Khamis, 3 September 2020

Siri Ibu Aisyah - Bahagian Ketiga: Ia Mahukan Aku

Entah pada hari keberapa, masih dalam minggu pertama berpantang mungkin, aku berasa sedikit sihat berbanding hari-hari sebelumnya.

Ma yang jarang berenggang jauh dari anaknya ini, mengambil peluang untuk ke kebun sayurnya. Abang sedang melayan anak-anaknya di laman rumah. Tinggallah aku dan kakak iparku yang juga baru melahirkan anak ketiganya awal dua hari dari aku.

Tiada yang luar biasa, sehinggalah tiba-tiba aku menggigil. Degup jantung mulai terasa laju. Ia bukanlah kali pertama berlaku maka aku biarkan sahaja. Tetapi apabila tanganku semakin jelas terketar-ketar hingga aku jadi takut sendiri, aku melaung nama kakak iparku.

Mengendong anaknya, dia keluar dan bertanya jika aku memerlukan apa-apa. Wajahnya segera berubah apabila melihat keadaan aku. Langsung dia berlari ke hadapan lantas menyeru nama abang dengan nada nyaring.



----



Petang itu, abang memaksaku ke hospital tetapi aku mati-matian berdegil. Peristiwa diherdik dan disindir para nurse di klinik kesihatan itu masih terlalu segar dalam ingatan. Malah pengalaman kurang menyenangkan di hospital juga masih terbayang-bayang ibarat wayang yang enggan padam.

Hasil campur tangan ma, abang berhenti mendesak. Tetapi keras kepalanya yang selalu merasakan dia betul dan sentiasa merasakan dia masih tetap bertanggungjawab ke atas adik-adiknya membuat dia mendorongnya menghubungi nurse di klinik kesihatan.

Diam-diam dia merancang agar sebuah ambulan dihantar ke rumah.

Nah, apalagi alasan yang mampu aku lontarkan apabila ambulan sudah tersergam di halaman rumah? 

Jejakkan kaki di klinik kesihatan itu benar-benar mencambahkan rasa benci dan trauma. Aku cukup tidak suka apabila bahagian yang paling sakit itu diusik-usik. Dalam mengaduh perit aku sempat bersuara, usah panjangkan aku ke hospital. 

Doktor itu hanya mengangguk tetapi dia kekal menulis sesuatu di dalam buku catatan di tangannya. Curiga, aku mencuri baca tulisannya. Jelas dia mahu merujukku ke hospital.

Bermacam rasa perlahan-lahan membius kewarasan namun aku memaksa akal logik untuk kekal tenang. Malangnya aku gagal tatkala doktor itu meminta salah seorang staff untuk bersedia menghantar pesakit ke hospital besar.

Suaraku berubah tegas. Ketegasan itu berjaya menarik perhatian si manis doktor. Pun begitu ia belum cukup kuat kerana dia hanya mengerlingku sekali imbas dan meneruskan arahannya - rujuk aku ke hospital.

Kali ini aku menengking. 

Si doktor mulai berasa tercabar. Posisinya diubah dan dia memusingkan tubuhnya menghadap aku. Pandangannya mencerlung. Aku balas tatapan itu dengan cara yang sama tanpa rasa gentar walau sedikit.

"Kalau awak tak nak ke hospital, buat apa awak panggil ambulan dan datang ke klinik??" 

"SAYA TAK NAK DATANG! ABANG SAYA YANG PANDAI-PANDAI ATURKAN SEMUA! SAYA TAK NAK KE KLINIK, TAK NAK KE HOSPITAL!! SAYA TAK NAK!!!" 

Persis drama babak pelakon yang kerasukan, begitulah aku. Menjerit-jerit ibarat tiada lagi nilai kemanusian yang tersisa.

Ma yang setia mengiringi aku, memegang lengan kiri aku. Segila mana fikiran aku waktu itu, sentuhan itu serta-merta menghilangkan seluruh rasa marah yang menggunung. Perlahan ma mengungkapkan kata-kata yang sama kepada si doktor. 

Si doktor akur akhirnya, lalu aku dibawa pulang ke rumah.




-----



Sejak itu aku dapati aku selalu merasakan keanehan dalam bilik tidurku. Aku lebih gemar terperuk di dalam bilik yang bertutup keseluruhannya - tingkap sentiasa berkunci dan dilitupi langsir bernada gelap pula. Aku betah menghirup udara kepam bilik itu bersama bayiku.

Teguran supaya aku ke ruang tamu, hanya mencurah air ke daun keladi. Telinga aku pekakkan.

Di luar sana ada banyak semut! Aku benci semut-semut itu!

Aku lebih sukakan bilikku. Sudah terlalu lama aku mengimpikan mempunyai bilik sendiri, malangnya ia hanya tercapai setelah aku berkahwin. Sejak kecil aku hanya berkongsi sebuah bilik dengan dua lagi adik perempuan yang lain. Setelah akad nikah pula, aku dan suami tinggal nun di Kepong sana. Lapan jam jauhnya dari bilik ini. Jadi sekaranglah masanya untuk aku nikmati detik-detik mempunyai bilik sendiri, malah tanpa si suami yang sudah pulang ke Kepong sehari selepas aku keluar wad.

Cuma, aku benci apabila ada bermacam-macam dalam bilik itu. Nun di setiap sudut, dinding-dinding bilik itu punyai mata. Ada yang sengaja menghembus hawa sejuk.

Aku selalu ketakutan apabila ia berlaku. Dan selalunya aku hanya memegang kepala sambil pejamkan mata serapat-rapatnya.

Bayiku? Bayiku tidak diusik atau diapa-apakan. Ia hanya mahukan aku.





------



Tiada ulasan: