CERITA EMPAT
Kedua-dua telinganya dipekup. Matanya juga dipejam rapat-rapat. Namun suara yang menghantui fikirannya masih jelas kedengaran.
‘Pergi! Pergi! Jangan kacau aku, setan! Setan kau, pergi!’
Pekikan Amirah bergema di sekitarnya. Bergaung-gaung.
Sepi. Suara itu bagai terhalau dek jeritan bak halilintar itu.
Amirah perlahan-lahan membuka matanya. Tangannya dijatuhkan perlahan-lahan.
- Inilah kehidupan kau Amirah! Kau tak boleh benci aku, kerana aku adalah engkau! Hahaha!
Suara itu bergema lagi, mengejek-ngejek kebodohan Amirah.
Amirah mengelengkan kepala, dia terduduk. Kudratnya bagai kehabisan untuk menghalang suara itu dari terus mengganggunya. Tangisannya tak berlagu lagi. Kini dia hanya menyerah, biarlah suara itu terus berkumandang. Dia akan mendengarnya.
- Mau dengar kenyataan, Amirah?
Bagai mengetahui isi hati Amirah, suara ghaib itu terus bermonolog.
- Inilah duniamu… hitam dan putih, jalan lurus tak berpenghujung. Kabus mengaburkan pandanganmu. Dan tiada deruan air untuk kau dengar, tiada lagu burung-burung untuk kau nikmati, dan tiada juga desiran angin yang mampu menyapa pendengaranmu. Inilah... duniamu Amirah. Duniamu! Dunia… Amirah!
Amirah yang membatu sejak tadi, terpanggung. Suara itu seperti pernah didengarnya. Diamatinya semula. Ya… suara itu memang pernah didengarnya. Malah cukup biasa dengannya. Didengarnya semula. Amirah mengesat kesan air mata di pipinya dengan belakang tangan. Telinganya tetap dipasang. Dia pasti dia pernah mendengar suara itu.
Has… Haslia?
“Amirah, awak belum makan dari tadi kan, makanlah dulu.. biar saya susun mangkuk tu,” Haslia menyuakan sebuah bekas polisterin berisi nasi putih dan ayam goreng.
Amirah sekadar mendengus.
“Tak nak. Dah kenyang.”
“Kenyang? Bila awak makan? Dahla, berenti la dulu. Ambik ni, makan dulu.” Tegas Haslia. Polisterin di tangannya diletakkan di telapak tangan Amirah.
Tak terduga, Amirah menepisnya kuat. Polisterin itu pecah. Nasi terburai ke tanah. Haslia tergamam. Merah wajahnya apabila beberapa pelajar lain turut memandang.
“Orang cakap tak nak, tak nak laa!” Amirah bangun, menghentakkan kakinya ke tanah, melambangkan ketidakpuasan hatinya.
“Amirah…”
- Amirah!
Amirah tersentak. Dia mengelamun rupanya. Tapi mengapa dia tiba-tiba teringat hal ini?
- Apa yang kau fikirkan Amirah?
‘Haslia.’
- Kenapa dengan dia?
‘Hari tu Hari Guru. Aku dan Haslia.. tak. Sebenarnya aku ditugaskan buka gerai jual makanan ringan. Aku cadangkan kitorang buka gerai burger,nugget,fries. Cadangan aku diguna pakai. Tapi aku dikerah basuh pinggan mangkuk sedangkan aku mahu jadi penjual di barisan depan. Aku tak puas hati. Haslia datang lepas tu, ditolongnya aku. Seharian aku marah-marah, sampaikan tak sempat makan. Haslia belikan nasi dengan lauk kegemaran aku, tapi aku tak suka dia buat macam tu. Aku boleh beli sendiri kalau aku nak. Tak perlukan simpati dia. Aku marah dia depan orang ramai. Aku tau Haslia nangis. Kesian dia…”
- Kesian? Kenapa perlukan kesiankan dia?
‘Aku tak patut buat dia macam tu. Dia bersusah- payah tolong aku, sedangkan dia sepatutnya bergembira di hari-hari macam tu..’
Amirah bersuara pilu. Pandangannya redup membayangkan wajah Haslia. Sebak di dadanya mula berombak. Penglihatannya kabur lagi, tapi kali ini bukan kerana kabus yang memutih, tapi kerana matanya yang berkaca dek air mata.
Telinganya menangkap bunyi air mengalir. Perlahan, tapi jelas. Bunyi apa? Tiba-tiba pendengarannya disapa bunyi decitan. Seperti ciut- miut beburung. Amirah mendongak.
Burung- burung kecil sedang berterbangan di udara. Bunyinya jelas kedengaran. Amirah menoleh pada aliran sungai di sebelahnya. Juga begitu jelas terdengar aliran air itu menyapa lalang- lalang dan daun yang gugur di permukaannya.
Sebutir senyuman terukir. Amirah tergelak- gelak. Dia bingkas bangun, menyapu- nyapu kotoran yang melekat pada bajunya. Lantas, dia berlari- lari anak. Senyuman terbentuk cantik di wajahnya, tanda hatinya juga berlagu riang.
- Gembira Amirah?
Suara itu terdengar lagi.
‘Aku dah boleh dengar!’
- Kau memang boleh mendengar sejak dulu, cuma kau yang tak mau mendengarnya. Indah bukan, bila burung- burung menyanyi, dan aliran air bagai bunyi seruling?
Amirah pantas mengangguk.
‘Indah sangat!’
Suara itu ketawa. Ketawanya bersambung- sambung. Termati senyuman Amirah. Suara itu seperti mengejeknya.
‘Kenapa kau ketawakan aku?’
Senyap.
Sesaat. Dua saat. Tiga saat. Amirah masih menunggu.
‘Kenapa kau diam? Jawablah!’
Hening. Suara itu bagai hilang.
Serentak, alam sunyi semula. Segala- galanya kembali ke asal.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan