Dan soalan ini sering diikuti dengan raut terkejut. Lalu soalan kedua akan menyusul - Tapi awak tak cakap seperti orang Kelantan?
Atau kadangkala ia datang dalam frasa ayat nyata - Awak tak kedengaran Kelantan.
Aku anak jati Kelantan. Malah hanya meninggalkan bumi Kelantan pada usia mencecah 20 tahun. Sebelum itu aku memang hanya di bumi kelahiran aku itu.
Untuk soalan kedua - ini mungkin kedengaran agak hiperbola. Aku anak Kelantan yang sangat teruja dengan Bahasa Melayu.
Meski aku minat membaca sejak sebelum ke sekolah rendah, namun membaca semata tidak akan menyebabkan aku mampu mengabaikan seketika slang Kelantan semasa bercakap.
Untuk menguasai sesuatu bahasa, kita perlu menggunakan bahasa tersebut sekerap yang boleh.
Kerana aku di Kelantan, maka dengan siapa sahaja boleh aku jadikan lawan berbual menggunakan Bahasa Melayu yang betul? Oh, soalan yang lebih penting - ada sesiapa sudi melayan kanak-kanak Kelantan yang comot dan sering terlihat naif untuk mengabaikan slang Kelantan yang sangat mulia itu?
Justeru hanya ada satu pilihan, iaitu aku sendiri.
Kawan-kawan,
Tentulah aku mahir berbahasa Melayu dengan baik kerana aku sudah menggunakan Bahasa Melayu sejak di sekolah rendah. Pun begitu, penguasaan aku tentu sahaja tidak sesekali menyaingi mereka yang menggunakan Bahasa Melayu sebagai bahasa utama seharian.
Dan ya, aku hanya bercakap dengan diri sendiri. Tidak, percakapan itu bukan sekadar dalam kepala, sebaliknya aku zahirkan satu persatu perkataan. Minat membaca secara tidak langsung membantu aku menambah kosa kata serta merangka dialog dengan lebih baik.
Itu sahaja rahsianya.
Oh, yang menyebabkan aku begitu bersemangat mahu menguasai Bahasa Melayu?
Sebuah drama yang aku tonton semasa sekolah rendah.
Aku pernah bertanya pada ma, mengapa pelakon-pelakon itu menggunakan bahasa yang berbeza dari bahasa percakapan kami.
Kata ma, kerana mereka berlakon. Aku masih punya banyak soalan namun aku telan sahaja jawapan itu untuk sementara waktu.
Suatu hari, rancangan yang aku tonton itu menyiarkan babak behind the scene. Aku jadi tertanya-tanya apabila mereka tidak menggunakan slang seperti aku. Soalan mengapa dari aku pula hanya menerima jawapan 'mereka bukan orang Kelantan' dari ma.
Begitulah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan