Isnin, 18 Julai 2022

Senah Tertusuk Sembilu

Senah bukanlah seorang yang berani sangat. Namun bila merasakan dirinya diperguna atau diambil kesempatan, Senah pantang benar. Tiba-tiba sahaja semangat kepahlawanan entah dari mana menyusup masuk.

Detik itu juga Senah rasa dirinya ibarat wirawati yang memperjuangkan maruah seorang anak Melayu. Pantang berundur sebelum berjuang! Siapa atau apa sahaja di depan Senah redah! Senah tak peduli, di depannya hantu Jepun tanpa kepala atau langsuir berjubah putih koyak-rabak bergentayangan sambil terkekek-kekek.

Asal sahaja Senah yakin dia di pihak yang benar. Ah, hanya yang salah sahaja wajar takut, bukan? Begitulah Si Senah yang naif dengan sepak terajang dunia yang tidak pernah adil.


---


Hanya yang Senah kesalkan adalah apabila teman seperjuangan yang disangka boleh menjadi tempat bersandar melepas lelah sambil menyusun strategi baru, rupanya hanya kayu reput yang menanti rebah. Bukan sahaja tidak berguna malah jadi sekam pula menusuk lengannya dengan serpihan tajam yang melukakan.

Ah pedihnya Tuhan sahaja yang tahu.

Sungguh Senah hilang rasa. Dia hanya mahu berada di jalan yang benar lagi lurus namun nampaknya impian itu tidak semudah bayangannya. Kelibat hitam yang mahu mengheretnya ke pusaran air kelihatannya lebih kuat. Senah tahu dia bakal tewas.

Dia tak mungkin mampu tegak sendiri tanpa tapak yang kukuh. Tetapi kerana dia juga Senah, dia enggan mengalah. Selagi kudratnya bersisa dia mahu pegun di situ meski puting beliung juga sudah semakin mendekat.

Senah tahu dia bakal kalah.

Namun untuk tunduk dan mengalah, Senah enggan. Lupakah Senah seorang yang degil?



----


Senah pejamkan mata. Cengkaman lembaga hitam semakin kejap. Erat dan ketat. 

Tuhan, hanya Kau yang mampu membantu Senah. 

1 ulasan:

Unknown berkata...

Sekam tidak berguna itu, hembuskan saja jauh-jauh, Senah. Tak dapat ditanak, mungkin sekadar layak jadi dedak haiwan.