Rabu, 16 September 2020

Ibu VS Anak

Sebagai seorang ibubapa, adalah biasa untuk sentiasa risaukan anak-anak.

Dan kerana anak-anak itu jasad dan fikirannya adalah berbeza dari induknya, maka ia normal untuk selalu tak punya idea atau pemikiran yang serupa.

Di depan mata, aku melihat si ibu beria-ia mahu anaknya memohon jawatan apa-apa saja di bawah kerajaan. Alasan si ibu cukup utuh - meski gajinya tidak sebesar mana, tetapi kelebihan lain antaranya peluang untuk memohon jawatan lain lebih tinggi, serta pelbagai elaun yang hampir memampukan membayar bulanan sebuah Honda City.

Tetapi si anak hanya melayan ocehan si ibu tanpa tindakan. Tidak menidakkan juga tidak mengiyakan.

Aku melihat si anak punya cita-cita lain yang tidak seiring cita-cita ibunya.



---

Sebagai si anak, aku sedikit sebanyak pernah merasai keadaan itu.

Impian aku dan impian ma tidak pernah sama. Malah kerap berbeza. Cuma selaku seorang emak, ma acapkali mempunyai kuasa membuat aku patuh aturannya. Walau adakala aku merasakan ma tidak memberi aku peluang mengejar apa yang aku mahukan, namun sebagai anak yang maklum ma hanya mahukan jalan hidup aku lebih sempurna berbandingnya, aku akur dalam banyak hal.



---

Sebagai si ibu, aku juga dapat menyelami sedikit sebanyak si ibu itu rasakan - anaknya tidak mengambil peluang yang ada di depan mata.



---

Cuma begitulah kehidupan. Aku melihat ramai yang dikurniakan ibubapa yang sangat menyokong anak-anak, sanggup untuk mendokong apa saja kehendak anak-anak dalam mencorakkan jalan hidup masing-masing, sebaliknya si anak memandang sebelah mata kelebihan itu.

Dan dalam masa yang sama ramai juga ibubapa yang lebih gemar memandang anak-anak umpama diri mereka yang kedua - kejari apa yang telah mereka sia-siakan sewaktu kecil mereka. 



---



Sukarnya jadi si anak.

Dan tidak mudah juga menjadi si ibu.

Aku kira begini rasanya menarik rambut dalam tepung, rambutnya jangan putus dan tepungnya tidak berselerak.

Khamis, 10 September 2020

Siri Ibu Aisyah: Epilog


EPILOG                    

 

Si tua itu mahukan anakku. Namun kehadirannya disedari lebih awal oleh anak buahku yang lahir awal dua hari dari anakku. Renungan tajam bayi beberapa jam itu menyebabkan ia tidak selesa.

 

Si tua ini hilang lebih awal, aku tidak pasti bila, mungkin juga selepas aku pulang dari Darul Syifaa’. (Aku kurang pasti susunan peristiwa ini justeru aku tak perincikan ia dalam bahagian-bahagian sebelum ini.)

 

Semasa ‘aku’ jadi lancang berkata-kata, ia yang berada denganku waktu itu adalah lebih muda, lebih agresif, suka menggatal (ada banyak dialog di mana ia meminta agar menghubungi suamiku supaya segera balik dengan nada yang sangat gedik, serta ia sempat bersuara manja terhadap abang) gemar mengekek, sarkastik, dan ia mahukan aku serta semua yang aku miliki. Pendekkan cerita, ia gilakan perhatian. Pun begitu ia punya sedikit kebencian terhadap suamiku.

 

Aku yang terawang-awang waktu itu kerap berasa rendah diri dengan ia yang kedua ini. Ini adalah perasaan yang sukar untuk aku jelaskan.

 

 

---

 

Sekarang?

 

Aku sudah pulih alhamdulillah. Ia sudah hilang, aku tak pasti kemana, atau sejak bila ia benar-benar hilang.

 

Sama ada ia pergi berasbabkan ustaz berkeris kayu kecil itu, atau ustaz kedua yang meregang pergelangan tanganku.

 

Aku tidak pasti.

 

Kerana apabila aku mengambil masa kira-kira dua tahun untuk benar-benar mampu bersendiri tanpa teman di sisi. Suamiku tak pernah meninggalkan aku keseorangan, malah aku dan anak kami turut sama ke masjid setiap tengahari Jumaat – duduk-duduk di dalam kereta sementara suamiku menunaikan kewajipan itu. Hanya usai solat Jumaat barulah kami akan pulang ke rumah untuk aku solat Zohor pula.

 

Aku masih terasa gerun dengan surah al-Jinn, meski kandungannya adalah penjelasan bahawa Allah satu-satunya tempat memohon pertolongan. Manakala perbuatan meminta bantuan daripada para jin pula adalah sia-sia bahkan menyebabkan golongan ini semakin sombong walhal hakikatnya mereka tidak mempunyai pengetahuan tentang hal-hal ghaib.

 

Ia aneh, tapi sesekali surah ini masih menyebabkan bulu romaku merinding.

 

---

 

 

Aku tak pernah sudi bercerita tentang pengalaman ini dengan sesiapa, antara sebab utamanya adalah aku enggan mendengar komen-komen seperti betapa keadaan itu mudah terjadi kepada ibu-ibu hamil, atau betapa ia senang berlaku kepada mereka yang lalai.

 

Ia berlaku hanya kerana Allah yang telah mengizinkan. Itu sahaja. Titik.

 

Usah berbalah dengan aku tentang ini.

 

Sebab-sebab lain?

 

Aku tidak suka dengan pandangan simpati berbaur yang selalu aku terima.

 

Sepertimana aku selesa melupakan kondo rakyat serta hal-hal berkaitan dengannya, begitulah aku mahu melupakan hal ini.

 

 

 

----

 

 

 


Siri Ibu Aisyah: Bahagian Terakhir - Tamat


Aku kira ia bukan Islam, kerana setiap kali ma bisikkan syahadah ke telingaku dan memujuk aku melafazkan syahadah, aku hanya ketapkan bibir serapatnya dan menggeleng-gelengkan kepala.

 

Pun begitu, saat warasku menguasai aku sempat meminta agar surah al-Jinn dipasangkan berulang, serta agar adik lelakiku yang ketika itu berusia tujuh tahun, untuk melaungkan azan, juga berulang-ulang.

 

“Al-Jinn? Yaasin?” ma berasa hairan aku kira.

 

“Al-Jinn je, al-Jinn. Dan suruh adik azan. Bukan dari laptop, biar adik yang azan,” pesanku, sebelum aku direntap keluar semula.

 

Gabungan surah ini dan laungan azan benar-benar melemaskan. ‘Aku’ jadi rimas dan tidak selesa – seakan-akan perasaan melekit setelah seharian bekerja dan mahu segera mandi.

 

Apabila adikku berdiri dan melaungkan azan untuk kali entah keberapa, ia menempelak marah.

 

“Eh budak kecik! Tak habis lagi ke? Orang azan sekali jelah!”

 

Aku rabun, tapi masih jelas di ingatanku mata adikku memerah dengan genangan air jernih sebelum ia menoleh ke depan dan cekal dengan tugas ma untuknya – laungkan azan.

 

 

---

 

Suara salam di pintu tiba-tiba membuat aku gementar.

 

Seorang lelaki asing merapat. Tidak berbasa-basi dia segera mendekatiku. Selepas memohon keizinan pada ma untuk memegang bahagian kakiku, dia mengeluarkan sebilah keris kecil aku kira. Sebilah keris kayu.

 

“Eh ni nak pegang-pegang bini orang ni dah bagitahu laki dia ke?” Ia cuba memprovok, tapi aku dan ia sama-sama tahu, kami sama-sama berasa gerun.

 

Lelaki asing itu hanya melalukan keris kayu itu di celah-celah jari kakiku.

 

“Kayu je ke? Macamana nak tikam ni?” Ia mencebik, cuba menyembunyikan getar ketakutan yang mulai menggigit rasa.

 

Lelaki itu hanya tersenyum tipis seraya membalas perlahan, “Sabarlah, nanti kita tengok sakit tak.”

 

Sejurus itu ‘aku’ terjerit.

 

“Adoi! Eh sakit jugak ya pakai kayu je pun!” Katanya.

 

“Mu ni dari mana?” Lelaki itu memulakan soal-jawab.

 

Ia mengunci mulut tapi terpaksa memberi jawapan apabila sekali lagi rasa sakit menyerang. “Selayang,” mendayu-dayu ia menyahut.

 

“Selayang tu kat mana?” Lelaki itu bertanya lagi.

 

“Selayang tu kat Selangor lah, bod*h! Hahaha!” Ia ketawa besar, cuba melindungi rasa sakit yang semakin dirasai.

 

Lelaki itu hanya mengerling sekilas. Kecut perut, ia segera menyambung. “Eh, aku pun bodoh juga.”

 

Aku yang bergentayangan mahu tergelak, pandai juga ia membodek supaya tak terus disakiti.

 

 

 

 

----

 

 

 

“Dah tak ada apa-apa ni insya-Allah,” ujar lelaki berkeris kayu.

Aku kembali. Kepenatan perlahan-lahan menyelinap lalu aku terlelap.

 

Menjelang tengah malam suamiku tiba dari Kepong. Sebaik tiba, dia mencapai bayi kami. Aku hanya dipandang dengan ekor mata. Kekok mungkin untuk bertanya khabarku di hadapan ahli keluarga yang lain.

 

“Anak je ke nak sayang, bini ni tak nak tanya ke??!” Aku terasa tercampak keluar.

 

 

 

 

----

 

Beberapa hari selepas itu, suamiku mengajak aku pulang ke rumah ibubapanya. Sebelum bertolak, seorang lelaki tua singgah di rumah ma. Kehadirannya di atas jemputan ayah, untuk melihat-lihat keadaanku.

 

Lelaki itu tidak banyak bicara, setelah meminta keizinan suamiku, pergelanhan tanganku yang berlapik baju dicekak menggunakan ibu jari dan jari telunjuk. Sejurus, lenganku dikilas sedikit.

 

Mengalir air mataku menahan kesakitan. Lelaki tua itu melakukan hal yang sama terhadap suamiku kemudiannya.

 

Meski terlalu sekejap dan kesakitan itu tidaklah seberapa, namun aku kelelahan. Aku meminta izin untuk berehat di bilik. Dan untuk kali pertama setelah beberapa ketika, aku tidur nyenyak.

 


Rabu, 9 September 2020

Siri Ibu Aisyah: Bahagian Ketujuh - Lancang


Aku anak kedua. Anak perempuan pertama dalam keluarga. Abangku seorang anak lelaki yang agak nakal, sesuai usianya. Manakala adik-adik perempuan pula lebih memerlukan perhatian ma, justeru secara tidak langsung aku menjadi anak yang agak kurang membuat masalah.  Sekaligus menjadikan aku kurang mahir meluahkan rasa sendiri.

 

Aku kira aku anak yang baik; rupanya tidak. Ada segumpal rasa yang sentiasa berbuku dalam hati. Dan lama-kelamaan ia menjadi satu ketulan yang semakin membesar dari semasa ke semasa.

 

Lalu apabila aku dalam kekusutan sebegitu, jiwaku bukan terbahagi dua, sebaliknya tiga.

 

Pertama, anasir luar yang mengambil kesempatan mahu menguasai jasadku.

Kedua, diri aku yang selalu, yang mahukan aku yang dulu.

Dan ketiga, rasa tidak puas hati yang terkumpul sejak entah bila, yang melonjak-lonjak mahukan aku yang dulu, tetapi dengan semangat memberontak.

 

 

----

 

Meski abang punyai sedikit kelebihan mengubati, namun ia hanya digunakan untuk dirinya sendiri dan keluarganya sahaja lalu abang kerap kelelahan melayan kegilaanku. Bertukar-tukar dengan kekerapan tak terduga.

 

Lantunan ayat-ayat suci tidak memberi kesan sepertimana kisah-kisah seram yang aku baca. Malah sebahagian fikiranku turut sama membacanya.

 

Apalah anehnya, kerana jasad ini jasad yang sama. Apa yang aku tahu, ia turut sama tahu. Tiada rahsia antara kami. Bacaan abang kerap aku betulkan, diiringi gelak mengejek. Aku yang terbenam entah di mana, selalu berasa bersalah apabila ini terjadi. Sebahagian kewarasan mahu menutup mulut agar berhenti menyakiti dengan bicara lancang tersebut, malangnya aku hanya mampu terbaring. Hatta sebatang jari pun sukar untuk aku gerakkan.

 

 

---

Suatu petang keluargaku memutuskan untuk memanggil seorang ustaz. Sambil terbaring mulutku membebel marah-marah.

 

“Rajin pulak nak panggil-panggil ustaz lah sape lah,” Aku membentak.

 

Abang hanya tersenyum, menayang lesung pipit seperti selalu – tampak manis, tapi jujurnya ia sinis. Sesekali dia merenjiskan air yang telah dibacakan ayat-ayat al-Quran. Titis air yang terpercik sedikit ke wajah buat aku berang.

 

“Eh main-main air pulak, basah ni! Mahal ni selimut ni tau, mahal beli ni!”

 

“Mahal pun adik aku yang beli,” balas abang, bengang barangkali.

 

Ma yang setia di sisi tekun membaca al-Quran. Namun baru beberapa ayat, ma berhenti seketika dan meminta agar adik perempuanku membawakan cermin matanya. Aku mendengus.

 

“Dah tahu rabun tu nak baca jugak.” Aku mengekek.

 

Tiba-tiba terdengar suara tangis si kecil – sepantas itu aku kembali. Nama bayiku aku seru.

 

Apabila ma menenangkan aku bahawasanya ia tangis anak buah lelakiku, aku serta-merta direnggut keluar dan ia segera mengganti.

 

 “Bisinglah botak ni!”

 

Adikku si jururawat segera memusingkan bayinya agar tidak memandangku. Aku menyeringai melihat perbuatannya. Tangan aku hulur cuba menggapai mereka.

 

“Aku tak suka anak kau, dia lelaki!” Ucapnya, menerusi bibirku. Aku yang seolah-olah melayang-layang, menggigil-gigil; antara ketakutan dan kesunyian sendirian.

 

“Wani…” Sambungnya, menyeru nama adikku si jururawat. “Aku suka kau, kau putih.” Berlagu-lagu ia berkata. Senyum menguntum di bibirku.

 

Tapi senyum itu segera mati apabila adik perempuan bongsu kami mencelah menyindir. Tak padan dengan susuknya yang kecil molek, lantang juga dia membidas.

 

“Eh diamlah kau. Dahlah gelap,” Jujur, aku teringin meluku ia yang lepas cakap ini. Aku sendiri cukup menjaga untuk tidak menggunakan perkataan tersebut pada adikku yang seorang tu.

 

“Nampak pulak mu. Bukan mu rabun ke,” Adikku enggan mengalah.

 

Sentap juga aku yang terawang-awang ini bila perkataan ‘mu’ digunakannya.

 

“Eh mestilah Nampak. Kehitamanmu menyerlah di bawah cerah lampu kalimantang kahkahkah!” Ia gelak besar, seronok menyakitkan hati manusia. Sempat menyelongkar ingatanku yang gemarkan ayat-ayat sebegitu.

 



---





"Mu datang dari mana?"

"Selayangggg~"

"Selayang kat mana?"

"Selayang tu kat Selangor lah bod*h!"

 

 

 

 

 

 

 

 


Ahad, 6 September 2020

Siri Ibu Aisyah: Bahagian Keenam - Berserah, atau Berjuang?

<<Dua hari sebelum melahirkan >>

Kak iparku selamat melahirkan bayi ketiganya, seorang bayi perempuan. 

Aku yang masih belum ada tanda-tanda mahu melahirkan meski sudah melebihi tarikh yang sepatutnya, ikut sama melawat anak saudara baru.

Entah kenapa sebaik menatap wajah bayi comel yang bermata galak itu, aku diserbu rasa tidak selesa. Pandangannya tajam mencerun. Seolah-olah sedang merobek perasaan sebenar yang aku cuba sembunyikan, meski aku sendiri tidak faham apa yang sedang aku sembunyikan.

Aku mendengus lantas memaksa suamiku pulang. Malangnya keluargaku masih mahu berlama-lama di sekitar hospital.

Aku jadi rimas. Aku mahu teriak. Ada seketul rasa yang berbuku yang mahu aku bebaskan.





----



<<Sehari selepas melahirkan>>

Setelah kira-kira seminggu di kampung menemani aku, suamiku perlu pulang ke Kepong.

Aku hanya menghantar dengan pandangan mata, fizikal yang masih terasa lelah memaksaku sekadar berbaring di dalam bilik.

Usai bersalaman, suamiku melangkah pergi. Namun dia tiba-tiba menoleh memandangku semula, kali ini dengan pandangan terkejut. 

Ada imej lain bertaut di wajahku sebentar tadi. Justeru secara spontan dia merenungku semula.

Raut si perempuan tua yang tersenyum penuh muslihat. 

Sedetik cuma sebelum dia tersedar wajahku kembali ke asal.





----




Setelah penat meraung kesakitan, aku akhirnya ketiduran.

Tersedar hampir menjelang subuh, aku sedar ada alunan ayat-ayat suci terpasang dari laptop.

Tanganku menggapai-gapai laptop mahu mematikan alunan itu. Ia kedengaran bingit di telinga. Mengganggu tidurku.

Suara dehem ma menyebabkan aku tersenyum kambing.

Ada suara lain dalam kepalaku mahu segala-galanya yang sedang aku miliki; ma, dan bayi kecilku yang penuh cahaya.

Ma yang baik. Yang enggan menunjukkan rasa kecewa terhadap anak yang selalunya boleh diharap.

Bayi yang comel. Yang tidak meragam walau ibunya meroyan hampir kurang waras.

Sebahagian hati mahu mengalah. Aku tak kuat berjuang memenangi jasad sendiri.

Bagaimana jika ma mahukan 'aku' yang baru?

Bagaimana jika bayiku yang hanya beberapa hari itu tidak mengenali aku yang sepatutnya?

Beginikah penghujung kisah seorang aku?





----

Seketika aku makin kepanasan. Umpama berjemur di dalam ruang yang berbahang tanpa kipas. Walhal kipas sedang berputar pada kelajuan maksimum.

Sempat aku menjeling laptop yang masih terpasang - Al-Jinn sedang beralun.

Kali ini ada suara lain yang singgah.

Tidak! Aku lebih berhak ke atas apa yang sedang aku miliki!



Siri Ibu Aisyah: Bahagian Kelima - Satu Jasad Dua Rasa

"Kenapa kak senyum?" Ma menyoal, nadanya dia sedang bersiaga dengan anaknya yang bukan anaknya.

"(Suhu) panas ni. Tak nak hantar klinik ke?" Sahut aku. Senyumku melebar, sinis.

Saat ini aku tahu aku sudah hilang kawal. Bicara dan tindakan aku sudah terpesong dari apa yang aku mahukan.

Kedua-dua adik perempuan aku yang masih bertelekung usai Maghrib, bingkas bangun menjauhi aku.

Bebola mataku segera melingas ke arah mereka, mencerlung tajam. Namun senyum kekal tersungging di bibir. 

"Takut ke? Hii....." Aku mengejek.

Kedua-dua mereka mencapai Yaasin Dan mula membacanya.

"Haa bacalah," Aku memprovok. "Hehe salah tu, baca balik."

Seketika abang keluar. Dia mengelilingi aku yang masih terlentang di atas tilam. Dalam luar kawal sebegitu, ada sekelumit rasa gerun menyelinap.

Abang bacakan beberapa potongan ayat, antaranya Ayatul Kursi, dan lidahku masih berani berkata-kata:

"Silap tu, tebalkan sikit bacaan tu."

Abang hanya tersenyum senget. Lesung pipitnya terserlah.

"Mu ya rupa-rupanya. Lama dah??" Suaranya tegas dan meninggi.

Aku diam, tetapi masih berdegil berwajah mengejek. Mata masih galak memerhatikan tingkah abang.

Seketika abang meminta lada hitam. Apabila ma membawa sebekas lada hitam dalam bentuk serbuk, tawaku pecah.

"Eh mana nak sakit kalau serbuk. Biji la biji! Tekan kat ibu jari kaki tu! Tekan kuat-kuat barulah sakit!" Sempat aku 'sekolah'kan abang. 

Kali ini abang tergelak sinis. Dia tidak membalas kata-kataku sebaliknya hanya mencubit sedikit serbuk lada hitam lalu menekapkannya ke ibu jari kakiku.

Aku galak ketawa-ketawa kecil. Sebahagian fikiran masih mengawal suara supaya bayiku tak terganggu.

Dalam aku melayan rasa lucu, sensasi sakit tiba-tiba menerpa.

"Aduh sakitlah!" Jeritku.

Giliran abang tertawa. 

"Eh dah jadi serbuk pun sakit ya," Aku masih mahu bersuara.

Abang mengulang lagi hingga aku memekik minta dihentikan.

"Tak sayang adik ke mu ni?!!" Raungku.

"Sejak bila mu ada??!!" Jerkah abang.

"Kat labour room bodoh! Sakit ni!" Sungguh, aku sendiri terkejut dengan kata-kata yang terluncur keluar ini.

Sekonyong-konyong wajah bayiku yang ternampak terlalu bercahaya itu terbayang semula.

Sebahagian hati terasa kecewa. Cuainya aku sebagai ibu.

Dalam aku tenggelam dalam larutan emosi, jemariku menggembang dan cuba menggapai si kecil.

"Aku suka dia. Dia comel, putih." Jawapan ini tetap dituturkan oleh bibirku cuma ia bukan lagi oleh aku.

Aku sudah terawang-awang.

Tiba-tiba suara anak adikku si jururawat memecah sunyi. Suara anak lelakinya yang baru berusia dua bulan, persis suara bayiku.

"Aisyah!" Aku kembali. Terasa diriku menyatu bersama jasad semula. 

Apabila ma menyatakan tangisan itu tangisan anak buahku, aku segera diganti semula.

"Hey, bisinglah botak ni!" Aku mendengus. Adikku segera memeluk erat bayinya lalu membelakangkan aku.

"Aku tak suka dia! Dia lelaki! Botak pulak tu!" Sambungku, suaraku sarat emosi jelik.



---


Bahagian-bahagian akan datang mungkin banyak dialog.

Kebanyakannya adalah dialog asal.

Kata ma, sewaktu aku diganti, loghat itu tidak sepenuhnya berslanga Kelantan. Ada bunyi Bahasa Melayu slanga KL sedikit sebanyak.

Ya, aku sedar sewaktu semua kata-kata itu terucap, namun semuanya bukan lagi dalam kawalan aku.








Sabtu, 5 September 2020

Siri Ibu Aisyah : Ia Ada

Senja.

Berbaring di tilam nipis, badanku terasa hangat. Bacaan suhu menunjukkan 38°C. Agak tinggi untuk seorang yang masih dalam tempoh berpantang.

Nurse yang datang melawat juga membingit apabila aku maklumkan berkenaan hal itu. Tentu sahaja mereka risau, kematian ibu dan anak kecil menuntut bebanan laporan yang bukan sedikit di kemudian hari.

Aku semakin gagal memahami tindak-tanduk aku sendiri. Mataku tajam memerhati sekitar rumah, dari satu penjuru ke penjuru yang lain. Dan pandangan itu akhirnya jatuh kepada bayi kecilku yang sedang lena.

Naluri seorang ibu mungkin, aku perasan ma memerhatikan aku. Kami bertatapan. Renungan ma tampak lain. Sebahagian dalam fikiranku sedar bahawa ma dapat menghidu sesuatu yang tidak kena. Perlahan-lahan bibirku menguntum sebuah senyuman.

Mari kenalkan diri.



---

<<Sehari dua sebelumnya>>

Aku tetap berdegil mahu berkurung di dalam bilik. Ajakan ma untuk keluar ke ruang tamu ibarat angin lalu - masuk telinga kanan keluar telinga kiri.

Aku asyik mengulit si kecil. Kulitnya lembut dan mulus. Malah mata sepetnya sangat comel di mataku.

Kepalanya sentiasa dalam pangkuanku dan aku kerap bercerita kepadanya. Tentang maksud surah al-Fatihah, tentang Allah dan Rasul. 

Meski acapkali telingaku terasa berdesing apabila kisah-kisah itu bermain di bibirku. Malah adakala bulu roma juga merinding apabila nama Tuhan dan Rasul kusebut-sebut.

Tiba-tiba aku terasa tanganku menggigil. Leher terasa sejuk dan aku tiba-tiba dirangkul rasa takut.

Nama ma aku laung sekuatnya. Berkali-kali. Mata sudah aku pejam kejap-kejap.

Seketika pintu bilikku dibuka. Abang yang muncul.

Sergahan abang membuat aku membuka mata. Wajah sudah basah dengan air mata. Bibir menggeletar mengadu ketakutan.

Aku lupa siapa lagi yang menerpa ke bilik, tapi bayiku segera dibawa pergi. 

Kali ini abang marah-marah. Kata-katanya yang sempat aku tangkap, dia marahkan sesuatu yang tadinya mengganggu anak-anaknya kini menjadikan aku pula sebagai sasaran.

Abang bertanya apa yang datang.

Aku tidak suka soalan itu. Kepala kupegang dengan kedua-dua tangan sambil mengulang-ulang tidak tahu.

Malangnya abang tidak menerima 'tidak tahu' sebagai satu jawapan, lantas memaksa aku mengimbas semula apa yang terjadi.

Masih di posisi sama, mata aku pejam Dan sekelibat ini muncul dalam fikiran.

Perempuan.

Tua.

Kerepot.




---


Perasaan itu, dan imbasan-imbasan itu, masih ada dalam sebahagian memori. Entah bila baru ia akan sirna.




Khamis, 3 September 2020

Siri Ibu Aisyah - Bahagian Ketiga: Ia Mahukan Aku

Entah pada hari keberapa, masih dalam minggu pertama berpantang mungkin, aku berasa sedikit sihat berbanding hari-hari sebelumnya.

Ma yang jarang berenggang jauh dari anaknya ini, mengambil peluang untuk ke kebun sayurnya. Abang sedang melayan anak-anaknya di laman rumah. Tinggallah aku dan kakak iparku yang juga baru melahirkan anak ketiganya awal dua hari dari aku.

Tiada yang luar biasa, sehinggalah tiba-tiba aku menggigil. Degup jantung mulai terasa laju. Ia bukanlah kali pertama berlaku maka aku biarkan sahaja. Tetapi apabila tanganku semakin jelas terketar-ketar hingga aku jadi takut sendiri, aku melaung nama kakak iparku.

Mengendong anaknya, dia keluar dan bertanya jika aku memerlukan apa-apa. Wajahnya segera berubah apabila melihat keadaan aku. Langsung dia berlari ke hadapan lantas menyeru nama abang dengan nada nyaring.



----



Petang itu, abang memaksaku ke hospital tetapi aku mati-matian berdegil. Peristiwa diherdik dan disindir para nurse di klinik kesihatan itu masih terlalu segar dalam ingatan. Malah pengalaman kurang menyenangkan di hospital juga masih terbayang-bayang ibarat wayang yang enggan padam.

Hasil campur tangan ma, abang berhenti mendesak. Tetapi keras kepalanya yang selalu merasakan dia betul dan sentiasa merasakan dia masih tetap bertanggungjawab ke atas adik-adiknya membuat dia mendorongnya menghubungi nurse di klinik kesihatan.

Diam-diam dia merancang agar sebuah ambulan dihantar ke rumah.

Nah, apalagi alasan yang mampu aku lontarkan apabila ambulan sudah tersergam di halaman rumah? 

Jejakkan kaki di klinik kesihatan itu benar-benar mencambahkan rasa benci dan trauma. Aku cukup tidak suka apabila bahagian yang paling sakit itu diusik-usik. Dalam mengaduh perit aku sempat bersuara, usah panjangkan aku ke hospital. 

Doktor itu hanya mengangguk tetapi dia kekal menulis sesuatu di dalam buku catatan di tangannya. Curiga, aku mencuri baca tulisannya. Jelas dia mahu merujukku ke hospital.

Bermacam rasa perlahan-lahan membius kewarasan namun aku memaksa akal logik untuk kekal tenang. Malangnya aku gagal tatkala doktor itu meminta salah seorang staff untuk bersedia menghantar pesakit ke hospital besar.

Suaraku berubah tegas. Ketegasan itu berjaya menarik perhatian si manis doktor. Pun begitu ia belum cukup kuat kerana dia hanya mengerlingku sekali imbas dan meneruskan arahannya - rujuk aku ke hospital.

Kali ini aku menengking. 

Si doktor mulai berasa tercabar. Posisinya diubah dan dia memusingkan tubuhnya menghadap aku. Pandangannya mencerlung. Aku balas tatapan itu dengan cara yang sama tanpa rasa gentar walau sedikit.

"Kalau awak tak nak ke hospital, buat apa awak panggil ambulan dan datang ke klinik??" 

"SAYA TAK NAK DATANG! ABANG SAYA YANG PANDAI-PANDAI ATURKAN SEMUA! SAYA TAK NAK KE KLINIK, TAK NAK KE HOSPITAL!! SAYA TAK NAK!!!" 

Persis drama babak pelakon yang kerasukan, begitulah aku. Menjerit-jerit ibarat tiada lagi nilai kemanusian yang tersisa.

Ma yang setia mengiringi aku, memegang lengan kiri aku. Segila mana fikiran aku waktu itu, sentuhan itu serta-merta menghilangkan seluruh rasa marah yang menggunung. Perlahan ma mengungkapkan kata-kata yang sama kepada si doktor. 

Si doktor akur akhirnya, lalu aku dibawa pulang ke rumah.




-----



Sejak itu aku dapati aku selalu merasakan keanehan dalam bilik tidurku. Aku lebih gemar terperuk di dalam bilik yang bertutup keseluruhannya - tingkap sentiasa berkunci dan dilitupi langsir bernada gelap pula. Aku betah menghirup udara kepam bilik itu bersama bayiku.

Teguran supaya aku ke ruang tamu, hanya mencurah air ke daun keladi. Telinga aku pekakkan.

Di luar sana ada banyak semut! Aku benci semut-semut itu!

Aku lebih sukakan bilikku. Sudah terlalu lama aku mengimpikan mempunyai bilik sendiri, malangnya ia hanya tercapai setelah aku berkahwin. Sejak kecil aku hanya berkongsi sebuah bilik dengan dua lagi adik perempuan yang lain. Setelah akad nikah pula, aku dan suami tinggal nun di Kepong sana. Lapan jam jauhnya dari bilik ini. Jadi sekaranglah masanya untuk aku nikmati detik-detik mempunyai bilik sendiri, malah tanpa si suami yang sudah pulang ke Kepong sehari selepas aku keluar wad.

Cuma, aku benci apabila ada bermacam-macam dalam bilik itu. Nun di setiap sudut, dinding-dinding bilik itu punyai mata. Ada yang sengaja menghembus hawa sejuk.

Aku selalu ketakutan apabila ia berlaku. Dan selalunya aku hanya memegang kepala sambil pejamkan mata serapat-rapatnya.

Bayiku? Bayiku tidak diusik atau diapa-apakan. Ia hanya mahukan aku.





------



Rabu, 2 September 2020

Siri Ibu Aisyah - Bahagian 2: Aku Siapa?

Aku melahirkan bayiku secara normal, dengan koyakan minimum bak kata adikku si jururawat itu.

Anehnya betis kananku terasa cukup sakit. Sukar bagi aku untuk menapak ke mana-mana kerana aku terpaksa menyeret kaki itu. Lalu ma meminta aku untuk kekal sahaja di ruang tamu.

Adikku si jururawat kerap menggaru kepala dengan keadaan aku. Katanya, tiada sebab untuk aku merasakan kesakitan di bahagian lain, malah proses kelahiran bayiku juga sebetulnya dikategorikan proses yang pantas dan agak mudah. Sewajarnya aku jauh lebih tenang berbanding dia yang terpaksa menerima dua guntingan.

Jika adikku berasa pelik, aku lebih lagi.

Bukan sahaja kaki yang terasa sakit, malah aku terasa ada sebeban emosi yang bercampur-baur dalam dadaku. Menyeruak ibarat gulai yang menggelegak, membuak-buak mahu tumpah.

Malah aku gagal menjemput selesa berlunjur lalu aku hanya berbaring di tilam nipis yang sengaja dibentang di ruang tamu. Sewaktu kawan-kawan datang berziarah, aku masih di posisi sebegitu.

Tentu saja sahabat-sahabat itu enggan aku bangun untuk menyantuni mereka, tetapi lain halnya apabila orang tua-tua yang singgah melawat.

Aku disuruh duduk dan dinasihatkan agar kuat melawan rasa penat itu. Selalu seorang ibu kini, aku wajib bertulang besi berurat dawai. Rasa sakit yang sedikit atau rasa letih yang bergayut, nyah sahaja jauh-jauh. Kerana aku seorang ibu, seorang isteri, dan seorang wanita, maka haram buatku untuk terus bermanja-manja melayan rasa tidak selesa.

Lalu, bukan manusia lagikah aku?

Periuk emosi yang membuak-reda-membuak-reda, terus mendidih. Buih-buih kecil sudah kelihatan meletus-letus. Api di bawahnya kekal meliuk-lentuk disapa angin yang kadang-kadang berhembus malas.

Apalagi apabila hal-hal remeh yang selama ini tak pernah memberi sebarang kesan tiba-tiba menjadi hal besar untuk aku. 

Sekeliling rumah ma terdapat pokok-pokok buah, sayur-sayuran, serta bunga-bungaan. Justeru kehadiran semut-semut kecil adalah sesuatu yang normal. 

Aku tidak pernah berasa terganggu dengan kehadiran makhluk kecil itu, sebaliknya ia selalu menerbangkan memori tentang kisah Nabi Sulaiman dan Sang Semut.

Tetapi kali ini aku berasa amat jengkel. Setiap ekor semut yang kelihatan di mata, pasti aku tenyeh mati semuanya. Mulutku gatal mahu menyalahkan entah siapa yang mengundang kehadiran semut-semut kecil itu, mujurlah sebahagian fikiran yang masih waras mampu mengekang keinginan tersebut.

Aku lelah. 

Aku umpama aku yang lain. Yang tingkahnya di luar pengetahuan aku sendiri.

Langsung tak aku sedar, bahawa aku waktu itu, bukan sebenar-benarnya aku.





----






"Saya taknak pegi hospital! SAYA TAKNAK!!"

"Saya ada cakap kasar ke dengan awak, kenapa awak nak tinggi suara?" 

"Oh, saya tak boleh cakap kasar, nurse awak kurang ajar dengan saya takpe pulak!"

"Siapa nurse saya tu?"

"BUKAK BUKU SAYA NI, NAMA DIA ADA DALAM TU!!"

Dada seakan mahu pecah menahan amarah. Dan mataku, aku kira sudah memerah menzahirkan rasa.