Rabu, 2 September 2020

Siri Ibu Aisyah - Bahagian 2: Aku Siapa?

Aku melahirkan bayiku secara normal, dengan koyakan minimum bak kata adikku si jururawat itu.

Anehnya betis kananku terasa cukup sakit. Sukar bagi aku untuk menapak ke mana-mana kerana aku terpaksa menyeret kaki itu. Lalu ma meminta aku untuk kekal sahaja di ruang tamu.

Adikku si jururawat kerap menggaru kepala dengan keadaan aku. Katanya, tiada sebab untuk aku merasakan kesakitan di bahagian lain, malah proses kelahiran bayiku juga sebetulnya dikategorikan proses yang pantas dan agak mudah. Sewajarnya aku jauh lebih tenang berbanding dia yang terpaksa menerima dua guntingan.

Jika adikku berasa pelik, aku lebih lagi.

Bukan sahaja kaki yang terasa sakit, malah aku terasa ada sebeban emosi yang bercampur-baur dalam dadaku. Menyeruak ibarat gulai yang menggelegak, membuak-buak mahu tumpah.

Malah aku gagal menjemput selesa berlunjur lalu aku hanya berbaring di tilam nipis yang sengaja dibentang di ruang tamu. Sewaktu kawan-kawan datang berziarah, aku masih di posisi sebegitu.

Tentu saja sahabat-sahabat itu enggan aku bangun untuk menyantuni mereka, tetapi lain halnya apabila orang tua-tua yang singgah melawat.

Aku disuruh duduk dan dinasihatkan agar kuat melawan rasa penat itu. Selalu seorang ibu kini, aku wajib bertulang besi berurat dawai. Rasa sakit yang sedikit atau rasa letih yang bergayut, nyah sahaja jauh-jauh. Kerana aku seorang ibu, seorang isteri, dan seorang wanita, maka haram buatku untuk terus bermanja-manja melayan rasa tidak selesa.

Lalu, bukan manusia lagikah aku?

Periuk emosi yang membuak-reda-membuak-reda, terus mendidih. Buih-buih kecil sudah kelihatan meletus-letus. Api di bawahnya kekal meliuk-lentuk disapa angin yang kadang-kadang berhembus malas.

Apalagi apabila hal-hal remeh yang selama ini tak pernah memberi sebarang kesan tiba-tiba menjadi hal besar untuk aku. 

Sekeliling rumah ma terdapat pokok-pokok buah, sayur-sayuran, serta bunga-bungaan. Justeru kehadiran semut-semut kecil adalah sesuatu yang normal. 

Aku tidak pernah berasa terganggu dengan kehadiran makhluk kecil itu, sebaliknya ia selalu menerbangkan memori tentang kisah Nabi Sulaiman dan Sang Semut.

Tetapi kali ini aku berasa amat jengkel. Setiap ekor semut yang kelihatan di mata, pasti aku tenyeh mati semuanya. Mulutku gatal mahu menyalahkan entah siapa yang mengundang kehadiran semut-semut kecil itu, mujurlah sebahagian fikiran yang masih waras mampu mengekang keinginan tersebut.

Aku lelah. 

Aku umpama aku yang lain. Yang tingkahnya di luar pengetahuan aku sendiri.

Langsung tak aku sedar, bahawa aku waktu itu, bukan sebenar-benarnya aku.





----






"Saya taknak pegi hospital! SAYA TAKNAK!!"

"Saya ada cakap kasar ke dengan awak, kenapa awak nak tinggi suara?" 

"Oh, saya tak boleh cakap kasar, nurse awak kurang ajar dengan saya takpe pulak!"

"Siapa nurse saya tu?"

"BUKAK BUKU SAYA NI, NAMA DIA ADA DALAM TU!!"

Dada seakan mahu pecah menahan amarah. Dan mataku, aku kira sudah memerah menzahirkan rasa.










Tiada ulasan: