Sabtu, 26 Jun 2021

Kolam

Setelah menunggu lebih dua minggu, akhirnya kolam Aisyah pun sampai.

Dapat je kami terus pam. Fuh, penat juga sebab rupanya kolam ni agak besar walaupun saiz ini adalah yang kedua terkecil. Mungkin juga kepenatan agak terasa kerana menggunakan pam manual.

Sambil seronok bermain air, Aisyah yang memang tak betah bermulut diam mula bersuara.

"Ibu, masa ibu kecil, ibu ada tak kolam macam Aisyah ni?" hujung nadanya berbunyi riak. 

Silap orang nak meriak, nak.

"Ibu dulu Tok Ayoh gali kolam. Lagi besar." Nada yang lebih riak.

"Eh, macamana Tok Ayah gali?"

"Rumoh Tok Ayoh tu duk kapung, tanoh luah, buleh la gali." Balas ibu.

"Kolam tu ada lagi ke?" Dia menyoal. Sudah ada bibit-bibit kekalahan di situ.

"Ada. Kolam ike keli loni tu lah kolam ibu mandi dulu." Makin mendada ibu bercerita.

"Habis tu Aisyah je kolam kecik..." Sebek. 

Haa siapa suruh cari pasal nak meriak dengan ibu, salah orang nak. Kahkahkah.


---------



Bahagian yang sengaja tidak diceritakan ialah akibat mandi dalam kolam yang besar dan luas itu.

Kolam itu asalnya tanah lapang yang ayah gali. Dalam dan agak luas. Malah sekarang panjangnya dua kali ganda panjang asalnya. Ia adalah kolam tanah, maka tentunya airnya berwarna keruh bak teh susu. 

Tidak menarik dan tidak menyelerakan.

Tapi cukup memikat hati anak-anak untuk terjun, berendam, dan menyelam, terutamanya untuk abang.

Adik-adik perempuan yang lain, kurang berminat.

Tetapi abang berfikiran agak jauh. Dia sudah melihat kesudahan andaikata dia berendam keseorangan. Lalu dia memujuk kami berdua - aku dan Wani - untuk turun ke kolam bersama-sama.

Kalau ayah balik, kita menyelamlah. Jadi kita berlatih menyelam dan menahan nafas sebelum ayah balik, begitu hujah abang.

Kedengaran tidak logik bukan, namun entah bagaimana kami yang kira-kira sembilan dan tujuh tahun itu, terperdaya. Lalu menyertai abang turun ke kolam.

Natijahnya? Kami menerima beberapa libasan dari ranting rambutan di betis masing-masing.

Serik? Perkataan ini tidak wujud dalam kamus hidup abang. 

Rabu, 23 Jun 2021

Kepochi

Antara masalah utama aku ialah, seorang yang kepochi. Atau, sangat gemar melibatkan diri dengan masalah atau Hal orang lain.

Meski ada masanya aku dapat membantu memudahcara atau menyelesaikan sedikit masalah, jujurnya ia bukanlah sikap yang baik.

Banyak hal buruk yang berlaku akibat dari sikap yang satu ini.

Dan walau sekuat mana aku mencuba menahan diri, ada waktunya aku masih tetap terbabas menjerumuskan diri dalam hal mereka yang lain.

Hari ini, seseorang yang aku kenali sedang berada dalam situasi yang terlihat sukar untuk dia, sebaliknya jalan-jalan keluar ternampak-nampak di mata aku.

Maka terasa membuak-buak ingin mencadangkan sesuatu.

Tidak perlu, bukan?





----------




Mungkin sudah masanya untuk berhenti hidup sebagai seorang mazeedah.

Selasa, 22 Jun 2021

Motivator VS Penasihat Semberono

Kata sorang teman, aku layak jadi seorang motivator. Atau seorang penasihat.

Ayat ini jujurnya buat aku tertawa.

Kawan, semua orang mampu berkata-kata. Kerana lidah itu lemah gemalai sifatnya. Dan jemari meski bersendi dan bertulang, tetapi masih juga tangkas memetik aksara membentuk bicara indah berbunga hingga kau hanyut sendiri.

Aku kira ini bukan kali pertama aku bercerita tentang teori Tingkap Johari. Dari empat tingkap, pandangan kau hanya tertumpu kepada dua di hadapan, sedang kau tidak mungkin dapat melihat dari dua lagi di belakang.

Lalu aku hanya bertindak selaku cermin pandang belakang.



-----------




Memberi pandangan itu mudah, kawan.

Menggunakannya, tidak semudah itu.

Begitulah.

Ahad, 25 April 2021

Anak Seorang

Topik anak adalah antara topik atas muka bumi yang susah nak habis. Malah mungkin takkan habis.

Belum ada anak ditanya-tanya bila nak dapat anak.

Sudah ada anak ditanya pula bila nak diberikan adik.

Sudah anaknya ramai ditanya pula kenapa tidak merancang.


Anak perempuan, salah. 

Anak lelaki pun, salah.

Anak berkeperluan khas, lagilah salah. Silap-silap seluruh keturunan mak ayah dibongkar habis-habisan.


Aku tentulah tidak berkecuali dari soalan itu. 

Dan setelah mencuba beberapa cara, aku kira antara yang terbaik adalah senyum selebar yang mampu jika berdepan dengan soalan sebegini.

Aku tak perlu untuk memberi sebarang penjelasan mahupun penerangan tentang perancangan keluarga aku kepada sesiapa, apatah lagi kepada entah siapa-siapa yang santai saja bertanya-tanya.


Cuma adakala ada yang lebih agresif menuntut jawapan. Untuk golongan sebegini aku hanya memanjangkan senyuman tadi kepada gelak yang cuba untuk tidak begitu ketara dibuat-buat. Bayangkan saja sedang tertawa menonton komedi yang tidak kelakar.


Masih mahukan jawapan? Aku ketawa lebih keras.


Ada waktunya cara-cara ini semua tidak mendatangkan hasil. Justeru apa yang selalu aku buat ialah melencongkan topik. Atau bercakap semberono. Tentang langit, corak awan, atau mungkin tentang resepi-resepi Khairulaming.



---



Anak seorang

Gadis kecil yang menawan

Bergigi jarang

Gemar pula ia ditayang-tayang


Anak seorang

Kadang selaku teman

Tak kurang juga kami berperang


Anak seorang

Enam tahun usianya

Kenangan tujuh tahun yang dulu

Masih bergentayangan dalam ingatan


Anak seorang

Anakku bukan anakmu.


Khamis, 15 April 2021

Tebulah 2

Zaman sekolah rendah dulu korang pernah main tukar tiang tak?

Ingat tak tiang-tiang di sekolah cantik je jarak dia, memanggil-manggil je suruh main bila waktu rehat.

Aku suka main tukar-tukar tiang, sebab ia permainan yang tak memerlukan aku bercakap. Iya, suatu ketika dulu aku pernah simpan emas dalam mulut, justeru bibir sentiasa terkatup rapat.

Dan satu lagi 'permainan' yang aku suka ialah berangan, mengelamun, atau biasanya Kelantan menggelarnya sebagai mengoya - di mana perkataan dasarnya adalah koya.

Aku tiba di sekolah agak awal pagi tu, lalu aku santai sahaja melangkah ke kelas yang berada di bangunan belakang. Sambil melayan bermacam hal di dalam fikiran, aku sempat menelinga perbualan beberapa orang teman sekelas yang datang dari arah bertentangan.

Topik mereka begitu menarik hingga aku tak sedar kepalaku tertoleh sama, sedang kaki setia menapak ke hadapan.

Dalam aku sedang fokus merenung kawan-kawan beberapa orang itu, ada suara lain yang meningkah tiba-tiba. Bernada keras, cukup keras untuk membunuh lamunan.

"Mazeedah, tiang!!"

Spontan aku menoleh.

BUKKK.

Bayangkan sebiji nangka busuk jatuh ke tanah - begitulah bunyinya.

Impak pertembungan dengan sebatang tiang menyebabkan dahiku tertunjal ke belakang. 

"Wei mu bakpo jale tok kelih depe?!" Tegur kawan yang sama memberi amaran.

Namun untuk menoleh dan menerangkan apa terjadi adalah tidak mungkin - ia memalukan, dan tentu saja tidak menepati ciri-ciri seorang pendiam waktu itu.

Lalu aku meneruskan perjalanan ke kelas sambil menekap dahi dengan tapak tangan. 

Hingga sekarang aku tak pasti siapa kawan yang seorang itu.

 

Sabtu, 20 Februari 2021

Tebulah

Aku sekitar 9-10 tahun waktu itu. Masih kanak-kanak tapi jiwa sering merasakan diri sudah dewasa.

Usai kelas fardu ain aku bersahaja menapak melintas jalan. Pulangku petang itu hanya berjalan kaki. Jarak rumah dan sekolah yang kira-kira lima minit tidak melelahkan langsung.

Sambil berjalan pandanganku bergelintar. Melihat kawan-kawan lain sedang tercatuk menunggu ibu ayah datang. Berhampiran pintu masuk sekolah sebahagian ibubapa sedang menunggu di motosikal masing-masing.

Aku ralit membayangkan apa yang mereka fikirkan sambil menunggu hingga terlupa akan diri sendiri.

Ibarat microsleep semasa memandu, mata terbuka namun hakikatnya fikiran sudah ke langit biru.

Sayup-sayup aku terdengar suara seorang wanita terjerit-jerit. Butir katanya tidak jelas tetapi suara itu semakin lama semakin kuat. 

"Kak, paghit tu!"

Tiga perkara berlaku dalam detik yang sama. 

Otak memproses tiga perkataan itu.
Aku menoleh ke hadapan - selari langkahan kaki.
Aku terjerumus masuk parit.

"Allah!"

"Aloh guano kak wei..."

"Bakpo tu??"

"Nyo jale mato alah kelain tu gak."

"Bangun doh tu."

Anehnya, sepantas aku terjerlus ke dalam parit yang sedalam lebih kurang satu meter itu, sepantas itu juga refleks membuatkan aku memanjat naik.

Kemudian, aku meneruskan perjalanan ke rumah dengan wajah tanpa riak.

Syukurlah musim kemarau. Parit kering tanpa air atau lumpur. Cuma bajuku sedikit berdebu.

Hingga kini, kisah ini tak pernah aku ceritakan pada ma.





P/S: Tebulah - cuai.

Ahad, 29 November 2020

Carlos - Case Closed VS Mandatori : A Spoiler

Ringkasnya, Carlos dalam Carlos - Case Closed dan Carlos dalam Mandatori adalah orang yang berbeza meski dikelirukan dengan kemunculan Bilal Piut.


Jujurnya aku sedikit kecewa kerana rasa tertipu dengan penggunaan nama yang sama, malah terperdaya pula dengan sinopsis yang tidak membantu di belakang novel. 😆😆


Perasaannya seperti membeli KFC atau MCD yang gah beriklan namun yang diterima tidaklah sepertinya. 


(Persamaan adalah dari segi emosi, bukanlah pada kualiti.)


Watak utama dalam naskhah ini ialah Izani, yang menyangka dia adalah seoramg doktor sakit jiwa yang juga turut menghidap amnesia. Izani menyangka dia sedang berdiam di sebuah banglo besar di Petaling Jaya bersama isterinya yang jelita, Jasmeen - seorang peguam handal.


Sebaliknya, Izani adalah penghidap DID. Seorang yang sangat pintar namun mempunyai sebuah keluarga yang berantakan. Si ayah yang baran dan kaki judi serta kaki pukul. Selalu menjadi mangsa amukan si ayah dan saksi mata penderitaan ibunya menyebabkan trauma.


Anehnya dalam keadaan sebegitu turut menjadikan Izani seorang narcissist.


Jasmeen yang disangka isterinya, merupakan tahanannya (walaupun macam ada rahsia tentang watak ni). Manakala watak Carlos dijelmakan melalui bayangan minda setelah obses dengan novel Mandatori. Justeru menjelaskan mengapa watak Carlos - Case Closed lebih kejam.


Sekaligus memberi penjelasan mengapa Carlos (aka Amran) memburu mereka yang tiada perkaitan dengan kematian ayah. Jawapannya mudah - kerana mereka bukanlah orang yang sama, secara tidak langsung menempelak sebahagian pembaca yang percaya adanya Carlos/Bilal Piut di luar sana (termasuklah aku).


Watak Bilal Piut dikekalkan dengan ulah tiga sukunya yang gemar bercerita (watak Mayang di sini juga kurang jelas).


Nama Izani ada muncul dalam Fiksyen 302 sebagai pembantu penyelidik, sebaliknya dalam Carlos - Case Closed dia adalah subjek. Terkurung di dalam sebuah bilik dan hanya terperuk merenung biasan wajahnya sendiri di cermin - menikmati pelbagai imaginasi yang bebas tiada had.





----




Secara peribadinya, aku masih sukakan MANDATORI.


Sekian.


Khamis, 26 November 2020

CARLOS - Case Closed : A Review

Carlos - Tulisan terbaru oleh Ramlee Awang Murshid.

Karya ini tiada di mana-mana kedai buku dan hanya boleh didapati melalui pra-tempahan. Berharga RM35 tidak termasuk kos pos RM10 ke Semenanjung Malaysia. Bagaimanapun ia disertakan dengan sekeping magnet peti sejuk, penanda buku, dan kad ucapan buat pembaca/pembeli.

Oh, sebelum aku teruskan, jika anda masih belum membaca Carlos, maaflah. Ini adalah spoiler.


----


Bagi aku target tulisan RAM kali ini khusus untuk para pembaca novelnya terdahulu, kerana tanpa bacaan awal Rahsia Perindu, Fiksyen 302, dan paling utama Mandatori, agak sukar untuk menghadam kisah ini.


Kekal dengan trademarknya yang gemar bermain dengan timeline, kali ini aku tak memerlukan bacaan kali kedua untuk menebak permainan RAM.


Dan walaupun masih mengangkat DID sebagai tema utama, namun penghujung kisah RAM rupanya menekankan satu lagi masalah jiwa yang jarang diperkatakan - narcissist. Pelengkapnya, imaginasi yang tiada sempadan.


Bab-bab awal Carlos memperkenalkan watak Izani, seorang doktor sakit jiwa yang membuka klinik persendirian setelah beberapa tahun berkhidmat dengan kerajaan. Seorang lelaki yang terlihat bahagia bersama isterinya di sebuah banglo besar, ironinya turut menderita menghidap amnesia.


Isterinya Jasmeen, seorang peguam hebat yang terikat kontrak dengan sebuah syarikat bernama Layabit.


Menariknya, Izani berada di 2021, 'setahun selepas Hari Ini', manakala isterinya berada di beberapa time zone yang lain - awal 2017 dan 2020.


Manakala watak Carlos pula muncul untuk menghukum mereka yang terlibat dalam kes pembunuhan Kassim dan Haslin lima tahun lepas - Kassim dibunuh manakala isterinya Haslin pula dirogol bergilir-gilir sebelum kedua-duanya rentung setelah rumah mereka dibakar untuk menghapuskan bukti. Di bawah seliaan seorang polis yang kurang berpengalaman dan kurang peka, kes itu ditutup berikutan ketiadaan/kekurangan bukti.


Sepertimana watak asal Carlos dalam Mandatori, Carlos juga menjejak semua yang terlibat dalam kes tersebut. 


Berbeza dengan tulisan sebelum ini, gaya Carlos lebih kejam dan sadis. Hilang dalam kegilaan sehingga tergamak menyeksa dengan memecahkan tempurung lutut dan memotong kelopak mata.


En.RAM, mohon jangan kejam sangat. Saya terpaksa membaca dengan mata tertutup.


Girl's power menerusi watak Ezalina, bekas wartawan yang terpaksa diberhentikan kerja kerana syarikat penerbitan yang gulung tikar, seterusnya bekerja sendiri melalui portal berita secara online.


Carlos menawarkan RM65,000 kepada Ezalina untuk membantunya dalam pembongkaran kes Kassim Haslin. 


Jika Carlos dalam Mandatori mempunyai duit tunai yang berkepuk hasil rompakan oleh bapa angkatnya si lanun, lain ceritanya dengan Carlos ini. Sumber kewangan Carlos adalah dari hasil ugutan bunuhnya terhadap Kamil, seorang scammer.


Jenayah bunuh oleh Carlos disiasat oleh seorang pegawai polis, Nora. 


Seiring perkembangan plot, satu demi satu mereka yang terlibat dalam pembunuhan Kassim Haslin, digantung oleh Carlos. 


Konflik semakin berkembang apabila identiti Carlos ini hampir tiada perkaitan dengan Carlos dalam Mandatori, meski watak Bilal Piut muncul sesekali.


Persoalan mulai terlerai apabila Carlos mendedahkan identitinya sebagai mangsa tragedi lima tahun lepas, meski dia bukanlah Kassim.


Bagaimanapun, ini bukanlah penamatnya. Masih ada rahsia lain yang lebih besar. Tentang Izani, misalnya.



------



Mungkin agak terbiasa dengan penulisan RAM maka thrill tu agak kurang terasa. Dan walaupun buku ini agak kurang memenuhi jangkaan tetapi RAM masih berjaya memberi kejutan di penghujung Carlos - Case Closed, sekaligus memerlukan bacaan kali kedua.


Jika anda memang follower RAM, anda perlu dapatkan naskhah ni. Tapi jika anda pembaca baru, mungkin sedikit sukar. Apapun Carlos masih bahan bacaan berbaloi jika anda peminat novel Melayu genre sebegini.




P/S: Next entry adalah ulasan yang leeeeeeeebih panjang dan terperinci.

Selasa, 24 November 2020

Dia Si Mekanik

Suatu ketika di pinggir bandar, ada seorang remaja lelaki yang sangat meminati motosikal.

Cita-citanya seorang mekanik barangkali.

Tamat darjah enam dia meminta dibelikan sebuah motosikal terpakai, dan berterus-terang dia mahu menggunakannya untuk belajar lebih lanjut tentang motosikal.

Selaku anak lelaki seorang, malah anak sulung pula, maka permintaan itu dipenuhi. Sebuah motosikal EX5 dibawa pulang untuknya.

Sejak itu dia kerap berteleku menilik kenderaan beroda dua itu. Sepertimana kata-katanya, satu demi satu bahagian dibuka. Karburator dibelek-belek, malah dibawa ke bilik tidur.

Kerap juga dia membuat pelbagai modifikasi, dari motor menderam perlahan, kepada mengaum hingga dipekik ibu, atau langsung terdiam tiada sebarang bunyi.

Teman-temannya acapkali ke rumahnya mengheret motosikal masing-masing, dan entah magis apa diseru, kebiasaannya mereka akan pulang menunggang motosikal dengan leret senyum ke telinga. Ironinya motosikalnya sendiri hanya berfungsi 7 hari dalam setahun. Baki 358 hari lagi ia hanya tersadai tak ubah besi buruk.

Adik-adik yang perempuan semua, selalu terpaksa menahan telinga mendengar bicara terujanya tentang motosikal, hingga salah seorang adiknya akhirnya miliki sebahagian pengetahuan dan skil tersebut.

Hobi itu adakala membawa bermacam masalah juga. Pernah dia terbeli 'karburator panas' hingga diburu pihak berkuasa.

Mahu tak panas, barangan curi!

Tentu saja ia mudah dikenalpasti kerana nombor casis elok tertera di situ. Lalu dalam panik, si ibu lekas mencapai ketulan besi bersaiz tapak tangan itu dan mencampakkannya ke dalam perigi di dapur.

Berhari-hari si ibu dalam keresahan dek motosikal polis yang tidak putus-putus meronda. Berdoa semoga anaknya si mekanik tak bertauliah itu tidak tersenarai selaku pesalah.

Beberapa ketika kemudian keadaan tenang ke asal.

Si ibu menghela nafas lega.

Anaknya?

Kekal meneruskan kecintaannya terhadap ilmu baiki-membaiki itu. Cuma kali ini, sudah lebih matang mengendalikan diri.






------



20 tahun kemudian...



Di bengkel motor kelihatan seorang wanita sedang menyorong motosikalnya.

"Kenapa motor kak?" Sapa pemilik bengkel.

"Entahlah. Hidup mati hidup mati. Hari tu berhujan, lepas tu ada bawa basuh. Agaknya tersembur air ke karburator ke macamana," jelasnya panjang.

"Mungkin, mungkin. Eh akak tahu ya pasal motor??" Sahut si pemilik bengkel, wajahnya tampak teruja.

Wanita itu hanya tersenyum di sebalik pelitup muka, seraya merapatkan jari telunjuk dan ibu jari.

Tentulah. Tanyalah siapa abangnya.

Isnin, 16 November 2020

Kawan Pertama - Sebuah Kisah 'Cringe'

Cerita-cerita tentang kawan ni adakalanya cringe sikit. Apatah lagi bila kisahnya berkisar tentang kanak-kanak yang baru mencecah remaja.


----
Dia ketua kelas jika tak salah. Berkulit sawa matang, tinggi lampai, dan memiliki senyuman yang manis bergula.

Selalu aku melihat dia menyantuni kawan-kawan sekelas yang lain. 

Dan kebetulan pula kami sebetulnya menaiki bas sekolah yang sama malah jarak rumah kami juga cuma kira-kira empat kilometer.

Selaku seorang yang agak pendiam dan tidak berkeyakinan, aku hanya berani meninggalkan sepucuk surat bertulis tangan yang menyatakan hasrat untuk menjadi sahabat. Surat itu pula tidak aku akhiri dengan sebarang tanda pengenalan diri.

Sejak itu, aku hanya memerhati gelagatnya mencari-cari. Namun aku meramalkan tidak sukar untuknya menemukan jawapan.

Kedudukan di belakang kelas memberi aku kelebihan. Nun di hadapan aku melihat dia membanding-bandingkan tulisan kawan-kawan sekelas dengan surat tersebut. Selaku ketua kelas dia punya akses kepada buku-buku latihan justeru ia tugasan yang tidak sukar, hanya memerlukan sedikit usaha dan masa.

Setelah beberapa ketika dia tiba-tiba menyapaku - ramah dan tampak bersahaja. Aku menyambut sapaan itu dengan senyum tipis - ya, aku sudah ditemui.

Untuk beberapa tempoh kami jadi teman sekelas yang agak baik. Malah sempat meluangkan masa sama-sama duduk bersila di padang dengan nasi bungkus dan nota-nota hafalan.

Di suatu masa aku sudah mula melupakan surat yang aku tulis. Dan dia juga sepertinya mengambil keputusan yang sama. Apa gunanya lagi - kami sudah menjadi kawan, bukan?

Cuma, gerimis kadang-kadang muncul meski langit cerah tanpa awan mendung. Titisnya halus hampir tidak jelas di mata tetapi kekal bersifat air - membasahkan permukaan.

Hari itu kami bersila di padang - yang duduknya di tengah-tengah sekolah - sambil menikmati nasi bungkus. Berteduh dari sinar mentari di bawah bayang pohon rendang dengan angin yang manja-manja menghembus. Tenang.

Namun, sambil gumpalan nasi dan gulai ayam disuap ke mulut, matanya enggan kalih dari wajahku. Pandangannya tidak tajam tetapi cukup untuk menghambat segala rasa gembira yang ada.

Apabila dia mula membuka mulut, aku cepat-cepat memangkas ayatnya. Aku minta supaya rezeki dihabiskan terlebih dahulu, dan sebagai seorang yang berbudi bahasa dan berakhlak, dia akur.

Usai makan masing-masing membisu - tidak seperti kebiasaan. Tatkala dia menyebut tentang surat tersebut, aku hanya mengiyakan. Jujurnya aku memang tidak punya niat untuk mengelak atau melarikan diri.

Aku segan bersuara maka aku biarkan aksara yang berkata-kata, jawapanku apabila dia mahukan penjelasan tindakan itu.

Tamat sekolah hari itu kami berpapasan lagi di pagar sekolah. Sementara menunggu bas sekolah yang belum kunjung tiba, aku memulakan perbualan seperti hari-hari sebelumnya.

Dia mendengar dan sesekali mengangguk kecil. Cuma, di tengah-tengah percakapanku dia tiba-tiba berlalu.

Begitu sahaja. 

Ayat yang tergantung, aku telan semuanya. 


---


Kami kekal sebagai kenalan satu kelas.





-



Cringe. Ya, aku tahu.

Dan begitulah permulaan kehidupan enam tahun sekolah menengah yang tak pernah aku rindukan.









Selasa, 27 Oktober 2020

PKP 2.0 VS Ekonomi

27102020/2122


PKP 2.0 atau Kepentingan Ekonomi.


Dua pilihan yang sama susah sama payah. Ibaratnya ditelan mati mak diluah mati bapak.


PKP 2.0 jika dilaksanakan insya-Allah akan mendatangkan banyak kebaikan dari sudut pengawalan wabak Covid-19 sekarang. Secara teorinya semakin kurang pergerakan semakin rendahlah risiko penyebaran virus ni dan akhirnya kemungkinan jangkitan akan semakin dalam kawalan.

Buruknya ialah mereka yang bergaji hari, bergaji rendah, atau bergaji cukup-cukup makan. Nak menyediakan makanan di atas meja satu cerita, komitmen bulanan satu cerita lain pula. Malah lebih buruk lagi bagi yang menghadapi masalah yang lebih kompleks contohnya berada dalam kekangan penderaan fizikal, mental, atau seksual.

Dalam masa yang sama, wabak ini jika tidak dikawal dengan sebaiknya, tetap juga akan memberi kesan yang sama buruknya - ancaman pada nyawa.


Semacam mahu menarik rambut dalam tepung, rambut jangan putus dan tepung jangan berselerak.

Mungkin pelaksanaan SOP perlu diperketat semula sepertimana PKPP mula diperkenal. Penggunaan pelitup muka dan penjagaan jarak. 

Kita pernah menyambut beberapa perayaan dalam SOP dan berjaya mengharungi tempoh-tempoh tersebut tanpa sebarang kewujudan kluster raya atau seumpamanya.

Justeru meski Covid-19 yang sekarang adalah sepuluh kali ganda lebih kuat dari yang sebelumnya, dengan kerjasama semua (dan izin Tuhan tentunya) aku percaya kita mampu.


Satu kekurangan yang aku lihat ialah kekurangpekaan atau sikap ambil mudah di sesetengah mereka di kawasan hijau. Sebahagian masih merasakan wabak ini bukan satu ancaman. Masih bertenang dengan pelbagai majlis sambutan sana sini dan sebagainya, malah agak menjengkelkan apabila yang melawak tentang mereka yang terlibat dengan PKPB atau PKPD.

Antaranya, Squidward di tingkap rumahnya yang merenung Spongebob dan Patrick berlari-lari girang.

Sungguh, ia tidak kelakar. 

Setiap pagi bangun menghitung hari ini hari keberapa PKPP, setiap petang menunggu kemaskini bacaan kes, setiap hari berdoa semoga wabak ini segera berada dalam kawalan supaya dapat menikmati hari-hari yang sebelum ini.

Dan selaku seorang ambivert yang memerlukan dunia luar untuk kekal waras, terkurung begini sesungguhnya satu seksaan.





2147/27102020

PKPP Klang Day 19

PKPP Selangor, Kuala Lumpur, & Putrajaya Day 14

Khamis, 1 Oktober 2020

Negatif

Setelah tiga bulan berhempas pulas untuk kekal tenang, hari ini aku gagal. Rebah setelah penat bertahan. Akur dengan keadaan.

Selagi mana bergelar mentimun, usahlah berangan melawan sang durian.

Cuma, menyerahkan leher untuk disembelih bukanlah cara aku. Hanya kerana aku terlihat aman, tidaklah bermaksud aku tak mampu menyeringai. Bak sang bedal yang tenang di bawah sungai.

Semampu yang boleh, aku enggan berdolak-dalik. Lalu hari ini aku memilih untuk berterus-terang. Aku maklum akan ada rasa yang terusik, tapi aku selalu percaya bahawa mengungkapkan kebenaran yang pahit itu lebih baik dari menuturkan yang muluk-muluk tetapi dusta semua.

Jika mampu, aku mahu pinjam bahu. Banjir di tubir mata terasa sudah mahu melimpah keluar.

Benteng kelopak terlalu cetek untuk bertahan. Sebu yang tertahan ini juga semakin menyesakkan.

Begini rasa kecewa.

Aku kira aku sudah bijak menurunkan semua jangkaan. Aku kira aku cukup licik untuk hanya bertatih dan tidak berlari supaya langkah tak bertelingkah hingga aku jatuh tersadung. Rupanya hanya dengan menapak juga masih boleh salah percaturan.

Tersungkur juga terpijak lopak. Tertutup dek helaian daun yang nampak cantik bertebaran di bumi.

Jalan di depan seakan jalan mati. Buat masa sekarang aku hanya mahu duduk dan enggan berfikir.

Suatu masa aku akan bangun semula. Mungkin aku akan toleh ke kanan, atau ke kiri, atau mungkin toleh semula ke belakang. Jalan baru akan aku tarah.

Cuma buat masa sekarang, aku enggan. Pahit ini terasa perit.

Aku akan bangun. Tetapi bukan sekarang. Sekarang aku hanya mahu mendongak ke atas dan merenung langit malam. Mendung dan gelita. Tiada bintang mahupun bulan. Hanya sesekali kilat memancar.



---


Sekali lagi, aku membawa maksud namaku.


Rabu, 16 September 2020

Ibu VS Anak

Sebagai seorang ibubapa, adalah biasa untuk sentiasa risaukan anak-anak.

Dan kerana anak-anak itu jasad dan fikirannya adalah berbeza dari induknya, maka ia normal untuk selalu tak punya idea atau pemikiran yang serupa.

Di depan mata, aku melihat si ibu beria-ia mahu anaknya memohon jawatan apa-apa saja di bawah kerajaan. Alasan si ibu cukup utuh - meski gajinya tidak sebesar mana, tetapi kelebihan lain antaranya peluang untuk memohon jawatan lain lebih tinggi, serta pelbagai elaun yang hampir memampukan membayar bulanan sebuah Honda City.

Tetapi si anak hanya melayan ocehan si ibu tanpa tindakan. Tidak menidakkan juga tidak mengiyakan.

Aku melihat si anak punya cita-cita lain yang tidak seiring cita-cita ibunya.



---

Sebagai si anak, aku sedikit sebanyak pernah merasai keadaan itu.

Impian aku dan impian ma tidak pernah sama. Malah kerap berbeza. Cuma selaku seorang emak, ma acapkali mempunyai kuasa membuat aku patuh aturannya. Walau adakala aku merasakan ma tidak memberi aku peluang mengejar apa yang aku mahukan, namun sebagai anak yang maklum ma hanya mahukan jalan hidup aku lebih sempurna berbandingnya, aku akur dalam banyak hal.



---

Sebagai si ibu, aku juga dapat menyelami sedikit sebanyak si ibu itu rasakan - anaknya tidak mengambil peluang yang ada di depan mata.



---

Cuma begitulah kehidupan. Aku melihat ramai yang dikurniakan ibubapa yang sangat menyokong anak-anak, sanggup untuk mendokong apa saja kehendak anak-anak dalam mencorakkan jalan hidup masing-masing, sebaliknya si anak memandang sebelah mata kelebihan itu.

Dan dalam masa yang sama ramai juga ibubapa yang lebih gemar memandang anak-anak umpama diri mereka yang kedua - kejari apa yang telah mereka sia-siakan sewaktu kecil mereka. 



---



Sukarnya jadi si anak.

Dan tidak mudah juga menjadi si ibu.

Aku kira begini rasanya menarik rambut dalam tepung, rambutnya jangan putus dan tepungnya tidak berselerak.