Rabu, 20 Julai 2022

Senah Penipu

"Cikgu, nenek saya kata Cikgu Senah menipu."

Senah yang sedang tergawang-gawang bercerita tentang pokok terpempan.

"Apa yang Cikgu Senah menipu?" Soalnya spontan.


Serentak juga Senah menyelongkar kotak ingatannya. Ada ke dia membuat sebarang penipuan atau lawak kurang bernas yang mungkin boleh disalaherti oleh anak-anak lima dan enam tahun ni?

Rasanya tidak. Seingatnya dia cukup berhati-hati dalam menabur kata-kata, apatah lagi ibubapa sesi ini ramai juga yang agak cerewet dan mudah pula membuat aduan.

Anak menangis tak mahu ke sekolah pun masuk group whatsapp sambil menyalahkan anaknya bergaduh dengan murid lain.


"Nenek saya kata seluar saya tak ketat. Cikgu Senah menipu je," sambung Soleh, kanak-kanak lima tahun yang petah bercakap itu.

Kali ini Senah julingkan mata. 

Soleh yang berbadan agak gempal itu sering menghadapi masalah mengenakan semula seluarnya setiap kali keluar dari bilik air. Senah perasan Soleh selalu terkial-kial kerana seluarnya yang nampak agak ketat. Lalu Senah usulkan agar Soleh meminta ibunya membelikan seluar yang lebih besar sedikit. Meski dia juga arif, kesukaran itu mungkin juga berpunca dari jarangnya Soleh menguruskan diri sendiri.

"Nenek cakap seluar Soleh tak ketatlah ya?"

Soleh angguk.

"Habis yang Soleh sekejap-sekejap tarik seluar tu, tak ketat ke?"

Kali ini Soleh gelengkan kepala.

Senah mengeluh. Sudahlah. Pelanggan tentulah sentiasa di pihak yang benar, bukan?


Kerana Senah juga manusia yang masih punya rasa (dan masih lagi bersumbu yang tidaklah panjang mana), cerita-cerita Soleh hari ini dilayan seadanya sahaja. Eh sakit juga rasanya dipanggil penipu!

Tiada ulasan: