Jumaat, 22 Julai 2022

Senah dan Sayur

"Jemput makan cikgu!" Laung Si Awang, diikuti kawan-kawannya yang lain.
"Jemput makan kawan-kawan!" Serunya lagi.

Senah angguk sekali. "Terima kasih, jemput makan ya anak-anak. Makan buah dulu ya," Sambungnya, skrip yang sama setiap hari.

Ada waktunya Senah akan turut sama makan bersama-sama kanak-kanak itu, meski agak jarang dia menjamah menu yang serupa. Namun  hari itu, menu kegemarannya - nasi goreng.

Usai menyenduk nasi ke mangkuk, Senah menguis hirisan lobak merah ke tepi. Penuh berhati-hati agar tiada satu pun cebisan sayur itu yang tinggal. Setelah berpuas hati, barulah dia memulakan suapan.

Awang yang selesai makan, bangun ke meja Senah untuk mendapatkan air minuman. Namun matanya tajam mengintai mangkuk Senah.

"Cikgu Has, Cikgu Senah tak makan sayur!"

Senah yang sedang mencicip kopi tersentak. Mujur tidak tersedak. Mencerlung dia merenung Awang.

"Mana ada! Cikgu makan lah!" Sanggahnya.

"Tu! Saya nampak ada lobak merah dalam mangkuk cikgu!"

Cikgu Has yang maklum cakap-tak-serupa-bikin Senah berkenaan sayur, hanya tergelak. 

"Hah, habiskan sayur tu, Cikgu Senah." Usiknya.

Senah julingkan mata. Tetap tangan tetap juga mencapai sudu dan mula mengaut timbunan lobak merah di dalam mangkuk. Dia membuka mulut luas-luas - mata masih tetap tertancap tajam pada wajah Awang.

"Dah!" Sengaja Senah tayangkan mangkuknya yang sudah kosong kepada Awang.

Satu. Dua. Tiga.

Belum sampai kiraan sepuluh Senah sudah membuka langkah ke dapur - pantas menuju ke tong sampah.

Ah, lain kali perlu mula makan selepas Si Awang selesai nampaknya!


Tiada ulasan: