk lengannya dengan serpihan tajam yang melukakan.
Ah pedihnya Tuhan sahaja yang tahu.
Sungguh Senah hilang rasa. Dia hanya mahu berada di jalan yang benar lagi lurus namun nampaknya impian itu tidak semudah bayangannya. Kelibat hitam yang mahu mengheretnya ke pusaran air kelihatannya lebih kuat. Senah tahu dia bakal tewas.
Dia tak mungkin mampu tegak sendiri tanpa tapak yang kukuh. Tetapi kerana dia juga Senah, dia enggan mengalah. Selagi kudratnya bersisa dia mahu pegun di situ meski puting beliung juga sudah semakin mendekat.
Senah tahu dia bakal kalah.
Namun untuk tunduk dan mengalah, Senah enggan. Lupakah Senah seorang yang degil?
----
Senah pejamkan mata. Cengkaman lembaga hitam semakin kejap. Erat dan ketat.
Tuhan, hanya Kau yang mampu membantu Senah.
Toksik
Hai.
Aku tak tahu kenapa aku kurang selesa bercerita tentang kerja. Aku sentiasa merasakan aku sedang dihakimi - walau hakikatnya siapalah yang sudi melakukan hal sedemikian.
Ini adalah kerja yang ketiga sejak aku tamat belajar 12 tahun lepas. Persekitaran kerja yang toksik itu biasa, cuma aku kira kali ini tahap toksiknya agak tinggi.
Aku seperti berjalan di atas telur sepanjang masa. Ada waktu aku terlepas, tapi tentulah ada ketikanya telur yang aku pijak itu pecah. Lantas untuk menghilangkan hanyir itu mengambil masa juga.
Cuma selepas beberapa ketika, aku kira aku tidak wajar menurut sahaja cara orang lama andai ia tidak sama sekali benar, bukan? Jika ia jalan yang salah, kenapa aku masih perlu menurut ibarat sang lembu dicucuk hidung?
Cuma ya, berkata-kata itu tidak semudah melakukannya. Aku baru sahaja memulakan langkah pertama. Meski aku menang kali ini, tetapi langkah kedua yang dalam perancangan rasanya semakin sulit. Apatah lagi aku sendiri mahu menentang arus.
"Kitorang dulu macam kau juga, pertikai sikit jugaklah, tapi akhirnya ikut jelah."
Aku tidak tahu sama ada aku akan berakhir dengan terpaksa turut sama dalam pusaran air yang sudah sebati itu, tapi andai ia berlaku, sekurang-kurangnya aku sudah cuba berusaha.
Aku masih kekal bersemangat ke tempat kerja, namun apabila terpaksa berinteraksi dengan yang lain, sungguhpun aku masih mampu meleret senyum sejuta watt tetapi ia hanya sebuah lakonan semata.
Oh ya, sejak beberapa tahun meninggalkan call centre, bahasa badan aku sudah mulai berfungsi semula. Syabbas bete!
Khamis, 14 Julai 2022
New Step
Selasa, 12 Julai 2022
Status Whatsapp VS IG Story
Akhir-akhir ni aku agak kerap memuatnaik status di aplikasi WhatsApp. Aktiviti agak berlainan dengan kebiasaan di mana aku lebih gemar membuat kemaskini di IG Story.
Ini klise, tapi aku sedang membuat sedikit ujikaji sosial.
Antara sebab aku lebih gemarkan IG Story adalah kerana aku lebih menapis senarai kenalan di aplikasi tersebut, malah kerapkali aku hanya memuatnaik kepada kenalan rapat sahaja. Manakala di status Whatsapp pula, meski aku telah menyekat beberapa kenalan yang tidak rapat sama sekali (seller, customer, dan seangkatan dengannya) namun masih ramai yang kurang rapat yang masih boleh melihat status tersebut.
Hasil ujikaji menunjukkan jangkaan aku masih ada benarnya - masih ramai yang cuba mengenali aku dari status-status tersebut, terutama rakan sekerja yang baharu.
---
Tidak ada salahnya hal itu, hanya saja aku yang kurang selesa. Aku yang masih terlalu baru dalam pekerjaan sekarang, masih ramai yang tidak mengenali aku. Malah, masih ada sebahagian yang terkejut apabila mengetahui status aku yang sudah berkahwin.
Mungkin cara dan gaya aku membawa diri membuat mereka berfikir sebegitu. Tapi sebab paling utama tentulah kerana aku menyertai jabatan ini semasa PKP, justeru tidak ada sebarang sesi suaikenal yang rasmi antara kami.
---
Entry ini seakan tidak ada isi yang mantap bukan?
Maaflah, aku masih sedang cuba menghambat rasa insecure untuk mengemaskini laman ini. Perasaan sedang diperhati dan dihakimi tiba-tiba makin menebal. Dan meski sedang menyusun aksara namun aku masih sedang berkira-kira untuk menerbitkan entry ini.
Jujurnya, perasaan itu aneh mengenangkan siapalah aku, bukan?