Hai.
Aku tak tahu kenapa aku kurang selesa bercerita tentang kerja. Aku sentiasa merasakan aku sedang dihakimi - walau hakikatnya siapalah yang sudi melakukan hal sedemikian.
Ini adalah kerja yang ketiga sejak aku tamat belajar 12 tahun lepas. Persekitaran kerja yang toksik itu biasa, cuma aku kira kali ini tahap toksiknya agak tinggi.
Aku seperti berjalan di atas telur sepanjang masa. Ada waktu aku terlepas, tapi tentulah ada ketikanya telur yang aku pijak itu pecah. Lantas untuk menghilangkan hanyir itu mengambil masa juga.
Cuma selepas beberapa ketika, aku kira aku tidak wajar menurut sahaja cara orang lama andai ia tidak sama sekali benar, bukan? Jika ia jalan yang salah, kenapa aku masih perlu menurut ibarat sang lembu dicucuk hidung?
Cuma ya, berkata-kata itu tidak semudah melakukannya. Aku baru sahaja memulakan langkah pertama. Meski aku menang kali ini, tetapi langkah kedua yang dalam perancangan rasanya semakin sulit. Apatah lagi aku sendiri mahu menentang arus.
"Kitorang dulu macam kau juga, pertikai sikit jugaklah, tapi akhirnya ikut jelah."
Aku tidak tahu sama ada aku akan berakhir dengan terpaksa turut sama dalam pusaran air yang sudah sebati itu, tapi andai ia berlaku, sekurang-kurangnya aku sudah cuba berusaha.
Aku masih kekal bersemangat ke tempat kerja, namun apabila terpaksa berinteraksi dengan yang lain, sungguhpun aku masih mampu meleret senyum sejuta watt tetapi ia hanya sebuah lakonan semata.
Oh ya, sejak beberapa tahun meninggalkan call centre, bahasa badan aku sudah mulai berfungsi semula. Syabbas bete!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan