Jumaat, 7 Disember 2018

Scammer : Langgar Lari



Kira-kira 1:30 tengahari tadi (7 Dec 2018) aku terima satu panggilan dari nombor tak dikenali - 0124447625.

Bagaimanapun kerana aku menggunakan  True Caller terpapar satu nama di skrin telefon disertai ikon yang bertulis true - bererti pemanggil bukanlah seorang scammer.

Pun begitu apabila dijawab, pemanggil memperkenalkan diri sebagai Koperal Adam bin Muhamad dari IPD Kota Bharu dan memaklumkan aku terlibat dalam satu kes langgar lari di Jalan Pasar Seri Kembangan pada jam 11:38 malam pada tiga hari lepas, 4/12/18.

Katanya aku telah menyewa sebuah Toyota VIOS putih dari pemilik Suresh A/L Mahalinggam dan setelah terlibat dalam kemalangan yang menyebabkan kematian mangsa yang aku langgar, pemilik kereta tampil di balai polis Kota Bharu untuk membuat laporan dan telah membawa bersama surat perjanjian sewa kereta.

Lapan puluh peratus aku katakan ini adalah sebuah scam.

Pemanggil (P) : Puan ada lesen?
A : Tak ada. (Ada je tapi tak guna pun.)
P : Saya bacakan No IC puan. (Baca No IC aku yang betul.)
A : Bukan. Tu bukan IC saya. 
P : Bukan? Puan pasti? 
A : Pasti.
P : Jadi tolong bacakan No IC puan yang betul. 
A : (Bagi No IC ikut sukahati.)

Encik Koperal kemudiannya membuat kesimpulan ada seseorang telah menggunakan maklumat peribadi aku untuk melakukan kegiatan menyalahi undang-undang dan meminta aku tunggu di talian sementara dia alih panggilan ke IPD Seri Kembangan untuk aku membuat laporan.

A : Kenapa kes kat Seri Kembangan tapi encik call dari Kota Bharu?
P : Sebab pemilik buat laporan kat sini?
A : Tapi macamana macam tu?
P : Sebab kami yang terima laporan. IPD Seri Kembangan masih belum terima laporan jadi saya akan alih panggilan puan ke sana. Puan salin semua maklumat ni. (Bagi semua maklumat.) No kes puan 935002.
A : 935502. (Sengaja)
P : 935002. Salin betul-betul puan.

Panggilan dialih.

Kali ni bercakap dengan Sarjan Mohd Fadzli katanya.

Keyakinan bahawa ini adalah satu scam meningkat 90%, aku sengaja menyarung karakter penakut, lembam, dan lembap.

Sarjan Mohd Fadzli marah-marah apabila aku katakan aku tak tahu mengapa panggilan dialih kepada beliau. Aku kemudiannya membacakan nombor kes untuk rujukan beliau.

Sarjan : Apa nombor kes awak?
A : 935002 (Sengaja bacakan yang salah)

Jeda sepuluh saat.

A : Macamana ni encik, saya lesen pun takde, bawak kereta tak pandai, mana saya ada sewa kereta. Macamana ni...

Sarjan : Awak tanya saya macamana? Awak yang patut bagitahu saya macamana! (Suara tinggi seoktaf)

A : Saya mana tahu encik nak buat macamana. (Cakap sepatah-sepatah macam ada masalah pertuturan)

Sarjan : Haa ni saya dah dapat fax dari Koperal Adam tentang kes awak. (Ulang benda yang sama sebijik macam Koperal Adam)

A : Haa macam tu lah saya nak cakap tadi encik. Koperal tu suruh cakap macam tu, tapi saya tak reti nak cakap.

Sarjan : Kenapa awak tak reti nak cakap?

A : Saya tak reti nak cakap macam mana. Sebab saya lembam kot encik. Masa kekecik dulu orang cakap saya lembam, susah nak paham orang cakap!

Sarjan : Baiklah, nama penuh awak (baca nama penuh aku), no IC awak (jeng jeng jeng, dia baca no IC salah yang aku bagi).

A : Ehh bukan encik bukan. Tu no IC yang betul, yang Koperal Adam baca tadi yang salah. Lepas tu saya bagi yang betul, yang encik baca tu!

Sarjan : Tapi dalam sistem saya ni, ni no IC awak!

A : Bukan encik bukan. Tadi Koperal Adam bagi salah.

Sarjan : Itu Koperal Adam, ini saya, Sarjan Mohd Fadzli! Awak nak samakan saya dengan Koperal Adam?!

A : Bukan encik bukan...

Sarjan : Maklumat awak ni saya dapat dari syarikat telekomunikasi tau! (Dan-dan je petik nama syarikat telco. Banyak cantik.)

A : (Diam.)

Sarjan : Sekarang saya nak tanya awak, awak kat mana pada hari kejadian?

A : Saya kat Teluk Panglima Garang encik. Saya ni tukang urut, saya pi mengurut hari tu. (Masih cakap sepatah-sepatah)

Sarjan : Habis sekarang awak kat mana?

A : Saya kat rumah, kat Klang.

Sarjan : Awak dengan siapa?

A : Dengan anak saya. Suami saya keje encik.

Sarjan : Awak ok ke tak ni?

A : Saya... Saya ok encik.

Sarjan : Awak ni sihat tak__

A : Kenapa encik? Encik ingat saya gila ke?

Sarjan : Awak ni! Saya tak cakap pun awak gila! Saya tak habis cakap awak potong! Maksud saya awak ni sempurna tak, ke OKU ke.

A : Maaf lah encik. Saya bukan OKU encik.

Maaflah sebab aku terpaksa tamatkan panggilan, dah dekat setengah jam aku layan dorang ni.

A : Encik encik, telepon saya ni nak habis bateri nanti kalau putus encik panggil balik ya. Haa macamana ni bateri habiss... Huuuu (Nangis)

Sarjan : Haa pegi caj cepat.

A : Haaa encik macamana ni. Mana charger saya. Mana ni.... Encik charger saya hilang anak saya main..... Macamana ni... Huuuuu

Talian aku putuskan.

Aku segera google IPD Seri Kembangan, bagaimanapun yang muncul hanyalah Balai Polis Seri Kembangan.

Sebaik panggilan ke Balai Polis Seri Kembangan bersambut, aku tanyakan sama ada Balai Polis Seri Kembangan dan IPD Seri Kembangan adalah tempat yang sama. Bagaimanapun jawapan yang aku terima agak mengejutkan.

"IPD Seri Kembangan takde cik, Balai Polis Seri Kembangan je yang ada."

Apabila aku ceritakan ringkasan panggilan yang aku terima, beliau (Lans Koperal Faridah) menjelaskan ia adalah satu scammer, malah dalam masa sehari mereka menerima belasan kes yang hampir serupa.

Usai panggilan tamat, sudah ada beberapa missed call dari Sarjan Mohd Fadzli.

Yang menariknya, nombor yang tertera memang ialah nombor telefon Balai Polis Seri Kembangan.

Menjelang asar, Sarjan nampaknya masih belum berputus asa cuba menghubungi aku semula. Justeru kali ni aku hubungi pula IPD Kota Bharu untuk mengetahui tentang kewujudan Koperal Adam bin Muhamad.

Apabila panggilan bersambung aku menerima jawapan yang hampir serupa. Ia adalah sebuah scam.

Kesimpulan dari apa yang telah terjadi pada hari ni, aku merumuskan meski dengan adanya aplikasi seperti true call, kita masih tetap perlu berhati-hati di jalan raya.

Sekian.

Khamis, 6 Disember 2018

SJTM : Grab yang Garang

Kira-kira setahun di Klang ni, aku selalu juga menggunakan khidmat Grab.

Dan kebiasaannya aku ditemukan dengan pemandu yang berhemah dan berbudi bahasa.

Meski adakala air muka pemandu kelihatan garang dan tidak mesra, tapi penghujung perjalanan mereka pasti mengucapkan terima kasih atau sekurang-kurangnya tersenyum saat pintu aku tutup dari luar.

Bagaimanapun rekod ini terganggu sedikit pada suatu petang minggu lepas.
Aku ke Aeon Bukit Tinggi atas sedikit urusan dan membuat tempahan Grab kira-kira 4:30 petang untuk balik. Dan seperti biasa aku meletakkan nota tentang lokasi spesifik aku memandangkan lokasi otomatik oleh Maps selalunya hanya tepat beberapa meter dari lokasi sebenar.

Tempahan diterima oleh seorang pemandu. Notifikasi mengatakan pemandu hanya beberapa minit dari lokasi aku.

Pun begitu Grab tersebut hanya tiba hampir lima belas minit kemudian. Dari aplikasi Grab juga aku melihat keretanya seperti berpusing mengelilingi Aeon beberapa kali.

Nak batalkan tempahan, keretanya sudah pun di sekitar aku, justeru aku putuskan untuk menunggu sahaja meski pemandunya hanya tiba setelah aku agak lelah menanti. Lalu apabila beliau tiba aku bergegas membuka pintu kereta dan menyelinap masuk tanpa menegur pemandunya seperti kebiasaan aku lakukan. Sempat juga aku mencuri pandang ke arah pemandu yang kelihatan merah padam seperti menahan marah.

Bengkek jugalah rasa di hati, sudahlah lambat, jangan kata nak minta maaf atau memberi penjelasan sebaliknya beliau pula yang kelihatan bengang.

Belum sempat aku betulkan duduk pemandu Grab terus menghamburkan amarah.

"You tahu tak you sudah salah??"

Terpempam aku tiba-tiba diserang begitu.

"Salah? Salah apa Encik?"

"You tag location Back Entrance, tapi ini Front Entrance! Saya pusing-pusing tiga kali tau. Tanya itu security guard juga dia cakap dia tara tau sebab dia baru kerja."

"Tapi saya__" Dah letak nota lokasi depan Mc'Donald__

"Saya pusing tiga kali tau! Saya tengok itu Grab sudah cakap sudah sampai tapi you tak tahu kat mana."

"Kenapa__" Kenapa tak call__

"...Sudah rugi 10 minit saya! Pusing-pusing..."

Meski dengan skil customer service bertahun-tahun, aku masih gagal mencelah bebelan beliau. Setiap percubaan digagalkan dengan sambungan dialog luahan kekecewaan beliau. Akhirnya aku putuskan untuk menahan rasa dan berdiam diri.

"...Tapi aa, satu you betul. You letak itu notes. Saya sudah pusing tiga kali baru saya nampak itu notes. Haa itu you betul."

Jarak perjalanan hanya tiga kilometer dan kurang sepuluh minit, tapi aku nyaris-nyaris mahu membuka pintu kereta dan melompat keluar lalu menyambung perjalanan dengan berjalan kaki. Cuma memandangkan aku sudah membuat bayaran melalui pemotongan akaun GrabPay, maka aku tabahkan juga tiba ke destinasi.

Tiba di rumah aku mengambil masa beberapa jam sebelum memberi penilaian kepada servis pemandu tersebut.

Terasa trauma seketika, tapi seketika sajalah sebabnya esoknya aku masih menggunakan Grab.


P/S: Semoga jumpa yang baik-baik saja.

Khamis, 29 November 2018

STJM: Mazeed Mobile Spa

Mazeed Mobile Spa.

Nama taknak kalah.

Meski konsepnya sama seperti urutan dengan bidan-bidan kampung, cuma bezanya pada :

1- Sesi urutan adalah urutan moden ala-ala spa yang lebih fokus kepada melegakan lenguh-lenguh ringan dan mengurangkan tekanan

2- Sesi urutan diadakan di lokasi/rumah pelanggan atau di rumah saya

3- Menggunakan minyak aromaterapi

4- Boleh fokus kepada bahagian yang dikehendaki; bahu, lengan, betis, tapak kaki atau tapak tangan

5- Setiap sesi kira-kira 90minit sehingga 120minit bergantung kondisi pelanggan; lenguh-lenguh ringan selalunya kira-kira 90minit manakala pemfokusan kepada bahagian tertentu seperti lenguh-lenguh teruk di betis/bahu/lengan biasanya memakan masa sehingga 120minit

Bayaran untuk setiap sesi ialah RM55.

-
-

P/S: Mazeed Mobile Spa berlokasi di Klang.

Selasa, 27 November 2018

STJM: Mobile Spa

Suatu ketika dulu ada beberapa perkara yang menjadi minat dan passion aku. Selain menulis dan membaca (serta bercakap), mengurut juga merupakan antara perkara yang aku sukai.

Bagaimanapun sejak mula mengandungkan Aisyah kira-kira empat tahun lepas, perkara ini berubah. Minat terhadap bacaan berunsur mistik, thriller, ngeri, seram dan seumpama dengannya mulai menyusut, hati batu yang selalu kejung dengan pelbagai adegan beremosi di kaca TV (dan laptop) hingga pernah dilabel takde hati dan perasaan, mulai lembut semacam roti terendam air, dan yang paling sedih ialah, aku seolah kehilangan touch apabila mengurut.

Justeru minat-minat ini sebetulnya terabai sepanjang usia Aisyah. Begitulah, sekali air bah sekali pantai berubah. Terpaksa lah aku pasrah dalam terpaksa.

Meski macam tu, perasaan untuk kembali aktif menulis, membaca, dan mengurut, sentiasa terpendam jauh, jauhhhh dalam hati.

Sehinggalah suatu masa, sorang teman ni tiba-tiba bercerita tentang mobile spa, sekaligus mengingatkan sejarah waktu dulu seorang aku.

Dan peluang pun datang. Ternyata sentuhan itu masih ada, cuma perlu dimahirkan lagi.

#situkangjahitjalanan yang mengurut, gaya lembut dan moden.

Mazeed Mobile Spa.





P/S: Berimpian itu manis.


Khamis, 22 November 2018

STJM: Anak

Tahu tak perkara yang paling aku risaukan apabila nekad berhenti kerja suatu ketika dulu?

Ketiadaan pendapatan bulanan?
Hilang kuasa membeli?
Bosan di rumah?

Ya, semua di atas.

Tapi yang paling mengganggu fikiran ialah, mampukah aku menjaga si kecik.

Kedengaran aneh, tapi begitulah hakikat.

Dua puluh empat jam bersama si kecik (sekarang dah tak kecik sangat dah) hanyalah kira-kira dua bulan selepas melahirkan. Kemudian kami hanya ketemu beberapa jam sahaja.

Kira-kira jam tujuh pagi aku dah ke tempat kerja, dan kebiasaannya hanya tiba di rumah menghampiri tujuh malam.

Susukan si kecik, dan dia akan tertidur tak lama selepas itu. Proses berulang beberapa kali sepanjang malam.

Dan begitulah sehingga si kecik mencecah 6 bulan dan mulai pandai bermain.

Jujurnya aku berhempas-pulas cuba menyesuaikan diri, dan proses itu tidak mudah.

Dan setelah kira-kira setahun kami berkepit bagai bayang-bayang di siang hari, si kecik semakin bijak menyalin perwatakan aku sedikit demi sedikit.

Baik dan buruk, seiring diikut.



--

P/S: Setahun berlalu.

Ahad, 28 Oktober 2018

Suro, Air Fryer, dan Ikan yang Hangus

Merujuk entry terdahulu, tentang bagaimana seorang aku yang tak reti memasak ni membuat suro sendiri.

Sambil-sambil mengacau suro, aku kongsikan video suro ke group whatsapp keluarga. Tujuannya supaya ma dapat melihat perkembangan suro sama ada berada di jalan yang lurus atau melencong dari resepi.

Tak lama selepas berkongsi adik aku si jururawat tiba-tiba bertanya adakah itu suro? Apabila aku iyakan beliau membalas dengan emoticon muka penuh kejutan. Aku balas dengan emoticon gelak terbahak-bahak sambil mengatakan tekakku teringin merasa suro.

Si jururawat sekali lagi menghantar emoticon muka terkejut disertai dengan pertanyaan, "MASIH ORANG YANG SAMA KE NI??"

Apabila aku membalas dengan emoticon gelak besar, beliau menghantar pula kata-kata, "Dulu goreng ikan pun hangus."

Aku hanya gelak besar sambil membalas, aku masih gagal menggoreng ikan hingga hari ini. Justeru aku sangat suka dengan pelbagai alat bantuan di dapur umpamanya air fryer.

Jujurnya si jururawat mungkin sudah penat melayan keobsesan aku terhadap air fryer, dek lewat resepi-resepi mudah yang selalu aku kongsikan di instagram kebiasaannya melibatkan penggunaan air fryer.

Beliau seorang yang mahir di dapur, kontra dengan aku yang mudah gelabah apabila berada di dapur selain dapur sendiri. Mungkin kerana sejak kecil tugas aku di dapur ialah menyediakan bahan-bahan, manakala tugas memasak adalah tugas si jururawat.

Mungkin juga kerana aku jenis yang menerima arahan secara bulat-bulat. Kata-kata seperti 'nanti dah besar pandai lah masak' juga aku fahami sebagai 'tak buat apa pun bila besar pandai lah masak'.

Apabila ma sesekali menggesa supaya masuk dapur, aku akan masuk dapur, dan bersembang. Andai kata disuruh menolong, aku akan capai pisau dan kupas bawang. Atau ambil sayur, dan siang. Usai siap tugas, aku akan keluar dan tatkala masuk dapur semula semua hidangan dah pun siap.

Betapa lurusnya aku waktu itu, apabila melihat si jururawat begitu cekap di dapur, aku tertanya kenapa aku tak pandai seperti dia.

Suatu ketika aku melihat si jururawat lumurkan ikan dengan lada hitam dan bawang yang ditumbuk sebelum dibakar, aku hanya merenung penuh aneh. Dan bagai magis, hasilnya sangat menyelerakan, lalu serta-merta hidangan itu menjadi salah satu kegemaran aku. Sepinggan nasi aku kunyah dengan rasa kagum yang menggunung.

Pernah sekali ma bancuh sejag air teh o ais tetapi kurang manis. Lalu ma meminta aku menambah gula dalam minuman tersebut.

Sambil mencapai jug air kepala aku ligat berfikir, bagaimana nak tambahkan gula ke dalam minuman yang telah siap?

Dengan buntunya aku capai bekas gula, sendukkan setengah senduk gula dan curahkan ke dalam jag teh o ais. Si jururawat yang turut sama ke dapur terjerit melihatkan aku.

"Mano buleh tamboh gula lagu ni, mu gak...!" bebelnya marah sambil tangan ligat cuba mengeluarkan semula gula yang telah aku masukkan.

Aku pegun bak keteguran Sang Kelembai melihat tangannya lincah mengacau gula di dalam segelas air suam sebelum air gula tersebut dicurahkan ke dalam jug teh o ais.

Kepala masih juga gagal memahami, mengapa air gula yang ditambah sedangkan arahan dari ma ialah tambahkan gula?




__


Suro pula ada sejenis hidangan yang agak rumit dan prosesnya memakan masa yang sangat panjang, ironinya seorang yang tak pandai memasak seperti aku ada hati nak masak sendiri.

Begitu lah, keadaan yang mendesak memampukan manusia melakukan sesuatu di luar garis kebiasaannya.



__



P/S: Suro hampir habis, Aisyah tukang makan.


Bubur Asyura Kelantan aka Suro Versi Sedikit

Bubur Asyura Kelantan atau Suro, selalunya aku taklah makan sangat. Malah jujurnya aku kurang gemar dengan aktiviti mengacau suro, yang memakan masa yang cukup lama, kebiasaannya bermula kira-kira 9 atau 10 pagi dan adakalanya hanya selesai menjelang asar.

Ia adalah satu proses yang cukup panjang dan memenatkan. 

Tapi apabila jauh dari kampung dan tidak lagi dapat merasa walau sesudu suro, dan gagal pula kedapatan di mana-mana di bumi Klang ini, terasa rindu pula rasa suro yang kenyal dan penuh rempah serta kaya dengan daging, jagung, malah rindu juga dengan gigitan tak sengaja pada bunga lawang dan kayu manis.

Lalu sejak Muharam lepas aku mencari-cari juga kalau-kalau ada yang memasak suro dalam kuantiti yang sedikit dan kongsikan resepinya di media sosial. Bagaimanapun aku hanya temui satu blog yang berkongsikan cara membuat suro dalam kuantiti 3 cawan beras. Malangnya arahan demi arahannya agak mengelirukan. Pun begitu, terima kasih juga kerana serba sedikit aku mendapat idea kasar tentang suro.

Dipendekkan cerita, setelah berkali-kali merujuk blog yang sama dan berguru dengan ibu di kampung lewat panggilan telefon, akhirnya aku beranikan diri mencuba. Maaflah newbie dalam dunia memasak ni memang penakut sikit kadang-kadang untuk memasak resepi baru.

Berbekalkan rempah bubur Asyura yang dipos dari kampung oleh ayah, alhamdulillah berjaya juga merasa suro hasil masakan sendiri. Tahniah #situkangjahitjalan! (Ok bai tahniahkan diri sendiri).






-




<<Bubur Assyura Kelantan aka Suro>>
_

Ni versi masak sikit untuk orang mengidam je (baca: mengidam sepanjang tahun).

-
BAHAN-BAHAN :

1. Beras 2 pot
2. Kacang Hijau 3/4 cawan
3. Jagung 1 tin
4. Santan 500ml
5. Susu Cair 1 tin (bagi yang guna santan kotak, untuk bagi suro rasa lemak-lemak)
6. Gula (secukup rasa nak manis mana - anggaran 1/2 -1 cawan)
7. Nise (Gula Melaka kot nama dia, yang seketul bulat-bulat tu, pun secukup rasa la nak manis mana)
8. Daging Lembu 300g
9. Bawang Merah 20 ulas (anggaran 2 cawan selepas dah dimayang, nisbah sama dengan beras, kalau beras; 2 cawan beras : 2 cawan bawang merah yang dah dimayang)
10. Bawang Putih 1 labu
11. Kayu Manis, Bunga Lawang (saya pakai 2 ketul setiap satu, ni ikut suka jugaklah)
12. Halia 2-3 inci
13. Rempah Bubur Asyura Kelantan aka Awah Suro 1 cawan/250g (ni watak utama)


-
CARA-CARA :

Bahagian 1 :- Penyediaan Bahan

1. Bawang Merah, Bawang Putih, Halia :- mayang halus, goreng garing (goreng asing-asing tapi boleh je guna minyak sama) dan kisar hancur.
Kayu Manis, Bunga Lawang :- goreng garing dan kisar hancur.
2. Tanak nasi lembik, kemudian kisar hancur.
3. Rebus kacang hijau hingga empuk dan kisar juga.
4. Rebus daging hingga empuk, dan kemudian carik-carik dan potong halus.

Bahagian 2 :- Proses Memasak
Masa Anggaran 1jam 40minit - 2 jam

1. Campurkan nasi lembik dan kacang hijau serta bahan yang telah dikisar ke dalam kuali.
2. Kacau sebati sekejap dan masukkan santan, rempah bubur asyura, daging, susu cair (bagi yang guna santan kotak), gula, (dan gula melaka), dan jagung.
3. Sekiranya warna bubur asyura ini tak cukup gelap/hitam, boleh tambah sedikit serbuk kopi. Sikittttt je kang rasa kopi lak suro neh.
4. Boleh kacau, kacau, kacau, sampai suro menjadi pekat bak dodol.
5. Dan masak boleh masukkan dalam bekas, jangan ditinggal dalam kuali (macam aku hahaha) 😅
6.Jangan lupa hulurlah kepada jiran tetangga sekali ya, sian depa dari tadi terbau-bau. 😁😁
*jagung tu boleh juga nak dikisar kalau nak


Mayang bawang-bawang semua

Rupa setelah digoreng

Rupa setelah mereka semua dikisar

Daging yang direbus empuk, dicarik-carik dan dipotong-potong

Kacang hijau yang direbus empuk dan dikisar

 
Nasi yang ditanak lembik dan dikisar hancur

Semua bahan-bahan dimasukkan

Kacau manja-manja je, janji jangan hangit

Siap alhamdulillah. Warna agak cerah dan gelap seperti dimasak dalam kawah kerana terkurang rempah dan tak masukkan nise 

Hasilnya banyak ni lah. 







P/S: Puas hati makan, baru sehari dah tinggal suku. Si kecik sorang tu pun kemain berselera makan suro. 



#buburasyurakelantanmudah #buburasyurasukatancawan #suro #buburasyurakelantansimple #buburasyurakelantan

Isnin, 3 September 2018

Customer Service : Baku

Customer Service Representative (CSP), dalam Bahasa Melayu dikenali juga sebagai Pegawai Khidmat Pelanggan ; satu kerjaya yang menarik jujurnya.

Ruang untuk memperbaiki mutu dan kualiti kerja sentiasa ada. Dari satu panggilan ke satu panggilan yang lain.

Dengan skrip yang telah disediakan, rata-rata CSP menghadapi masalah yang sama, iaitu bagaimana menggunakan Bahasa Melayu sepenuhnya dalam sesuatu panggilan.

Ayat-ayat wajib seperti;

"Boleh saya letakkan Cik dalam talian menunggu sebentar?"

Atau,

"Saya harap saya dah menjawab persoalan Cik, ada apa-apa lagi boleh saya bantu?"

Jujurnya, ia kekok untuk diucapkan.

Meski alah bisa tegal biasa, tapi untuk seminggu pertama, keanehan menyelinap ke setiap urat darah setiapkali perlu menggunakan Bahasa Melayu sebaku itu dan mahu ia kedengaran mesra.

---

Suatu ketika di 2010, seorang pemanggil menghubungi pusat panggilan untuk mendapatkan tetapan GPRS untuk membolehkannya melayari internet di telefon bimbit (bukan telefon pintar).

Di penghujung panggilan.

P: Kalau saya ada masalah lagi, macamana saya nak cakap dengan awak eh?

CSP: Encik boleh hubungi talian 1800xxxxxx setiap hari dari 8 pagi hingga 2 pagi. (Nada mesra professional)

P: Emmm maksud saya, kalau saya nak cakap dengan awak macamana?

CSP: Mana-mana kami kat sini boleh bantu Encik, takde masalah.

P: Taklah, maksudnya kalau saya nak nombor telefon awak, macamana? No handphone lah.

CSP: Untuk makluman Encik, panggilan ini dirakamkan ya.

P: Eh. Hmmmph patutlah awak cakap pun pelik je! (Nada bengang.)

CSP: Ada apa-apa lagi boleh saya bantu?

P: Hmmph takde lah, tak boleh bantu dah.

Panggilan tamat.

CSP: Dik, kau budak sangat. Baya adik akak je dik. Kecik sangat lagi kau. (Geleng kepala.)

---


P/S: Sarang Rumah Gagak.

Isnin, 16 Julai 2018

Bawang Nan Seulas

<<Lokasi: Ibukota>>

Si Tijah pantas mengorak langkah ke arah ruangan 'Pasar Segar' dalam pasaraya tersebut.

Plastik hijau jernih yang bergulung-gulung ditarik dan dengan satu sentakan ia terasing dari gulungannya. Si Tijah gesel-geselkan jemarinya dua saat sebelum mulut plastik berjaya dibuka luas.

Sambil mata mengerling ke arah kertas keras warna coklat yang bertulis 'Bawang Siam RM9.90/kg' tangannya lincah memilih-milih bawang merah kecil lalu dimasukkan ke dalam plastik jernih hijau. Sesekali mencuri pandang kepada pasangan suami isteri yang khusyuk mengupas kulit bawang putih sebelum juga, memasukkan ke dalam plastik jernih di tangan mereka, meski larangan mengupas kulit bawang dan amaran harga akan dikenakan dua kali ganda sekiranya aktiviti tersebut dilakukan, terpampang jelas di hadapan.

---

<<Lokasi: Pinggir Bandar>>

"Bawang merah dua ringgit ya Yah."

Yah capai plastik nipis bertangkai warna merah, sauk segenggam kecil bawang merah, masukkan dalam plastik lalu letakkan di atas penimbang. Seulas dua bawang merah dikeluarkan apabila jarum timbangan menunjukkan lebihan berat untuk nilai RM2.

Yah hulurkan plastik merah nipis bertangkai yang sudah diikat dan dua keping not RM1 bertukar tangan.

___

Hatta seulas bawang pun andai diberi pilihan, akan dipilih hanya yang terbaik. Walau adakala yang terbaik taklah semestinya pilihan sendiri.

Ada waktunya, yang telah dipilihkan, atau yang telah ditetapkan, kadang-kadang lebih baik.

Kerana manusia berkembar dengan nafsunya, sering merasakan pilihannya, keputusannya, dan rancangannya, adalah yang paling baik. Hingga ada masa jadi alpa dan tidak sengaja memandang rendah kepada perancangan, atau pilihan, manusia yang lain.



P/S: Manusia yang selalu terlupa.

Jumaat, 13 Julai 2018

"Mana tahu lelaki..."

Anak kedua.

Ini adalah kisah yang selalu berlaku, di mana-mana, dan bila-bila masa, dalam masyarakat hari ni.

Aku jarang melayan sangat ulah-ulah si pulan atau si pulanah yang gemar bertanyakan tentang bilangan anak-anak sesorang.

Selalunya yang bertanya adalah saudara mara dan kerana mereka saudara yang kenali aku maka aku selalu respon dengan jenaka atau sengeh sememeh sahaja.

Kalau teman-teman biasa selalunya aku hanya menjawab dengan "Alhamdulillah" sambil mengaplikasikan senyum Pak Pandir dan mengambil jurus kuak lentang petala kelapan menukar topik.

Kalau teman-teman yang tak berapa nak rapat tapi suka mencari silap maka aku akan canangkan bahawa anakku yang sorang tu jujurnya sudah punya sepasang adik, dan seorang abang. Kebiasaannya terus mereka terdiam dan mengambil jurus kuak kupu-kupu lalu menukar topik.

Teman-teman rapat tak perlu risau, meski sesekali bertemu dek kekangan masa dan pelbagai halangan lain, kami tetap punya topik yang meliputi alam untuk dibicarakan, maka soalan tentang bilangan ahli keluarga amatlah jarang dibincangkan. Dan kalau ada pun, aku betah dipersoalkan.

Cuma bila sesekali ketemu mereka yang tidaklah terlalu rapat, dan bukan juga golongan yang suka menjatuhkan, sukar juga rupanya memberi jawapan selamat.

"Boleh dah ni ada adik, mana tahu lelaki pula kali ni."

Haa sudah.

Kalaulah mengandung dan punya anak adalah seperti permainan dalam talian, kiranya sudah sedozen anakku.

Bila sudah penat dan malas, serta minat sudah sirna, uninstall sahaja permainan tersebut, dan segalanya kembali ke asal.

Tapi seorang anak adalah komitmen seumur hidup.

Dari dalam kandungan. Langsung tiada rehat. Diheret ke mana saja, bila-bila masa. Malah apabila sesekali emosi terusik, si bayi yang di dalam turut terasa.
Tekak yang kadang-kadang mahukan yang jarang-jarang kedapatan, juga mempengaruhi selera si kecil di dalam.

Dilahirkan.
Proses penyembuhan semula yang bukan hanya 40hari, tetapi bertahun. Apalagi jika prosesnya paksaan dari belahan di perut. Si kecil sudah tumbuh dewasa si ibu masih terasa-rasa sakitnya.

---

Dan begitulah.

Meski seorang anak itu sendiri sudah dewasa, malah punya keluarga dan anaknya sendiri, dia masih seorang anak kepada seorang ibu, yang masih akan tetap memikirkan dia, walau betapa berjayanya dia.

Komitmen sebesar ini, dengan tempoh yang tiada tarikh tamat ini, sering diperkecilkan dengan soalan-soalan;

"Sorang aje?"
"Bila nak tambah yang kedua?"
"Perempuan je?"
"Semua hero ni, kena ada heroin juga."

--

Tidaklah aku kecewa ditujah dengan persoalan sebegini, kerana aku lebih kenal keadaan aku sendiri.

Susun atur hidup seorang aku tentulah aku sendiri yang kuasai, dan soalan-soalan, atau pandangan-pandangan yang tidak secocok, tidaklah aku pedulikan sangat.

Tapi, tidak melayan tidak bermaksud ia tidak menusuk.

--

<<Iklan 3 saat di Youtube>>

A: Sorang ni ke?
B: Aah sorang.
A: Alhamdulillah.

*tamat*


P/S: Masih mencari rentak.

Ahad, 1 Julai 2018

STJM: Takdir Tak Serupa

Takdir hidup setiap orang tak sama walau seringkali manusia dihakimi hanya dengan satu skala.

Umpama menguji sang jerung, sang kera, dan sang badak, dengan ujian berenang. Terang lagi bersuluh siapa pemenang dan siapa yang bakal kecundang tak punya harapan.

Tapi kerana Allah itu Maha Adil, matlamat setiap makhluk adalah serupa semuanya; mencari keredhaan-Nya.

Cuma, bagaimana ia diaplikasi dalam perlumbaan di dunia fana, semua terserah pada si makhluk itu sendiri.

Mahu bertatih, menapak bebas, atau berlari selajunya.




_______




Setelah enam tahun membina kerjaya (hingga bolehlah dikatakan aku berada di puncak), aku seperti menggadai nyawa terjun ke juram.

Meletak jawatan dan berada di rumah, bertukar arah secara drastik, selaku seorang ibu, surirumah, dan #situkangjahitjalanan yang lebih kepada menjahit tudung dan seumpama dengannya.

Namun kerana aku tidak fokus kepada perniagaan dan keuntungan, adakalanya aku menjahit, dan banyak masanya aku hanya menajamkan ilmu menjahit dengan menjahit baju, skirt pelbagai gaya, gaun bermacam fesyen, serta tudung dan anak tudung pastinya, untuk aku dan si kecik (yang membesar dengan gayanya).

Dari detik itu, aku melihat satu demi satu perubahan berlaku.

Teman-teman yang memang sudahlah tak seramai mana, semakin berkurang.

Dan meski tidak ketara, ada juga seorang dua saudara mara yang mengubah cara memandang hanya kerana aku tak lagi berkerjaya.

Mungkin aku dikira sebagai kurang bijak, melepaskan kerjaya tanpa sebarang perancangan teliti. Tanpa sebarang sokongan kewangan, atau sokongan perkerjaan kedua.

Benar-benar seperti terjun ke sungai tanpa kemahiran berenang dan tanpa baju keselamatan.

Cuma begitulah. Rumput di padang seberang sana selalu ternampak lebih segar.


Bersama kesusahan, ada kesenangan. Aku kira ayat ini diulang dua kali dalam satu surah yang sama, dan aku melihat bagaimana ia berfungsi.

Meski keputusan melepaskan kerjaya hanya direstui sang suami, tapi apabila aku benar-benar melakukannya, keluarga tak pernah meninggalkan aku.

Kekal bertatih bersama walau aku tak lagi punya nilai di mata sesetengah yang lain.

Dan sahabat, yang benar-benar sahabat, tetap ada bersama, secara dalam talian mahupun di sisi dalam erti kata yang sebenar. 

Aku mungkin tak lagi senang dalam bentuk material, tapi aku beroleh keuntungan dalam sudut yang lain.

Kemahiran menjahit yang 100% berbeza dari dulu. Dulu aku tak mungkin menyentuh mesin jahit, tapi hari ini alhamdulillah, pengetahuan asas semakin meningkat.

KPI. Dulu aku kejarkan KPI dalam pekerjaan, sekarang KPI yang sedang aku cuba capai ialah bagaimana lalui seharian dan bertahan dengan kerenah si kecik yang semakin bermacam-macam tanpa hilang sabar. Kadang-kadang berjaya, tapi kerapnya tidak. Susah rupanya mengepung sabar.

Dan, matlamat yang utama selaku seorang makhluk, menjadi hamba yang lebih baik hari demi hari. Ada masa mampu, tapi selalunya kecundang di tengah jalan. 


Dan begitulah.

Ini adalah skala hidup aku. Tak sama dengan sesiapa di luar sana.

Justeru tak perlu cemburu, atau terasa tidak seronok dengan apa yang sedang dilalui. Selagi mana matlamat utama berada di tempatnya, aku yakin Allah takkan biarkan hamba-Nya terkapai sendirian.

Ada masa bantuan Allah tiba dalam bentuk tenangnya hati, lapangnya dada melalui detik sehari-hari.
Ada waktu ia datang dalam bentuk gilanya teman-teman, sehingga terlupa seketika dengan sesak masalah di dada.
Ada ketika ia datang bersama pasangan yang tidak cerewet, mungkin gagal menzahirkan kata-kata cinta dan sayang lewat drama pukul 7 malam, tapi diam-diam kumpulkan baju-baju kotor lalu masukkan ke dalam mesin basuh dan memulakan basuhan, atau senyap-senyap kumpulkan pinggan mangkuk kotor ke singki. Mungkin juga sesekali sapukan minyak angin ke kepala, atau memicit lembut otot bahu yang kekejangan.


Dan Brad Si Paku Leper yang tak tahu lah berada di mana sekarang, kata-katanya masih relevan meski ia dinukil pada 15 tahun dahulu ; apalah indahnya bunga kalau semuanya ungu.








Masih Suka Menulis,
#situkangjahitjalanan

Jumaat, 25 Mei 2018

Ramadhan 2018

Marhaban Ramadhan!

Dah nak masuk sepertiga yang kedua pun Ramadhan tahun ni.

Dan setelah 2 tahun puasa di Kelantan kali ni puasa di Selangor pulak.

Begitulah.

Ahad, 15 April 2018

STJM: Minggu Suai Kenal VS Minggu Seksaan

Minggu Orientasi.
Minggu Suaikenal.
Minggu Senior Junior.

Atau menurut kamus aku, Minggu Penat Mental Fizikal.

Jujur, ia adalah tempoh seminggu atau tujuh atau enam hari yang cukup aku tak gemar.

Walau tak dinafikan usai tamat tempoh tujuh hari tersebut korang akan dapat kawan, sama ada kawan sebenar atau kawan makan kawan.


___



<<Sekolah Menengah>>


Minggu-Seksa-Tujuh-Hari yang pertama secara tak sengaja aku elakkan adalah waktu sekolah menengah.

Sekolah agama semua perempuan, seniornya super cocky (maaf, zaman sekolah menengah memang 90% aku hanya ketemu jenis sebegini), kebetulannya aku terselamat kerana aku ke sekolah tersebut pada pengambilan pelajar rayuan.

Bagaimanapun ketika di tingkatan lima terdapat pula minggu istimewa amenda lah, untuk pelajar-pelajar SPM, dan ia sepenuhnya diuruskan oleh para senior, yang waktu itu rata-rata mereka merupakan siswazah.

Tiga hari dua malam yang aku hanya mampu harung selama sehari semalam. Pada petang pertama, waktu makan malam, atas kesilapan pengurusan mereka, air hanya tiba setelah rata-rata peserta selesai makan. Justeru bagi pihak peserta lain, aku menyapa salah seorang bertanyakan kalau-kalau ada air kosong untuk membilas tekak, hanya untuk menerima jawapan penuh sarkastik dengan wajah penuh senyuman sinis, kononnya kami terlalu manja, gagal menahan haus walau hanya sekejap.

Nak minta maaf memang tidaklah sama sekali.

Kerana aku juga mamalia berdarah panas maka tahap kesabaran tidaklah begitu tinggi. Tapi aku diamkan saja sehinggalah acara malamnya yang juga penuh dengan sindiran, nada sarkastik yang tidak berkurangan, dan memang para senior kelihatan cukup nekad mahu mendera emosi para peserta.

Lewat dua pagi, bertemankan emosi, aku gagahkan diri ke pondok telefon nun di seberang padang, menghubungi ayah dan tanpa menawarkan sebarang penjelasan, ayah aku pinta supaya datang sesegera mungkin.

Ayah berjanji akan datang usai solat subuh esoknya, dan pada perkiraan aku ayah akan tiba kira-kira 730pagi.

Sebelum tidur, aku berkemas-kemas, dan nekad meninggalkan sekolah pagi-pagi esoknya. Implikasi kemudiannya aku kebelakangkan terus.

Esoknya sewaktu acara perkongsian di dewan, aku selamba menapak anak tangga membawa beg pakaian.

Seorang senior menahan, dan aku jujur mengatakan ingin pulang.

Apabila senior itu menuduh tentang betapa mementingkan dirinya aku, aku tidak hanya berdiam. Kata-katanya aku tingkah satu demi satu hingga akhirnya matanya mencerlung marah dan dadanya berombak menahan rasa.

Dia gagal membalas apabila aku mencabarnya menghalau ayah yang sedang dalam perjalanan ke sekolah.

Teman seniornya cuba menenangkan keadaan, bagaimanapun dia tidak terlihat tenang.

Seperti jangkaan, ayah tiba kira-kira 730pagi. Dan aku berlenggang kangkung menjinjit beg pakaian. Ayah jadi keliru melihatkan hanya aku bersedia pulang sedang acara masih terlihat rancak di dewan.

Bila ditanya, aku hanya mengatakan aku telah memaklumkan kepada pengurusan tentang kepulangan aku yang lebih awal dari yang lain. Dan ayah tidak lagi bertanya, hanya menghulurkan helmet untuk aku pakai.

Kemudiannya aku dimaklumkan, tindakan aku dijadikan alasan peserta-peserta lain terus-menerus menerima sindiran dan kecaman, tentang bagaimana rapuhnya hubungan sesama teman. Kira-kira sebelas kelas tingkatan lima, setiap kelas anggaran lima puluh orang, adakah semuanya saling mengenali?

Impak pada aku sendiri?

Petangnya aku kemalangan.

Patutlah beriya tinggalkan program, ada temujanji cium tar di jalanan rupanya.



____


<<Asasi>>


Sekali lagi, selaku pelajar kemasukan secara rayuan, aku terselamat dari tempoh suaikenal.

Dan kebanyakan program di Asasi juga amat jarang aku sertai sehingga menjadi buah mulut orang juga, tapi waktu itu aku cukup tidak bersedia untuk bergaul dengan kawan-kawan baru, dan kebetulan juga lokasi Asasi dan rumah cukup dekat, hanya kira-kira 2km, dan 15minit berjalan kaki.

Maka aku lebih sering di rumah berbanding di asrama.



_____


<<UM, Kuala Lumpur>>

Matahari tidak selalu cerah, dan kali ini aku terpaksa berhadapan dengan tempoh tujuh hari penuh seksa di UM.

Double seksa.

Pertama, kerana aku dari APIUM, Nilam Puri, di mana kami di-cop selaku pembangkang, pembantah, dan seumpama dengannya.

Kedua, orientasi sejak bila menjanjikan keseronokan?

Pun begitu, aku memang agak dikenali juga sebagai seorang yang agak lantang bersuara.

Dah namanya orientasi tentulah ada pelbagai acara dan pertandingan di mana ada war cry dan seangkatan dengannya, antara kolej kediaman.

Pada pertengahan minggu, sewaktu latihan, beberapa kali juga sesetengah senior cuba mencari pasal dengan beberapa sindiran terhadap kami dari APIUM. Despite di-cop pembangkang, pembantah, dan sebagainya, kebanyakan kami berusaha bersungguh-sungguh mempelajari rutin persembahan meski secara terus-terang, ia agak jelek untuk kami ikuti.

Bagaimanapun, di penghujung hari, di kala badan sudah kepenatan, dan minda tak berapa nak berfungsi secara waras, apabila ditempelak enggan bersungguh-sungguh melakukan rutin, aku meledak juga.

Seorang senior yang selalu berwajah Hitler tiba-tiba berlembut bagai kucing bergesel di kaki, memaut bahu dan cuba menenangkan aku, kononnya.

Beberapa hari yang berbaki, aku tiba-tiba menerima layanan cukup mesra dari para senior. Pun begitu, minggu orientasi tersebut tetap gagal merubah persepsi aku tentang minggu sebegitu.

Lawak juga, apabila sebaik sahaja tamat minggu tersebut, para senior yang begitu ramah bertegur-sapa (selepas insiden aku melenting), tiba-tiba pula bagai terkena amnesia, jangan kata nak bertanya khabar, pandang pun dah tak sudi.

Aku sekadar mampu tergelak dalam hati.




____




Permulaan jarang-jarang ia senang, pertengahan adakala makin tenang, tapi penghujung akan selalu dikenang.



____







Ikhlas,
#situkangjahitjalanan Cuba Menulis


#mingguorientasi
#minggusuaikenal
#mingguseksajiwa
#mmp
#smuammp
#apium
#apiumnp
#um
#11th

Isnin, 19 Mac 2018

Korean Music

Aku salah seorang pengikut muzik pop dari Korea Selatan.

Sejak penghujung 2008 atau awal 2009. Beberapa tahun sebelum tiba-tiba demam K-Pop tiba-tiba melanda.

Dan jujurnya aku pernah juga beberapa ke showcase dan konsert-konsert awam di mana artis K-Pop antara yang membuat persembahan, turut serta sebagai penonton pertandingan nyanyian Cina kerana artis undangannya adalah U-Kiss, sama-sama berlari-lari anak terjenguk-jenguk kepala di KLIA (hampir terlanggar tiang pintu gerbang yang sepemeluk besarnya) bersama kamera digital yang memang yak lekang di tangan, beratur lima ke enam jam di sesi bertemu peminat, dan pelbagai lagi aktiviti-aktiviti yang tidak terlalu mengeluarkan wang.

Apa yang aku suka tentang K-Pop ialah kesungguhan mereka.

Nyanyian secara langsung dengan rutin tarian yang hardcore.

Muzik yang menarik di halwa telinga.

Bonus kerana tak memahami liriknya sebab kalau faham memang penat lah pasal kebanyakan lagu mereka adalah rayuan sukma supaya tak ditinggalkan.

Pada aku keupayaan melontarkan suara secara langsung adalah lebih penting dari kehebatan rentak tari, justeru apabila tersukakan sesuatu lagu atau sesuatu kumpulan (aku jarang meminati penyanyi solo tak kisahlah dari negara mana sekalipun), aku akan cari nyanyian mereka di radio, terbukti kemerduan suara mereka barulah aku akan ikuti perkembangan kumpulan tersebut.

Andai kata lebih banyak lipsync berbanding nyanyian secara langsung maka selalunya aku ucapkan jumpa lagi di lain hari.

Selalunya juga aku lebih sukakan artis lelaki berbanding wanita. Alasannya, artis wanita kebanyakannya terlalu seksi, lagu yang agak banyak unsur-unsur sensual, dan kebanyakannya membawa lagu-lagu yang comel, yang kurang kena dengan aku.

Tapi ada juga artis wanita yang lagu-lagunya terselit dalam senarai lagu dalam walkman atau dalam laptop.

Begitulah.

Sekarang?

Ya, masih mendengar muzik mereka. Bersama si kecik.

Jumaat, 2 Mac 2018

Relakan

Gadis tu begitu bangga dengan dirinya, suatu waktu dulu.

Benar, dia mudah memahami pelajaran baru. Cepat menafsir situasi dan memenangi banyak keadaan. Malah, tuah sering di pihaknya hingga kesukaran amat jarang singgah.

Perjalanan hidupnya tak banyak pancaroba. Sekadar ranting-ranting kecil yang boleh saja dipatahkan tanpa tenaga yang banyak.

Balak tumbang?
Langsung tiada.

Dari lereng bukit, dia menapak ke puncak.

Dan bak kata orang, tak selamanya kita di atas.

Lalu, ke mana dia setelah menawan puncak? Terjunam ke gaung kah?

Iya.

Dari bukit dia menapak turun, dan akhirnya tergelongsor ke bawah waktu kaki terpijak lopak.

Terbenam seketika ke dalam sungai.

Mujurlah airnya cetek.

Kuyup dek air dingin dari perbukitan, si gadis cuba juga mengutip saki-baki semangat yang masih ada.

Hidup, perlu diteruskan.
Nyawa, mesti dipertahankan.

Hujung kisah si gadis?

Semoga sinar makin terang.

Si gadis,
Aku tak punya kata-kata indah buat pemacu jiwa kecewamu.

Cuma, sedikit yang berterusan, lebih baik dari banyak yang datangnya hanya sekali.

Rabu, 31 Januari 2018

STJM: Campak Belakang - Praktikal 2009

Bersarang berhabuk sudah page ni.

Banyak sebenarnya nak dibebelkan tapi adakala keyakinan nak menulis tak begitu kukuh.

Balik ke masa belakang mungkin?

_____

<<Praktikal 2009>>

Page ni aku mulakan semasa praktikal Semester 4, tahun 2009.

Waktu tu praktikal di MPKB yang masih bertempat di Jalan Telipot, Kota Bharu. Kira-kira setahun usai praktikal ia beralih ke Wakaf Che Yeh.

Memori paling seronok waktu itu ialah menaiki lori sampah, lori najis, dan seangkatan dengannya.

Melawat tapak pelupusan sampah, melihat sendiri bagaimana praktikal kehidupan begitu jauh dari teori pembelajaran di dewan kuliah berhawa dingin.

Menilai bagaimana setiap peringkat cuba meningkatkan nilai kehidupan dengan cara masing-masing.

Profesor di universiti bergelut dengan kertas kerja dan kajian menuntut sampah sarap diurus dengan cara lebih baik demi kemaslahatan alam dan anak-anak masa depan, dengan pen, kertas, komputer riba, slide, dan suara.

Pemandu dan kelindan lori sampah berusaha memungut sampah di setiap tong sampah kawasan seliaan dalam masa yang sama memastikan sekitarnya bersih dari pelbagai sampah basah dan kering yang bercampur aduk, yang biasanya menyebabkan bau busuk terpalit, dan menyebabkan masyarakat memandang rendah pekerjaan mulia mereka.

Manakala kami si pelajar praktikal yang berkobar-kobar menyumbang sesuatu untuk alam, dunia, dan masa depan, tetapi terperangkap antara budi dan politik dunia pekerjaan.

Justeru, 8 minggu yang pendek bagai menarik rambut dalam tepung. Rambut jangan putus dan tepung tidak berselerak, nyata ia lebih mudah untuk berdiam diri dan mengikut arus.

Terlalu banyak anasir berbentuk serigala yang berbulu ayam yang mahu menangguk di air keruh berbanding sang belang yang menyorok kuku, meski kedua-duanya bagai arak ; buruknya lebih banyak dari baiknya.

Mujurlah, kami berjaya mengharungi tempoh 8 minggu tersebut, masih bernafas, walau ada calar-calar dan luka-luka kecil di sana-sini.

Dari situ, aku memutuskan, dunia sebenar - hakikat di sebalik 6 semester di menara gading - adalah tidak mudah, dan manis-manis buah, adalah ilusi.

Manis dari tempoh 8 minggu tersebut? Tentu saja ada.

Aku masih punya sahabat yang meski kenal lebih awal, tapi persahabatan kami berakar kukuh dari detik itu.

Hai kawan-kawan,
Masih ingat PCB? Atau lori tangki najis yang kita naik bertiga di depan, berempat bersama pemandu? Atau... bulatan yang berkali-kali bulatannya?


Ikhlas Tenggelam Dalam Ingatan,
#situkangjahitjalananmenulis

Ahad, 7 Januari 2018

Back - Infinite

Lagu tahun bila pun aku kurang ingat. Tapi memang dah beberapa tahun lagu ni.

Tapi ni memang antara yang kekal dalam senarai lagu dalam telefon.

Cuma video klipnya jarang aku tonton bersama Aisyah sebab memang kurang sesuai dengan adegan gaduhnya. Tapi sehari dua lepas entah dek kebosanan mungkin, kami sama-sama tercongok depan laptop dan hadap video klipnya.

Macam biasa Aisyah memang suka bertanyakan tajuk lagunya walaupun aku pun tak pasti sama ada dia boleh mengingatnya atau tidak.

"Lagu gapo ni ibu?"

"Back."

Tamat videonya, tiba-tiba Aisyah bersuara.

"Ibu nak tengok lagu Back."

Dah tak pasal aku kena sambungkan pendrive ke TV dan tonton Back berulang kali. Nasib baiklah lagunya sedap didengar.



Yang Masih Menggemari dan Mengikuti,
Mazeed