Isnin, 11 Julai 2011

CERITA TIGA


“Kenapa anak saya ni doktor? Kan ke kecederaannya tak serius, kenapa tak jugak dia sedar-sedar? Dah tiga hari terlentang macam ni. Ikhtiarkanlah sesuatu doktor,” Puan Salmiah merenung Dr.Imran di hadapannya, memohon pengertian. Wajahnya sembab kesan tangisan yang panjang.

Pandangan teralih pada sekujur tubuh kaku di pembaringan. Air yang menitis di tiub diperhatikan. Sudah berapa puluh botol, Puan Salmiah tak terkira. Tiga hari tidurnya terganggu, masakan tidak, menunggu kalau-kalau satu-satunya anak gadisnya tersedar dari koma. Lingkaran biru kehitam-hitaman sudah mula jelas di bawah matanya, malah tubuhnya juga sudah mulai susut, lemah tak bermaya.


Pertengahan 2004

Haslia termenung di bibir jendela. Matanya lepas bebas menikmati kehijauan pokok-pokok hasil tanaman bapanya. Tapi fikirannya jauh merentas tembok masa. Ingatannya menerawang entah ke mana-mana. Sebuah keluhan nipis terluah. Dia buntu sejak akhir-akhir ini. Persahabatannya dengan Amirah agak renggang kebelakangan ini. Sewajarnya jika hubungan itu renggang, sekiranya puncanya adalah tindakan kurang bijak Amirah yang mengambil diarinya tanpa pengetahuannya (atau kata lainnya, mencuri diarinya). Sebaliknya, hubungan mereka bagai retak menanti belah adalah kerana kesibukan Amirah dengan jawatan-jawatannya. Haslia rasa terpinggir.

Dia terimbau desakan Amirah tempohari. Terang-terang Amirah mengaku mengambil diarinya. Tanpa rasa bersalah, tanpa wajah kesal, tanpa pernyataan maaf. Malah masih mampu tersengih sumbing persis kerang busuk. Haslia bagai tersayat. Tapi sengaja didiamkan. Mahu melihat rentak Amirah seterusnya. Jelas-jelas Amirah menekannya supaya memperincikan tulisan-tulisannya dalam buku tebal tersebut. Haslia tersenyum sinis. Tak berperasaankah Amirah? Masih ada hati mendesaknya setelah curi-curi membaca diarinya? Nyata, Amirah jahil menilai sebuah persahabatan.

“Haslia.. ceritalaa.. kisah hidup awak best laa.. tapi ada sesetengah tulisan awak saya tak faham.. puitis sangat!”
Haslia tergelak kecil. Rasa terbakar hatinya.
“Kan awak dah baca semua? Siap curi lagi!” sindirnya. Suara tertahan—menahan hempapan amarah, dan sendu yang mula bernanah.
“Saya tak faham…”

Awak memang tak faham perasaan orang lain…! Haslia menjerit kuat. Tapi hanya dia yang mendengar. Hanya hatinya yang gentar dengan jeritan sekuat itu.

Tiada ulasan: