Jumaat, 21 Oktober 2016

Tergendala

Baru je bersemangat meneruskan projek yang terbengkalai.

Eh eh. Ada lagi lah pulak halangannya. Apakah.

Makanya aku berehat bersama Kit Kat sekejap.

Kejap je. Aku tak putus asa lagi ni.

Nak buat. Akan buat.

Cuma dalam tempoh bertenang je dulu.



P/S: Mode tabah.

Ahad, 9 Oktober 2016

Syaitan the Devil

Dah nama syaitan, maka kerjanya menghasut je kan.

Banyak betul dajal-dajal syaitan ni dalam kepala aku.

Susah nak bernafas dibuatnya. Nak pandang orang rasa benci, nak tengok orang rasa menyampah, nak tenung lagi memang taklah.

Jangan kata pandang, dengar suara pun dah tak mampu.

Taktahu lah.

Susah hati aku macam ni. Macam mana nak terus hidup dalam suasana macam ni.

Ini lah yang selalu buat aku rasa nak putus asa.

Tapi, begitulah.



P/S: Meluah tak bermaksud aku mengalah. Aku akan berdiri selagi kaki mampu menongkah arus.

Ahad, 2 Oktober 2016

Maal Hijrah

Tahun berubah lagi.

Maka aku mengambil kesempatan untuk menanam azam baru.

1)Mahu kurangkan percakapan dan bebelan - kata seorang chef yang juga penulis, fokus pada apa yang kita dapat buat.

Maknanya, andai berlaku sesuatu kesilapan oleh orang lain, usah fokus pada kesalahan itu, tapi fokus pada apa yang kita boleh lakukan untuk perbaiki keadaan.

Nak fahamkan pun dah susah, nak buat tu tak pastilah.

Tapi aku akan cuba. Justeru, aku akan kurangkan perkataan andai ia tak perlu.

2) Lebihkan kasih sayang.

Untuk keluarga, dan keluarga. Untuk kawan takpe, sebab dengan kawan aku sangat sopan. Eh. Tapi dengan keluarga macam selalu kurang kasih sayang.

3) Kurang tak suka.

Kena kurangkan tak suka itu tak suka ini.

4) Solat awal waktu.

Ini sedang berusaha sedaya dapat. Semoga Allah kurniakan kekuatan.

5) Kreatif, yakin, percaya!

Aku tahu aku kreatif, aku yakin aku mampu, dan aku mahu percaya aku berdaya!


P/S: Walaupun azam bernombor, nombor hanya angka, bukanlah susunan keutamaan.

P/S/S: Mahu aktif berblog semula. Menulis akan membantu aku kurang luahkan kesakitan dalam bentuk percakapan.

Sabtu, 24 September 2016

"...Maaf mengganggu.."

Kerana mereka juga manusia yang punya keluarga.

***      ***      ***      ***

Bertahun-tahun di talian menerima pelbagai rungutan dan mendengar bermacam masalah, suara jerkah dan caci-maki semacam sesuatu yang biasa.

Justeru bilamana meninggalkan dunia panggilan tersebut, tak dapat tidak aku pun memerlukan mereka untuk selesaikan sesetengah perkara.

Kerana mereka adalah punya capaian yang hampir menyeluruh ke mana-mana jabatan, sedang aku hanya berada di dalam satu cawangan kecil.

Lalu, bila memerlukan mereka, ayat yang mampu membuat mereka selesa untuk membantu, adalah, maaf mengganggu. Bolehkah membantu?

Percayalah, mereka akan lebih gembira. Kerana mereka bakal membantu kita, maka apa salahnya pohon bantuan dengan memuliakan mereka?

Kerana aku juga satu masa dulu, terus terangnya amat sukar menerima ucap terima kasih, walhal sergah sumpah seranah amat mudah menjadi halwa telinga.

Lalu, biarkan aku jadi satu dalam seribu.



P/S: Aku janji, meski rasa marah melonjak-lonjak mahu dilempiaskan dengan lontaran suara, aku janji akan cuba sedaya menahannya. Kerana aku juga seorang yang punya keluarga.

Khamis, 22 September 2016

Dari Simpang ke Jalan Lurus

Dahlah dah lama tak menulis kat sini. Lepas tu bila tengok dalam setahun terakhir ni, post semua jenis-jenis patah semangat. Putus asa. Aura negatif di mana-mana.

Bila pikir-pikir semula, aku salah percaturan dalam banyak hal. Setiap inci perkara aku pandang dari sudut yang salah. Semuanya nampak tak kena, tak lengkap, dan tak sempurna.

Lalu hasilnya, tekanan melambak-lambak.

Dan rasa kecewa. Tak suka. Tak gembira.

Walhal, aku sebenarnya dikelilingi sumber-sumber kebahagian yang banyak. Cukup untuk buat aku tersenyum dan ketawa.

Begitulah. Tak ada kerja, dah ada kerja. Kesorangan, dah berkeluarga. Jauh dulunya, sekarang dan bersama.

Tapi sentiasa meminta-minta yang tak perlu.

Justeru, akhir-akhir ni aku mula berfikir-fikir semula.

Bersederhana itu bukan tuntutan kosong, ia penuh makna hakikatnya.

Perlahan-lahan, aku sedang cuba membetulkan langkah yang selama ini menyimpang.

Baiklah, tak lah menyimpang, cuma mengambil laluan-laluan jauh yang penuh halangan, sedang lebuhraya terbentang selesa.

Lalu, semoga aku istiqomah. Dan percayalah, istiqomah itu terlalu mudah aku tuturkan, untuk laksanakan terlalu payah, namun tak mustahil.


P/S: Umpamanya sehelai selendang, materialnya penting, tapi lebih penting bagaimana ia disarungkan.

Isnin, 19 September 2016

Ilham

Taip.
Padam.
Renung.
Taip.
Padam.

Renung.

Renung.

Langsung tutup apps.

Main game.

Susah jugak nak nukilkan apa yang terbuku bila ilham tu tak kunjung tiba.

Rabu, 7 September 2016

Home Made Snack

Macam biasalah, tajuk sentiasa tak Melayu kan.

Dulu-dulu, rasa jugak betapa rajin lah sesetengah orang buat makanan ringan di rumah. Betullah, memang lebih baik sama ada dari segi bahan-bahan dan kesihatan, tapi dari mana lah kerajinan dan kekuatan itu depa dapat tak tahu lah.

Mungkin sebab masa tu Aisyah takde. Atau jugak keluarga aku jenis yang tak makan bebenda sebegitu.

Atau... kemungkinan besar sebab aku tak pandai masak, dan tak berani masak.

Pada waktu itu lah. Hahahaha.

Sejak punya dapur sendiri sekarang, dan Aisyah dah mula boleh makan macam-macam, dan melihat macamana Aisyah makan biskut lah, apa lah, yang aku buat, baru faham apa tu kepuasan memasak dan ia dihabiskan.

Dari situ lah kekuatan dan kerajinan itu datang.

Dan kadang-kadang berjaya jugak buat sesuatu yang MAW pun makan. Oh ini kejayaan besar.

Sesuatu yang akan dibanggakan di kalangan keluarga bila masak sesuatu dan MAW makan dengan jayanya tanpa membuat memek-memek muka yang menjengkelkan.

Susah makan satu, amat memilih satu, kegemaran pulak pizza dan KFC, dan sekarang mungkin burger kadang-kadang.

Sekian.



P/S: Rindu jugak menulis ni kadang-kadang.

Ahad, 21 Ogos 2016

Setahun : Aku Yang Bertatih

Khamis lepas genap setahun aku di bumi GuaM.

Nostalgia itu terasa, kerana setahun kali ini panjang dan jerih payahnya ketara.

Tak pernah aku kecewa sekerap dalam setahun ni, sepanjang tempoh bekerja.

Tak pernah aku putus asa sekerap dalam setahun ini.

Tak pernah aku mengalah sekerap dalam setahun ini.

Tak pernah aku selelah dalam setahun ini.

Dan, tak pernah nekad itu sekuat dalam setahun ini.

Tapi, dalam pahit, manisnya tetap ada.

Tak pernah aku balik kampung sekerap tahun ini.

Tak pernah benar-benar merasa cuti raya sepanjang tahun ini.

Tak pernah menikmati hidup bersama keluarga kecil aku ni seindah setahun ni.

Tak pernah aku memasak semahir tahun ni.

Tak pernah memonopoli jalan raya seperti tahun ni.

Tak pernah berjalan-jalan sekerap tahun ni.

Tak pernah memiliki impian-impian tertunai sebanyak tahun ni.

Ia manis.

Ia pahit.

Dan walau segalau mana terasa oleh setahun ini, aku masih mahu kekal di sini. Bukan kekal begini, aku mahu di sini, dalam kondisi lebih baik dan lebih utuh.



P/S: Bersama kesusahan itu ada kesenangan. Seperti pelangi yang selalu muncul selepas ribut menghentam.

Sabtu, 20 Ogos 2016

Bunga Wanginya Berbeda, Seperti Manusia Minatnya Tak Serupa

Baik, tajuk panjang dan puitis di situ.

Kesahnya semua manusia dasarnya punya sebatang tubuh, sepasang tangan kaki dan telinga. Namun kerjanya, lebih dan kurangnya, tak serupa malah berbeza.

Begitulah manusia diciptakan tak sama supaya boleh berkenal-kenalan malah saling sama bertolak ansur dan bekerjasama.

Justeru adalah biasa bila minat dan kesukaan langsung tak sealiran.

Lalu aku memang selesa berbelanja secara dalam talian. Mudah, sesuai aku yang kesibukan, dan adakala harganya sedikit murah.

Memandangkan aku si ibu untuk anak yang masih menyusu badan, maka aku kerap jugaklah membeli baju-baju atau perkakasan atau pakaian yang mesra penyusuan badan. Cantik untuk aku, mudah jugak untuk si kecik.

Cuma tatkala ada yang menempelak apa perlunya berbelanja lebih untuk baju-baju sebegitu, aku hanya tersengeh tayang gigi yang putih kuning.

Bunga tak semuanya ungu, lalu kenapa persoalkan manusia tak semuanya begitu?



P/S: Kerana perbezaan itu perlu, lalu begitulah kehidupan. Andai semuanya senada, apa bezanya manusia dan mesin?

Selasa, 9 Ogos 2016

Beliau Semanis Gula-Gula

Ehh mintak maaf tajuk inspirasi drama Melayu sikit. Hahaha~

Kisahnya pendek saja.

Pagi-pagi tadi salah sorang bos dah pesan siap-siap, petang nanti jangan balik dulu, tolong siapkan ada satu laporan nih.

Jadi aku pun hantarlah satu pesan ringkas SMS berbayar kepada encik beliau.

Kadang-kadang aku suka juga mengacau encik beliau dengan mesej berunsur mengada-ngada dan menggedik-gedik. Kebetulan tadi memang mood manja-manja macam kucing Parsi.

"Sayang... I kena balik lewat hari ni, bos mintak tolong siapkan report.."

Macam tuh lah lebih kurang.

Selalunya encik beliau ni balas pendek je, biasanya "K" saja. Titik takde, dot pon takde. Memang macam tu saja balasannya setiap kali.

Tapi hari ni, agak terkejut bila terima balasan dari beliau.

"*smiley*smiley*good luck baby*smiley*smiley"

Wahhhhhh.... dan-dan ada satu suntikan semangat nak siapkan keje. Senyum sampai ke telinga lah aku....

Balik memang lewat lah. Dah sampai rumah aku mula lah usik-usik.

Panggil lah macam tadi, kata aku.

Mana boleh. Dah simpan dalam guni, katanya.

Jual mahal pulak dia....

Encik beliau kesayangan aku ni memang jenis yang tak banyak cakap, lepas tu nak ber-pet name bagai tuh memang jauh panggang dari api lah. Siap awal-awal kawen dulu dipanggilnya hoi-eh saja kat aku.

Balas mesej pun kadang-kadang macam marah saja, walhal memang jenis yang tak reti nak luahkan dalam ayat panjang-panjang.

Justeru bila dapat mesej macam tadi memang jadi energy booster lah. Hahaha~





P/S: Masih tersengeh macamkan kerang busuk sambil menaip. Hahahaha~

Ahad, 10 Julai 2016

Putus Asa

Penat sebenarnya.

Tapi bila pikir-pikirkan semula, masih belum masanya untuk putus harapan. Cahaya masih ada meskipun suram.

Sejak mula bertatih di dunia kerjaya aku selalu zikirkan di telinga teman yang ingin menyerah kalah, untuk sediakan pelampung sebelum menerjah arus.

Tapi bila ia terjadi pada diri sendiri, rupanya keinginan untuk melepaskan segala-galanya begitu kuat, hingga gagal untuk kekal rasional.

Penat yang menghambat, masih mampu aku gagahkan diri. Tapi bila kecewa  yang beraja, susahnya bertahan.

Ahad, 3 Julai 2016

Tak Sama

Baru-baru opis aku menganjurkan majlis berbuka untuk staf dan keluarga.

Dipendekkan cerita, aku hadir hanya dengan Aisyah. Encik beliau, bakar ayam berempah, tanak nasik dan goreng sayur, menghantar kami ke lokasi buka puasa menjelang jam tujuh, dan balik rumah berbuka dengan resepi rahsianya.

Banyak kali juga lah perlu aku jawab soalan-soalan tentang ketidakhadiran beliau.

Encik beliau memang jenis yang pemalu dan sukar bergaul dengan orang ramai. Beliau memang punya sejarah yang menjadi punca lebih gemar meminimakan penglibatan dengan orang ramai.

Awal perkahwinan, ia sesuatu yang mencabar juga. Yelah, baru kawen malamnya, esoknya keluar sama-sama tapi beliau tunggu dalam kereta dan hanya aku menapak sorang-sorang ke pasaraya atau ke mana-mana.

Tapi begitulah. Setiap orang tak sama dan tak serupa. Mungkin di mata yang lain kasihankan aku - pasaraya kadang-kadang sendiri, singgah beli makanan untuk dalam perjalanan pun sorang, isi minyak kereta, dan apa-apa saja.

Hakikatnya, aku gembira apa adanya. Untuk apa disusahkan satu yang keliatan seperti kekurangan dengan kelebihan beliau yang lain?

Beliau menerima apa adanya isteri yang lebih gen malas dari rajin ni. Isteri yang lebih suka emosi dari bertenang. Isteri yang suka merajuk untuk hal kecil-kecil.

Yang lain-lain, biar aku saja yang simpan.

Pendek kata, aku jatuh cinta pada beliau berkali-kali lagi selepas kawin. Beliau macamkan permata yang selama ni tersorok dalam timbunan pasir, dan aku jadi insan bertuah yang memiliki permata tu.



P/S: Sesekali cheesy. Wheeeee

Rabu, 29 Jun 2016

Towards The End

Haa macam biasalah, tajuk kemain omputih tapi isi kandungan tetap Melayu. Hahaha~

*serious mode turn on*

Tak mudah sebenarnya, untuk berada di sini agak macam-macam aku hadapi, lalui. Setelah bersusah payah dengan pelbagai rintangan akhirnya terpaksa aku ucapkan selamat tinggal jugak.

~Kuucapkan selamat tinggal.... selamattttt tinggalllllll~

Eh nyanyi pulak.

Mungkin ini caranya untuk aku kembali pada fitrah, sape tahu kan. Justeru aku memilih untuk redha dan menerima. Tapi taklah aku menyerah macam tu saja.

Walaupun aku takde sebarang tempat berpaut buat masa sekarang, tapi asalkan teman sejiwa sanggup belajar bertatih sama-sama, rasa yakin tu sikit sebanyak, ada.

Dengan kebenaran beliau, dan restu si ibu, aku akan bangun. Ini bukan penamat kehidupan pun. Andai orang lain mampu, aku pun tentu lah boleh. Bukan lah aku ni cacat penglihatan, pekak pendengaran, atau tempang kaki atau tangan. Sempurna adanya aku.

Lalu, aku janji pada diri, aku tak mengalah di sini. Mungkin ini kesudahan untuk aku di sini, tapi bukan pengakhiran segala-galanya.

~Dunia belum berakhir.......~

Eh nyanyi lagi.

Tiga bulan.





P/S: Aku tahu aku boleh.