Jumaat, 15 Julai 2011

Cerita Pendek : Cerita Enam

CERITA ENAM

- Sunyi, Amirah?
Suara ghaib itu terdengar semula. Amirah bingkas bangun, melilau- lilau.
- Berhenti mencari, Amirah. Aku di sini, seperti tadi, tapi kau takkan menemuiku, selagi kau tak mampu melihat dengan mata hati.
‘Mata hati?’
- Maukah kau dengar kicauan burung, desiran angin, aliran air? Maukah kau lihat alam yang berwarna- warni, dan hilangkan kabus ini? Maukah, Amirah? Maukah kau berteman, Amirah?
‘Aku mahu pulang…pulangkan seluruh hidup yang aku nikmati sebelum ini…aku merayu! Pulangkan aku ke tempat asal!’
Amirah memekik. Burung- burung yang sedang hinggap di ranting terkejut dan segera terbang menjauh.
- Belum fahamkah engkau, Amirah?
Diam. Hanya esakan kedengaran.
- Tadi, kau mendengar irama alam, bila kau mendengar bicaraku, dan aku mendengar ceritamu.
Senyap. Masih mengongoi minta dihantar pulang. Tapi dalam masa yang sama Amirah mula memasang telinga.
- Apabila kau bercerita, kau mahu orang mendengarnya. Begitu juga, apabila orang lain bercerita, kau harus mendengarnya. Inilah komunikasi. Sebaliknya, jika hanya seorang yang berbicara seenaknya, sedang yang lain harus membisu seribu kata, itu monolog ertinya. Kau hanya bermonolog, untuk dirimu!
Amirah tergamam. Kata- kata itu entah mengapa menusuk ke hatinya.
‘Jadi…apabila aku memaksa, dan kau terdiam, maksudnya aku perlu menghormati hak itu?’
- Benar. Seperti engkau, orang lain juga punyai rahsia yang mengaibkan untuk dikongsi kepada semua. Dan seperti engkau, orang lain juga benci didesak!
Amirah tertunduk.
‘Tapi aku selalu mendesak. Jika gagal, aku merajuk. Dan dengan itu, aku dapat memenuhi rasa ingin tahu tentang sesuatu.’
- Hahaha!
‘Aku selalu memalukan sahabat- sahabatku. Selalu mempergunakan mereka untuk kepentingan sendiri. Malah, aku tak mahu mereka lebih dari aku.’
- Hahaha!
‘Daerah kosong ini, seperti dunia yang aku cipta dalam diriku. Aku hanya melihat apa yang aku mahu lihat, dari sudut sendiri. Aku tak pernah mahu melihat dari pandangan orang lain.’
- Jalan lurus ini, adalah jalan yang kau lalui atas kelukaan orang lain. Kau selalu melukakan perasaan teman- temanmu, tapi kau tak mau menyedarinya, sebaliknya, kau selalu merasa terluka jika sahabatmu enggan menurut keinginanmu. Inilah jalan lurusmu, tanpa mau memahami orang di sekitarmu!

CERITA TUJUH

Penghujung 2005

“Saya pun tak sibuk- sibuk nak tau, kenapa pulak awak sibuk?! Lain kali buatlah lagi! Menyusahkan orang je tau tak! Bodoh!”

Bodoh!
Kata- kata itu terngiang- ngiang di telinganya sejak semalam. Malah, saat kertas Bahasa Arab bermula, Haslia masih mampu mendengar dengan jelas herdikan amarah Amirah.

Haslia gagal menahan dirinya dari terus mengepung sabar. Tiga hari yang sudah, Amirah kelihatan cukup sugul. Sepertinya terlalu memikirkan kewarasan perbuatan Liana terhadap mereka. Pernah beberapa kali, Haslia dan Sara terlihat Amirah menangis di bilik air. Matanya merah kesan tangisan, tapi Amirah menafikan apabila ditanya. Malah, Haslia perasan, Amirah mulai tak berselera menjamah makanan.

Pembacaan Haslia terganggu. Ketenangannya menelaah pelajaran demi menghadapi SPM yang sedang dijalani, tergugat. Haslia sedar, dia perlu melakukan sesuatu untuk memulihkan semangat Amirah. Dia mahu Amirah bangkit semula. Untuk Amirah, dia akan pastikan Liana berikan penjelasan yang sewajarnya kepada Amirah. Haslia nekad, walaupun sebenarnya dia meletakkan persahabatannya dengan Liana, malah persahabatannya dengan Amirah, dalam risiko.

Niatnya suci, cuma Haslia salah perkiraan. Malam itu, beberapa jam sebelum mereka berempat menghadapi subjek seterusnya dalam SPM, Sara mendedahkan kebenaran. Pahitnya kenyataan, bagai duri dalam daging. Walaupun melukakan, segalanya Haslia telan tanpa tangis. Hanya batinnya yang merintih sakit.

Rupanya selama ini, tangis Amirah, adalah kerana bencikan dirinya.Amirah memang seorang yang dimanjakan, maklumlah, satu- satunya anak perempuan. Mungkin kerana itu dia terdidik, tak siapa boleh melebihi kemampuannya. Sedangkan sepanjang SPM, Haslia kelihatan cukup tenang, walaupun hatinya tak lepas bergelora bergelora bimbang. Seingat Haslia, Amirah pernah menangis di hadapannya, dan dia, lantas menarik tubuh gadis itu ke pelukannya. Hangat terasa tika air mata Amirah menitis ke bahunya.

Amirah…penghinaan apakah ini? Kau bencikan aku, tapi menangis di pelukanku? Lalu, untuk apa mempelawaku tinggal bersama menyewa di bilik ini jika dengan menatap wajahku bisa membius seluruh kesabaranmu?

Haslia gagal menemui jawapan.

Tiga bulan berlalu, sepantas kilat yang memancar bagi mereka yang berlumba- lumba dengan waktu. Sepanjang tiga bulan, Haslia bagai menokhtahkan hubungannya dengan Amirah. Seperti tiada ruang walau seinci untuk Amirah dalam dirinya. Bukan lagi gurisan yang mencalar, bahkan nyalaan yang membakar.

Siapa sangka, Amirah dan Liana kemudiannya sama- sama mendapat peluang melanjutkan pelajaran ke tempat yang sama, Pusat Matrikulasi Kulim, Kedah. Sara dan Kamilah bagaimanapun lebih senang memilih untuk meneruskan pengajian di tingkatan enam. Bagi mereka, Sijil Pelajaran Tinggi Malaysia (STPM) adalah matlamat sebenar. Haslia sebaliknya diterima masuk ke Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Indera Petra, dalam jurusan Diploma Syariah.

Persahabatan…siapa kata mampu berkekalan selamanya?

Tiada ulasan: