Ahad, 25 Disember 2016

FREESIA

Freesia itu spesies bunga, yang habitatnya di Afrika Selatan.

Ia bunga berbatang panjang yang punya bukan saja warna yang berbagai malah menghasilkan bau yang menyenangkan.

Freesia selalunya diekstrak dan diaplikasikan kelebihan bau harumnya dalam pembuatan krim tangan, shampu, sabun dan bermacam lagi.

Ia juga cantik sebagai jambangan bunga pengantin dan juga salah satu jenis bubga yang popular dalam perubatan tradisional.

Ia dikatakan bunga yang mewakili feminism dan mampu menghancurkan sihir tertentu - menurut perubatan tradisi orang Afrika Selatan.

Cantik, harum, dan misteri.

Bersesuaian sekali dengan FREESIA Instant Shawl keluaran terbaru CHATIK Collection.

Instant dua muka yang ringkas dan pantas, tetapi pemakaiannya tetap boleh dipelbagaikan.


P/S: 😍😍😍😍😍

Rabu, 14 Disember 2016

A Friend

Isnin lepas. Jumpa kawan nan sorang ni kat AEON MALL Kota Bharu.

Dah lepak-lepak, sembang-sembang, makan-makan, dah salam semua segala baru teringat nak berswafoto sama-sama.

Kelakarnya pula, swafoto dua keping je, tiba-tiba gambar takde dalam galeri. Dah tutup buka semula telefon baru keluar. Itu pun sekeping je.

Jadi itu saja lah bukti kami jumpa.

Sedih.

Tapi takpelah, lain kali pula ya.

Kami sembang pasal tudung, tutorial menyarung AISYA Rama-Rama, sembang pasal tudung lagi, dan macam-macam.

Tiba-tiba dah segan nak cakap Bahasa Melayu, dah banyak bunyi Kelantan dah. Hahahaha. Maaflah ya kawan, kawanmu ni dah lupa selanga Bahasa Melayu Kuala Lumpur.

Kawan, atau saudara, yang sentiasa di hati, walaupun hakikatnya jauh, tapi tak pernah rasa jauh. Dan tak ralat untuk berpisah. Meski tak tahu lah bila boleh jumpa lagi.

Begitu lah, ini salah seorang kawan yang entah macam mana kami boleh jadi akrab, tapi begini lah kami.

Jadi kawan, lain kali balik Kelantan, jangan lupa kimchi 2kg ya. Botol paling besar.

Sedikit tentang kami.

Kami asalnya sama-sama suka KPOP. Dan kemudian sama-sama suka Korea. Drama, muzik, reality show. Kami jadi teman sebilik. Suka kopi. Latte. Sans Francisco. Buskin Robbin. Groupon. Kupon. Voucher.

Cikgu Bahasa Inggeris.

Pendengar kisah panggilan hangit hari ini.

Kemudian kawan ni kahwin. Hadir majlis di sebelah lelaki. Swafoto lagi.

Dan kami terus berkawan.

Masih jumpa minum kopi sama-sama.

Dan aku pula kahwin. Kawan ni hadir bersama suaminya.

Kemudian sama-sama dapat anak.

Kisah anak pula jadi topik cerita kami.

Jalan kami berbeza, tapi masing-masing sentiasa ada bersama. Mungkin zahirnya jauh entah di mana, tapi secara spiritualnya, kami ada.

Begini lah kawan, mungkin akan tiba masanya, kolaborasi antara kita untuk realisasikan Isteriku Si Barista.

Oh, tak perlu gelak lebih-lebih kawan. Masa depan itu tiada yang mustahil.

Mana tahu suatu hari manuskrip itu tiba-tiba sampai di pangkumu?😘😘

P/S: Kerana persahabatan, jarak, dan masa bertitik.

Khamis, 8 Disember 2016

Persahabatan

Aku kira
Aku tidak lagi mampu
Menyulam benang-benang rasa
Perlahan dan penuh sabar

Aku kira
Aku tidak lagi mampu
Menyiram benih-benih harapan
Bajai dengan tenang

Aku kira
Aku hanya mampu pertahankan
Apa yang telah aku miliki

Jagai tunggul-tunggul rasa
Yang adakala terbongkah juga oleh masa

Aku kira
Aku hanya mampu menoleh ke belakang
Renungi kenangan yang takkan berulang

Aku kira
Dan aku terlupa
Perkiraanku
Adalah percaturan seorang kerdil
Yang biasa saja tersanggah oleh aturan takdir

Begitulah
Mungkin ketakutan begitu membelenggu
Hingga aku terlupa

Aku ini hamba
Dan Dia sentiasa ada
Mendengar dan Melihat

P/S: Seperti ungkapan kegemaran teman nan seorang ini... ya, ia aneh.

Isnin, 5 Disember 2016

Tekad

Hasrat umpama angan-angan
Manis dicicip
Indah dibayang

Sedang impian sepertinya cita-cita
Keinginan yang sukar dicapai
Meski tak mustahil digapai

Dan kemahuan seakannya tekad
Kehendak yang bulat
Jitu, kukuh, dan kuat

Lalu samar bulan hadapan
Atau tahun hadapan
Bak apa?

Hasrat yang tinggal angan-angan
Atau impian yang punya kemungkinan jadi nyata
Atau kemahuan yang penyudahnya adalah kemenangan?

Lantas...

Tersadung dek larian yang sumbang
Atau
Menapak perlahan dek gentarkan hakikat?



Jumaat, 2 Disember 2016

Kopitiam

Memang hampir hari-hari aku makan tengahari kat Kopitiam.

Walaupun sepinggan nasi goreng adalah RM6.50.
Walaupun secawan kopi panas RM2.50.
Walaupun segelas teh tarik RM3.50.

Walaupun sebelah ofis tersergam elok kedai makan.

Bukan terasa bagus-bagus sampai perlu ke Kopitiam dan taknak ke kedai sebelah.

Tapi kerana kebersihan.

Beberapa kali selepas makan di kedai sebelah aku muntah-muntah, hampir demam dan lemah-longlai.

Beberapa kali juga bila beli makanan yang sama harganya berubah-ubah.

Lalu aku putuskan mahal beberapa ringgit lebih baik dari seharian penat lembik sedangkan kerja masih berbaki beberapa jam.

Dan begitulah.

P/S: Punyalah pesan makanan yang hampir sama sampaikan kadang tak perlukan menu.

Isnin, 7 November 2016

Kopi Secawan

Kopi secawan dia rapatkan ke bibir dan menghirupnya perlahan.

Rasa suam-suam panas air kopi dan pedas nasi goreng kampung yang baru dihabiskan tadi, bersatu dalam tekak, dan menghasilkan rasa lega serta puas hati.

Sambil tubuh pegun di sofa tipis restoren, mindanya menerawang jauh, bergentayangan ke belakang masa beberapa hari yang lepas.

Mengimbas semula bagaimana perasaan jadi penuh di hatinya, lalu melimpah keluar dari benteng yang tak tinggi mana, menzahirkan tekanan yang kerap dirasa sejak hampir setahun kebelakangan ini.

Mengenang bagaimana dia bukan sengaja menyusahkan hati-hati mereka yang ambil berat tentangnya, mereka yang dia juga ambil berat, mereka yang selalu di samping dia.

Keluhan terluah lagi.

Otaknya rasa bejat memikirkan solusi.

Apa wajar dia tinggalkan satu-satu sumber rezeki (dan sumber kepada semua tekanan yang sedang dihadapinya) untuk dia sekeluarga dan depani apa saja halangan di depan dengan tulang empat keratnya?

Fikirannya rasa beku memikirkan bagaimana jawapan kepada semua persoalan yang sedang bebani pundaknya hari demi hari.

Sebahagian hatinya mahu lari dari masa sekarang.

Tapi sebahagian lagi pengecut untuk keluar dari zon selesa (yang semakin hampiri gaung bahaya).

Dia mengeluh lagi. Merenung bayangnya yang terpantul dari secawan kopi yang main kurang suhu panasnya.

Melihat bayang wajahnya yang berkerut dengan segala apa yang dinamakan masalah.

Apa perlu dia tinggalkan semua yang telah dia usahakan bertahun-tahun? Pengalaman yang telah dia timba akan jadi kosong andai dia melangkah pergi, justeru beranikah dia menapak keluar dari zon itu?

Tangkai cawan berisi kopi suam dicapai lagi. Dia bawa ke bibir berhati-hati, menghirupnya hingga habis.

Dia renung keladak hitam di dasar cawan. Terasa sama dengan fikirannya sekarang.

Gelap.




P/S: Di mana rasa berani itu pergi?

Selasa, 1 November 2016

CHATIK Collection

Berangan tak salah.

Dan alhamdulillah, angan-angan mat jenin aku rupanya berpeluang jadi nyata.

SARA Instant Shawl adalah keluaran pertama dari CHATIK Collection.

Instant shawl dua muka, sarung, sarung, kemaskan kanan dan kiri, siap!

Hampir dua bulan rupanya proses ni, dan ia sesuatu yang sukar untuk seorang yang banyak bergantung kepada orang lain seperti aku.

Menjahit tak pandai, tapi demi impian ni aku gagahkan juga.


P/S: Dan benarlah, langkah yang aku kira besar ni, masih terlalu banyak ranjaunya.

Sabtu, 29 Oktober 2016

Merisik

Balik kampung macam biasa di kala hujung minggu.

Balik-balik je rupanya dijadualkan ada rombongan datang merisik pada petang tu . Maka aku pun tumpang sekali lah meribut.

Lalu begitulah, cuti sekolah Mac tahun depan bakal menerima ahli keluarga barulah dalam keluarga mentua.


P/S: Tiada majlis pertunangan, hanya nikah dan sanding mungkin.

Isnin, 24 Oktober 2016

Go Go Go!!

Sound effect game StarCraft.

Go go go!!

Ia memacu semangat.

Terasa ingin rebah. Tapi begitulah hakikat. Perjalanan singkat di alam fana tapi seolah begitu panjang hingga lelah terasa di mana-mana.

Bekalan ke alam abadi entah kosong entah terisi.

Tapi aku putuskan beginilah.

Hati ni rasa lemah tapi aku akan terus menapak.

Selangkah demi selangkah biar lambat asal tak putus asa sendiri.

Kerana Allah itu ada. Di mana-mana. Bila-bila. Sepanjang masa.



P/S: Akan kudukung hasrat ini.

Sabtu, 22 Oktober 2016

Teh O Ais

Badan sama-sama penat dek perjalanan Temerloh-Gua Musang melalui Kuala Lipis eh bagai ular dipalu.

Justeru kami putuskan bungkus makanan balik makan jelah.

Singgah di satu kedai masakan panas ni, ada satu keluarga sedang menjamu selera.

Aku pesan dua jenis lauk dan nasi putih dua bungkus. Akak tu minta duduk dulu. Aku angguk, duduk dan keluarkan telefon dan mula main game Burger.

Selang beberapa minit salah sorang pekerja bawakan segelas teh o ais.

Yang tak ada dalam pesanan aku.

Sambil tersenyum dia meminta aku minum dulu sementara pesanan aku disiapkan.

Kedai ni biasa-biasa saja. Tapi layanan sebegini adalah kali kedua aku terima.

Dan walaupun lepas balik aku dapati ada kesilapan pada pesanan aku, rasa hampa tu tak begitu terasa, mengenangkan bagaimana mereka sedaya melayan pelanggan.

Dengan senyum dan penghargaan.

Oh ya, kali pertama adalah di McD/KFC Plaza Damansara - di mana mereka hulurkan segelas kecil air pepsi/coca cola - kerana fries sedang digoreng.

Silapnya aku hanya berterima kasih, walhal perkara semacam ini layak diviralkan.



P/S: Terima kasih korang.

Jumaat, 21 Oktober 2016

Tergendala

Baru je bersemangat meneruskan projek yang terbengkalai.

Eh eh. Ada lagi lah pulak halangannya. Apakah.

Makanya aku berehat bersama Kit Kat sekejap.

Kejap je. Aku tak putus asa lagi ni.

Nak buat. Akan buat.

Cuma dalam tempoh bertenang je dulu.



P/S: Mode tabah.

Ahad, 9 Oktober 2016

Syaitan the Devil

Dah nama syaitan, maka kerjanya menghasut je kan.

Banyak betul dajal-dajal syaitan ni dalam kepala aku.

Susah nak bernafas dibuatnya. Nak pandang orang rasa benci, nak tengok orang rasa menyampah, nak tenung lagi memang taklah.

Jangan kata pandang, dengar suara pun dah tak mampu.

Taktahu lah.

Susah hati aku macam ni. Macam mana nak terus hidup dalam suasana macam ni.

Ini lah yang selalu buat aku rasa nak putus asa.

Tapi, begitulah.



P/S: Meluah tak bermaksud aku mengalah. Aku akan berdiri selagi kaki mampu menongkah arus.

Ahad, 2 Oktober 2016

Maal Hijrah

Tahun berubah lagi.

Maka aku mengambil kesempatan untuk menanam azam baru.

1)Mahu kurangkan percakapan dan bebelan - kata seorang chef yang juga penulis, fokus pada apa yang kita dapat buat.

Maknanya, andai berlaku sesuatu kesilapan oleh orang lain, usah fokus pada kesalahan itu, tapi fokus pada apa yang kita boleh lakukan untuk perbaiki keadaan.

Nak fahamkan pun dah susah, nak buat tu tak pastilah.

Tapi aku akan cuba. Justeru, aku akan kurangkan perkataan andai ia tak perlu.

2) Lebihkan kasih sayang.

Untuk keluarga, dan keluarga. Untuk kawan takpe, sebab dengan kawan aku sangat sopan. Eh. Tapi dengan keluarga macam selalu kurang kasih sayang.

3) Kurang tak suka.

Kena kurangkan tak suka itu tak suka ini.

4) Solat awal waktu.

Ini sedang berusaha sedaya dapat. Semoga Allah kurniakan kekuatan.

5) Kreatif, yakin, percaya!

Aku tahu aku kreatif, aku yakin aku mampu, dan aku mahu percaya aku berdaya!


P/S: Walaupun azam bernombor, nombor hanya angka, bukanlah susunan keutamaan.

P/S/S: Mahu aktif berblog semula. Menulis akan membantu aku kurang luahkan kesakitan dalam bentuk percakapan.

Sabtu, 24 September 2016

"...Maaf mengganggu.."

Kerana mereka juga manusia yang punya keluarga.

***      ***      ***      ***

Bertahun-tahun di talian menerima pelbagai rungutan dan mendengar bermacam masalah, suara jerkah dan caci-maki semacam sesuatu yang biasa.

Justeru bilamana meninggalkan dunia panggilan tersebut, tak dapat tidak aku pun memerlukan mereka untuk selesaikan sesetengah perkara.

Kerana mereka adalah punya capaian yang hampir menyeluruh ke mana-mana jabatan, sedang aku hanya berada di dalam satu cawangan kecil.

Lalu, bila memerlukan mereka, ayat yang mampu membuat mereka selesa untuk membantu, adalah, maaf mengganggu. Bolehkah membantu?

Percayalah, mereka akan lebih gembira. Kerana mereka bakal membantu kita, maka apa salahnya pohon bantuan dengan memuliakan mereka?

Kerana aku juga satu masa dulu, terus terangnya amat sukar menerima ucap terima kasih, walhal sergah sumpah seranah amat mudah menjadi halwa telinga.

Lalu, biarkan aku jadi satu dalam seribu.



P/S: Aku janji, meski rasa marah melonjak-lonjak mahu dilempiaskan dengan lontaran suara, aku janji akan cuba sedaya menahannya. Kerana aku juga seorang yang punya keluarga.

Khamis, 22 September 2016

Dari Simpang ke Jalan Lurus

Dahlah dah lama tak menulis kat sini. Lepas tu bila tengok dalam setahun terakhir ni, post semua jenis-jenis patah semangat. Putus asa. Aura negatif di mana-mana.

Bila pikir-pikir semula, aku salah percaturan dalam banyak hal. Setiap inci perkara aku pandang dari sudut yang salah. Semuanya nampak tak kena, tak lengkap, dan tak sempurna.

Lalu hasilnya, tekanan melambak-lambak.

Dan rasa kecewa. Tak suka. Tak gembira.

Walhal, aku sebenarnya dikelilingi sumber-sumber kebahagian yang banyak. Cukup untuk buat aku tersenyum dan ketawa.

Begitulah. Tak ada kerja, dah ada kerja. Kesorangan, dah berkeluarga. Jauh dulunya, sekarang dan bersama.

Tapi sentiasa meminta-minta yang tak perlu.

Justeru, akhir-akhir ni aku mula berfikir-fikir semula.

Bersederhana itu bukan tuntutan kosong, ia penuh makna hakikatnya.

Perlahan-lahan, aku sedang cuba membetulkan langkah yang selama ini menyimpang.

Baiklah, tak lah menyimpang, cuma mengambil laluan-laluan jauh yang penuh halangan, sedang lebuhraya terbentang selesa.

Lalu, semoga aku istiqomah. Dan percayalah, istiqomah itu terlalu mudah aku tuturkan, untuk laksanakan terlalu payah, namun tak mustahil.


P/S: Umpamanya sehelai selendang, materialnya penting, tapi lebih penting bagaimana ia disarungkan.

Isnin, 19 September 2016

Ilham

Taip.
Padam.
Renung.
Taip.
Padam.

Renung.

Renung.

Langsung tutup apps.

Main game.

Susah jugak nak nukilkan apa yang terbuku bila ilham tu tak kunjung tiba.

Rabu, 7 September 2016

Home Made Snack

Macam biasalah, tajuk sentiasa tak Melayu kan.

Dulu-dulu, rasa jugak betapa rajin lah sesetengah orang buat makanan ringan di rumah. Betullah, memang lebih baik sama ada dari segi bahan-bahan dan kesihatan, tapi dari mana lah kerajinan dan kekuatan itu depa dapat tak tahu lah.

Mungkin sebab masa tu Aisyah takde. Atau jugak keluarga aku jenis yang tak makan bebenda sebegitu.

Atau... kemungkinan besar sebab aku tak pandai masak, dan tak berani masak.

Pada waktu itu lah. Hahahaha.

Sejak punya dapur sendiri sekarang, dan Aisyah dah mula boleh makan macam-macam, dan melihat macamana Aisyah makan biskut lah, apa lah, yang aku buat, baru faham apa tu kepuasan memasak dan ia dihabiskan.

Dari situ lah kekuatan dan kerajinan itu datang.

Dan kadang-kadang berjaya jugak buat sesuatu yang MAW pun makan. Oh ini kejayaan besar.

Sesuatu yang akan dibanggakan di kalangan keluarga bila masak sesuatu dan MAW makan dengan jayanya tanpa membuat memek-memek muka yang menjengkelkan.

Susah makan satu, amat memilih satu, kegemaran pulak pizza dan KFC, dan sekarang mungkin burger kadang-kadang.

Sekian.



P/S: Rindu jugak menulis ni kadang-kadang.

Ahad, 21 Ogos 2016

Setahun : Aku Yang Bertatih

Khamis lepas genap setahun aku di bumi GuaM.

Nostalgia itu terasa, kerana setahun kali ini panjang dan jerih payahnya ketara.

Tak pernah aku kecewa sekerap dalam setahun ni, sepanjang tempoh bekerja.

Tak pernah aku putus asa sekerap dalam setahun ini.

Tak pernah aku mengalah sekerap dalam setahun ini.

Tak pernah aku selelah dalam setahun ini.

Dan, tak pernah nekad itu sekuat dalam setahun ini.

Tapi, dalam pahit, manisnya tetap ada.

Tak pernah aku balik kampung sekerap tahun ini.

Tak pernah benar-benar merasa cuti raya sepanjang tahun ini.

Tak pernah menikmati hidup bersama keluarga kecil aku ni seindah setahun ni.

Tak pernah aku memasak semahir tahun ni.

Tak pernah memonopoli jalan raya seperti tahun ni.

Tak pernah berjalan-jalan sekerap tahun ni.

Tak pernah memiliki impian-impian tertunai sebanyak tahun ni.

Ia manis.

Ia pahit.

Dan walau segalau mana terasa oleh setahun ini, aku masih mahu kekal di sini. Bukan kekal begini, aku mahu di sini, dalam kondisi lebih baik dan lebih utuh.



P/S: Bersama kesusahan itu ada kesenangan. Seperti pelangi yang selalu muncul selepas ribut menghentam.

Sabtu, 20 Ogos 2016

Bunga Wanginya Berbeda, Seperti Manusia Minatnya Tak Serupa

Baik, tajuk panjang dan puitis di situ.

Kesahnya semua manusia dasarnya punya sebatang tubuh, sepasang tangan kaki dan telinga. Namun kerjanya, lebih dan kurangnya, tak serupa malah berbeza.

Begitulah manusia diciptakan tak sama supaya boleh berkenal-kenalan malah saling sama bertolak ansur dan bekerjasama.

Justeru adalah biasa bila minat dan kesukaan langsung tak sealiran.

Lalu aku memang selesa berbelanja secara dalam talian. Mudah, sesuai aku yang kesibukan, dan adakala harganya sedikit murah.

Memandangkan aku si ibu untuk anak yang masih menyusu badan, maka aku kerap jugaklah membeli baju-baju atau perkakasan atau pakaian yang mesra penyusuan badan. Cantik untuk aku, mudah jugak untuk si kecik.

Cuma tatkala ada yang menempelak apa perlunya berbelanja lebih untuk baju-baju sebegitu, aku hanya tersengeh tayang gigi yang putih kuning.

Bunga tak semuanya ungu, lalu kenapa persoalkan manusia tak semuanya begitu?



P/S: Kerana perbezaan itu perlu, lalu begitulah kehidupan. Andai semuanya senada, apa bezanya manusia dan mesin?

Selasa, 9 Ogos 2016

Beliau Semanis Gula-Gula

Ehh mintak maaf tajuk inspirasi drama Melayu sikit. Hahaha~

Kisahnya pendek saja.

Pagi-pagi tadi salah sorang bos dah pesan siap-siap, petang nanti jangan balik dulu, tolong siapkan ada satu laporan nih.

Jadi aku pun hantarlah satu pesan ringkas SMS berbayar kepada encik beliau.

Kadang-kadang aku suka juga mengacau encik beliau dengan mesej berunsur mengada-ngada dan menggedik-gedik. Kebetulan tadi memang mood manja-manja macam kucing Parsi.

"Sayang... I kena balik lewat hari ni, bos mintak tolong siapkan report.."

Macam tuh lah lebih kurang.

Selalunya encik beliau ni balas pendek je, biasanya "K" saja. Titik takde, dot pon takde. Memang macam tu saja balasannya setiap kali.

Tapi hari ni, agak terkejut bila terima balasan dari beliau.

"*smiley*smiley*good luck baby*smiley*smiley"

Wahhhhhh.... dan-dan ada satu suntikan semangat nak siapkan keje. Senyum sampai ke telinga lah aku....

Balik memang lewat lah. Dah sampai rumah aku mula lah usik-usik.

Panggil lah macam tadi, kata aku.

Mana boleh. Dah simpan dalam guni, katanya.

Jual mahal pulak dia....

Encik beliau kesayangan aku ni memang jenis yang tak banyak cakap, lepas tu nak ber-pet name bagai tuh memang jauh panggang dari api lah. Siap awal-awal kawen dulu dipanggilnya hoi-eh saja kat aku.

Balas mesej pun kadang-kadang macam marah saja, walhal memang jenis yang tak reti nak luahkan dalam ayat panjang-panjang.

Justeru bila dapat mesej macam tadi memang jadi energy booster lah. Hahaha~





P/S: Masih tersengeh macamkan kerang busuk sambil menaip. Hahahaha~

Ahad, 10 Julai 2016

Putus Asa

Penat sebenarnya.

Tapi bila pikir-pikirkan semula, masih belum masanya untuk putus harapan. Cahaya masih ada meskipun suram.

Sejak mula bertatih di dunia kerjaya aku selalu zikirkan di telinga teman yang ingin menyerah kalah, untuk sediakan pelampung sebelum menerjah arus.

Tapi bila ia terjadi pada diri sendiri, rupanya keinginan untuk melepaskan segala-galanya begitu kuat, hingga gagal untuk kekal rasional.

Penat yang menghambat, masih mampu aku gagahkan diri. Tapi bila kecewa  yang beraja, susahnya bertahan.

Ahad, 3 Julai 2016

Tak Sama

Baru-baru opis aku menganjurkan majlis berbuka untuk staf dan keluarga.

Dipendekkan cerita, aku hadir hanya dengan Aisyah. Encik beliau, bakar ayam berempah, tanak nasik dan goreng sayur, menghantar kami ke lokasi buka puasa menjelang jam tujuh, dan balik rumah berbuka dengan resepi rahsianya.

Banyak kali juga lah perlu aku jawab soalan-soalan tentang ketidakhadiran beliau.

Encik beliau memang jenis yang pemalu dan sukar bergaul dengan orang ramai. Beliau memang punya sejarah yang menjadi punca lebih gemar meminimakan penglibatan dengan orang ramai.

Awal perkahwinan, ia sesuatu yang mencabar juga. Yelah, baru kawen malamnya, esoknya keluar sama-sama tapi beliau tunggu dalam kereta dan hanya aku menapak sorang-sorang ke pasaraya atau ke mana-mana.

Tapi begitulah. Setiap orang tak sama dan tak serupa. Mungkin di mata yang lain kasihankan aku - pasaraya kadang-kadang sendiri, singgah beli makanan untuk dalam perjalanan pun sorang, isi minyak kereta, dan apa-apa saja.

Hakikatnya, aku gembira apa adanya. Untuk apa disusahkan satu yang keliatan seperti kekurangan dengan kelebihan beliau yang lain?

Beliau menerima apa adanya isteri yang lebih gen malas dari rajin ni. Isteri yang lebih suka emosi dari bertenang. Isteri yang suka merajuk untuk hal kecil-kecil.

Yang lain-lain, biar aku saja yang simpan.

Pendek kata, aku jatuh cinta pada beliau berkali-kali lagi selepas kawin. Beliau macamkan permata yang selama ni tersorok dalam timbunan pasir, dan aku jadi insan bertuah yang memiliki permata tu.



P/S: Sesekali cheesy. Wheeeee

Rabu, 29 Jun 2016

Towards The End

Haa macam biasalah, tajuk kemain omputih tapi isi kandungan tetap Melayu. Hahaha~

*serious mode turn on*

Tak mudah sebenarnya, untuk berada di sini agak macam-macam aku hadapi, lalui. Setelah bersusah payah dengan pelbagai rintangan akhirnya terpaksa aku ucapkan selamat tinggal jugak.

~Kuucapkan selamat tinggal.... selamattttt tinggalllllll~

Eh nyanyi pulak.

Mungkin ini caranya untuk aku kembali pada fitrah, sape tahu kan. Justeru aku memilih untuk redha dan menerima. Tapi taklah aku menyerah macam tu saja.

Walaupun aku takde sebarang tempat berpaut buat masa sekarang, tapi asalkan teman sejiwa sanggup belajar bertatih sama-sama, rasa yakin tu sikit sebanyak, ada.

Dengan kebenaran beliau, dan restu si ibu, aku akan bangun. Ini bukan penamat kehidupan pun. Andai orang lain mampu, aku pun tentu lah boleh. Bukan lah aku ni cacat penglihatan, pekak pendengaran, atau tempang kaki atau tangan. Sempurna adanya aku.

Lalu, aku janji pada diri, aku tak mengalah di sini. Mungkin ini kesudahan untuk aku di sini, tapi bukan pengakhiran segala-galanya.

~Dunia belum berakhir.......~

Eh nyanyi lagi.

Tiga bulan.





P/S: Aku tahu aku boleh.

Ahad, 26 Jun 2016

Tamak

Eh puasa-puasa ni nak tamak bagai kan.

Tiba-tiba je terasa tamak haloba nak buat biskut macam-macam. Walhal belum tentu masanya ada. Ambik cuti satu hari buat biskut best neh.

Tak boleh tamak sangat sebenarnya. Mementang la bila buat sendiri agak berjimat di situ.

Kalau beli, RM20++ baru dapat sebalang kecik. Ada lah dalam 48-50 bijik. Belum raya dah habis.

Kalau buat, RM20 dapat beli bahan-bahan dah, dapat mungkin tiga kali jumlah tersebut. Pasalnya boleh kecik-kecikkan saiz, atau kalau besarkan pon takpe, cepat sikit kenyangnya. Hahaha.

Cuma perlukan masa dan tenaga. Eh tapi kalau menjadi dan orang makan, seronok.

Jadi harapan minggu ini ialah, tiada sebarang masalah kronik berlaku, dan dapat menamatkan kerja dengan tenang. Serta si kecik bersopan santun melihat ibunya mengadun kuih. Haa kan bagus tu!

Harapan lah, semoga tertunai InsyaAllah. Aminn.





P/S: Biskut raya oh biskut rayaaaa~~~

Selasa, 21 Jun 2016

Puasa dan Biskut

Puasa tahun ni, kali pertama balik puasa lama-lama dengan dedua belah keluarga. Seronok. Hahahaha. Alhamdulillah.

Dan puasa tahun ni, kali pertama aku nak belajar bakar membakar ni.

Justeru ada lah dua tiga resepi aku cuba, berpandukan resepi-resepi mudah kat facebook. Alhamdulillah boleh lah. Dari tak rasa pape, macam elok jugak lah kejadian biskut-biskut puasa aku.

Dua tiga hari jugak sahur dengan biskut. Haa teruja namanya nak buat biskut.

Sebenarnya, dah berzaman teringin nak bakar membakar ni. Cuma sekarang impian diizinkan tertunai.

Seronok.

Walaupun hakikatnya kepala terasa kusut jugak, tapi mungkin abaikan saja.



P/S: Cuti pon dapat tahun ni. Rezeki sungguh.

Sabtu, 11 Jun 2016

Cikgu

Ramai jugak ya salah paham bahawasanya aku adalah cikgu.

Justeru aku mengambik kesempatan bulan puasa nan mulia ni untuk memberi sedikit penjelasan.

Alkesah, kawan-kawan aku sendiri memang ingat aku cikgu. Takdelah nak heran sangat sebab memang 85% kawan-kawan aku ni memang sebahagian dari institusi perguruan. Jadi mungkin ada salah paham di situ.

Tapi bila dah tatau-sape-lah, lepas sorang, sorang, lepas sorang, sorang, menyapa dan terus meneka aku adalah cikgu, maka aku heran lah jugak kan.

Adakah ropa paras aku ni ropa oaras cikgu-cikgu? Atau, cara penampilan luaran aku adalah penampilan cikgu-cikgu?

Kekeliruan agak menebal di situ.

Justeru kawan-kawan sahabat handai semua, saya bukanla cikgu. Tidaklah sepenyabar itu saya nak jadi cikgu. Sat lagi ramai mati muda budak-budak sebab belajar dengan aku. Eh.

Saya adalah sorang pekerja swasta, walaupun kadangkala saya memberi maklumat-maklumat baru pada orang ramai tapi saya bukanla sorang cikgu.

Sekian.



P/S: Musykil jugak.

Jumaat, 10 Jun 2016

First Step

Budak kecik aka mini-me sudah pun mencecah 15 bulan, merangkap setahun lebih, tapi baru saja berani-berani menapak.

Sedikit lambat berbanding member sebayanya. Aku senang je bila orang banding-bandingkan budak kecik ni lambat berjalan.

Member lain lebih cepat berdikari sebab masing-masing dah bakal bergelar kakak atau abang, sedang budak kecik ni masih solo sorang-sorang, justeru nak kejarkan apa. Hahahaha~

Dan selalunya ayat seperti di atas mampu menukar topik dengan jayanya.

Oh sejak dah pandai berjalan ni, habis dipusing satu rumah, walaupun berjalan masih rupa ketam nipah - mengiring ke tepi dan bertatih-tatih.



P/S: Biar lambat asal selamat.

Khamis, 9 Jun 2016

Aftermath Effect

Tajuk selalu omputih tapi isi Bahasa Melayu.

Masalah.

Tapi abaikan.

RAM aka pakcik Ramlee Awang Mursyid atau jugak dipanggil Tuan RAM oleh fans beliau, akan keluarkan buku terbaru tak lama lagi.

Anehnya hingga sekarang aku masih belum dapatkan sambungan terbaru Sunan Series.

Aneh.
Memang aneh.

Ini bermakna aku dah ketinggalan paling kurang tiga buah karya beliau. Walhal satu masa dulu aku boleh dikatakan konsisten dalam membaca dan mendapatkan yang terbaru panas-panas di pasaran.

Oh tidak. Aku masih gemar membaca. Masih berminat. Masih suka.

Cuma, kekangan masa dan Aisyah. Eh tetibe salah Aisyah kan. Hahaha. Sebenarnya nyalaan semangat untuk membaca tu agak pudar. Mungkin jugak sebab banyak urat putus tempohari. Eh salah urat putus jugak kan. Nasiblah labu.

Kesan yang harus aku terima dengan tabah dan redha.

Kesan lain?

....... makan sayur?


P/S: A/N :- Aisyah is mini me. Muahaha~

Rabu, 8 Jun 2016

Love

Cinta. Sayang. Kasih.

Sungguhnya ia terlalu aneh. Seakan sekam, hangat dan menghiburkan tapi bisa marak memakan jiwa dan rasa.

Bagai angin, sepoinya mengasyikkan tapi tatkala ribut membadai, elus gemalainya entah ke mana. Yang tersisa hanya ketakutan dan kenyerian.

Justeru di mana signifikasi abadi yang sering dituturkan seiring luahan rasa suka, cinta, dan percaya?

Ilusi, imaginasi, atau sekadar fantasi...?



P/S: Aneh.

Selasa, 17 Mei 2016

Syukur

Lama-lama baru perasan, banyak pulak kongsi kisah duka-pedih-perih di laman ni.

Bahana beban kerja mungkin.

Tapi, sikit sangat sebenarnya masalah atau tekanan berbanding nikmat yang dapat.

Punya kerja, keluarga yang harmoni, adik-beradik yang tak menyesakkan jiwa, kampung yang tak jauh, kekawan di mata dan di hati, serta banyak lagi yang memang tak habis disenaraikan.

Dan paling utama dari tu, ada Allah yang ada di mana-mana, bila-bila masa, dulu, sekarang, dan sampai bila-bila. Justeru, secara logiknya, kebahagiaan jauh lebih banyak dari ketidakbahagiaan.

Ayat pasrah pulak neh. Tapi takpelah, masa masih ada. Aku akan cuba sedaya upaya, taknak menyerah dengan keadaan.



P/S: Feeling determined.

Sabtu, 14 Mei 2016

Birthday

Sambutan harijadi bukanlah satu praktis dalam keluarga aku neh. Seperti yang selalu aku katakan, aku asal dari sebuah keluarga sederhana yang penuh kekampungan.

Justeru zaman kekecik dulu satu-satunya sambutan harijadi yang aku ingat ialah bapak aku belikan air kotak Dutch Lady perisa coklat sorang satu dan sedikit kueh/biskut. Itu pun untuk adik aku, yang perasan paling manja tu lah. Hahahaha. Untuk orang lain, macam tak pernah ada.

Lalu bila dah berkeluarga sendiri macam sekarang, sambutan harijadi sengaja aku taknak terapkan. Harijadi sekadar satu tarikh ulang tahun, itu saja. Memestikan adanya sambutan tertentu, itu tak perlu. Boleh disambut, tapi mak ayah macam aku tak payah dipaksa. Hahahaha nampak permainan kat situ.

Tapi walau apa sekalipun, aku selalu pastikan aku ada hadiah pada setiap ulang tahun aku sendiri, dan biasanya memang aku beli sendiri. Hahahaha. Jadi tahun ni aku belikan diri sendiri sebuah oven.



P/S: MAW took a Nutrigen (which I bought for him) put a straw in it & put it next to me while saying, drink this when you are thirsty. When I asked why he was being extra nice he simply said because it was my birthday. Huh.

Sabtu, 23 April 2016

Stress

Tajuk entry pon dah mendatangkan tekanan kan.

Lama tak menceceh di sini bukan kerana kontang idea, atau kekangan masa. Cuma adakala tak meluahkan segala apa dirasa adalah lebih baik. Kerana kata-kata selalu tajam dan melukakan, sedang niat di sebaliknya berniat sebaliknya.

Jujurnya, ada masa terasa ingin juga melukakan seperti mana sekeping rasa ni terluka tanpa sengaja, tapi begitulah. Dalam cuba mendiamkan ada ketika lidah lebih lancang menyulam bicara, hingga diri terkedu sendiri ketiadaan kudrat menahan.

Ada waktu ingin juga mencari di mana letaknya kesamarataan, atau keadilan. Cuma begitulah, adil dan kesamarataan tak pernah seiring. Apatah lagi dalam undang-undang ciptaan manusia yang angkuh membelakangkan keadilan.

Adil hakikatnya bukanlah sama, sedang di dunia ia terlihat serupa.

Adil adalah sesuai pada tempatnya, justeru manusia seringkali menjadi zalim dalam menilai banyak perkara.

Demi kelangsungan hidup, manusia yang lain merelakan kezaliman dalam keterpaksaan.

Dan aku, terperangkap antaranya. Lalu ikhlas yang cuba aku semai adakala mati teracun dek rasa yang tak pernah redha.

Lalu bagaimana?

Dunia ini aneh.

Tapi aku tak mahu hanyut dalam keanehan ini. Tak mahu.

P/S: Mungkin di sini titiknya untuk aku.

Rabu, 6 April 2016

Pregnant

Oh tidak.

Bukan aku yang mengandung.

Tapi sesorang yang aku kenal, mengandungkan zuriatnya sekarang ni.

Bila bercakap soal kehamilan dan mengidam, jujurnya ia satu topik yang agak sensitif. Sebab setiap kehamilan berbeza, walaupun ibu yang sama tapi pengalaman mengandungkan setiap bayi adalah tak sama, berbeza, dan tak serupa.

Ada yang alhamdulillah sihat wal afiat - tiada alahan, atau mungkin alahan yang minima, sentiasa cergas dan ceria. Tapi tak dinafikan ada yang lemah sepanjang masa.

Dan, memang ada yang kadang kala menuduh si ibu terlalu manjakan diri, layankan sangat perasaan.

Pun tak dinafikan, ada yang mungkin manja sikit lah, terutama kehamilan pertama - dengan takde pengalaman, dalam proses menghadam pahit manis bermentua, beripar-biras serta bersuami, jauh pulak dari mak ayah.

Banyak kemungkinannya, dan aku tetap percaya, menuduh itu ini kepada si ibu tak mendatangkan apa-apa kebaikan pun. Mendatangkan tekanan adalah.

Justeru, kepada si ibu, percayalah, anda kuat. Kuatlah untuk si bayi yang memerlukan anda. Dan kuatlah untuk kebaikan anda.

Kepada yang lain, say nothing is better sometimes.

Begitulah, aku harap aku dapat diamkan apa saja bergelodak.


P/s: Be strong, mum to be.

Jumaat, 1 April 2016

Summer Cleaning

Summer cleaning!

Sebenarnya takla semusim sangat mengemasnya, sebab abang kesayangan memang selalu mengemas (selalu dalam erti kata, twice ler week? Or maybe more...). Cukup kerap hingga aku selalu memerlukan beliau untuk mencari barang-barang. Dan nanti beliau an tolong sambil berkata, hah ibu ni itu la asyik ayah je yang mengemas. Huh.

Justeru di hari minggu yang ceria dalam suhu cecah 39° ke 40° dalam rumah ni maka kami pon mengemas lah.

Si kecik tidur selepas kepenatan bergelintar sekitar bilik tengah yang penuh macam-macam untuk diterokai.

Cumanya, sekarang aku lapar. Dan tak rasa nak masak atau makan nasik. Jadi macamana?

Masalah rumit jugak ni.


P/S: Proses melipat dan susunatur blom selesai ni. Ahaks.

Khamis, 10 Mac 2016

Kembali kepada Sebermulanya

Setelah lebih kurang sebulan setengah menyandang tugas pemangku, aku akhirnya Insya-Allah akan kembali meneruskan tugasan asal sebelum ini.

Pada sesetengah orang, ia mungkin kelihatan kesian, seperti mana respon sorang member sejawat nih, tapi wahai member, percaya lah, ia tidak kesian mana, tugas tersebut masih terlalu berat untuk membermu yang ada masalah jati diri ni.

Jujurnya, aku belum bersedia untuk tugas sebesar itu. Ia memerlukan pengorbanan yang bukan sedikit, dan rasa ikhlas masih gagal aku pupuk, justeru berlaku pelbagai peristiwa tidak diingini dalam masa sesingkat itu.

Cukup lah sebulan setengah. Sekadar aku cicip sedikit bagaimana rasa pahitnya espresso. Rasanya latte atau mocha lebih sesuai untuk aku.

Makanya, wahai tong merah, we meet again! Lets work together to the end.


P/S: Hello skirt, bye pants. Muahahahaha~

Sabtu, 5 Mac 2016

Si Kecik

Si kecik dah genap setahun.

Dah berani berdiri-berdiri, cuma masih belum pandai benar-benar melangkah. Masih jengketkan kaki di atas jemari kecik beliau. Heh, taklah kecik sangat kakinya, jenis yang besar juga, ikut kaki mamanya kot. Nak kata kaki ibunya ni, taklah besar sangat mana pun. Haha~

Si kecik neh, punya ibu susuan, merangkap ibu saudaranya sendiri. Penangan ibunya sakit-sakit di awal kelahiran beliau. Susu tak keluar satu cerita, kaki sakit tiba-tiba, satu cerita. Fikiran melayang meracau, satu cerita.

Syukur lah ayahnya sangat gagah menerima apa adanya si isteri, walau moody jangan cerita, silap goreng udang dan kangkung pun jadi topik menangis sejam lencun baju kurung. Dan tokmanya serta cik-ciknya semua rela membantu walau masing-masing taklah berkudrat mana.

Lalu, ringkas ceritanya, si kecik punya sorang ibu, dan sorang mama. Dan oh ya, sorang abang yang berbeza hanya dua bulan.

Tiada sambutan, tiada makan-makan, tiada jalan-jalan, atau sebarang acara khusus untuk si kecik. Sekadar gambar pada tarikh yang sama sepertimana tahun lepas sebaik si kecik menjengah dunia.

Nak kata konon merendah diri takde majlis untuk si kecik, memang tidak lah. Cuma, secara logiknya si kecik hanya setahun jagung, masih menyusu, belum reti apa itu kek, dan kalau dibuatkan atau dibelikan kek pun, bukan si kecik yang dapat makan. Maka, ibunya ni memutuskan, satu latte blended untik ibu, satu iced chocolate untuk ayah, dan satu blended stoberi untuk paksu, di mana kesemuanya dari Cool Blog, cukup lah tu. 

Birthday girl?

Makanan terbaik di atas muka bumi untuk bayi.

Walaupun si kecik seakan paham dan menjeling semacam, ibunya ni anggap si kecik masih terlalu kecik untuk paham. 

Taklah kejam pun kan? haha~

Kesimpulannya, ibunya harap si kecik akan sentiasa sihat, sentiasa dalam rahmat Allah, dan jadi sorang anak yang solehah, adik yang solehah, dan umat islam yang mukminah. Amin.




P/S: Ia sebuah tarikh, sekadar menyingkap sebuah kenangan sebermulanya sebuah kehidupan, sedangkan hakikat tak ternafikan.


Sabtu, 13 Februari 2016

Pembantu ~

Pemangku.
Pembantu.

Alkesahnya memang penat, Tapi taklah sepenat bila ada yang mempersoalkan tindakan atau apa yang sedang kita lakukan.

Mungkin aku salah jugak.
Rasanya ya jugak lah.

Perlu lah aku terus pada titik soalan tanpa bagi salam bertanya kabar berbasa basi terlebih dahulu,
Mungkin lebih baik atau lebih manis andai aku bertatasusila sikit, bertanya sepatah-sepatah ibarat si dara yang mahu tapi malu,

Mungkin salahkan identiti ibukotaraya yang agak tersebati dalam diri.

Mungkin salah jiwa yang masih selesa gunakan bahasa asing untuk tujuan rasmi,

Ia mungkin rasmi pada aku, tapi sesuatu yang melebih-lebih pada yang disoal.

Justeru, aku tak rasa ia wajar dipanjangkan.

Andai ditanya, ya, terasa jugak hati yang sekuman ni. Tapi tak perlu lah aku panjangkan, walau sikit sebanyak terasa juga untuk patah ke belakang dan berpikir semula.

Andai ditanya, ya, ia memberi kesan, Tepu juga rasa jiwa. Tapi apalah nak dipanjangkan. Ia biasa, sebenarnya hanya sekuman perkara. Tapi itu lah, rasa ni kadang-kadang susah nak mengabaikan, nak juga pikir dan membayangkan yang tidak-tidak.

Tapi, tu lah, kata sorang colleague, saat aku persetujui untuk digaji di sini, ada tulisan kecil sekecil alam di hujung kontrak ; tahan maki, dan tahan temui bermacam ragam ulah dan perangai. Lalu, emosi tidak diperlukan.

Nyeri juga pesanan tu, tapi tak ternafikan. Maka aku, cuba lah hadamkan saja apa ia. Pahit juga nak ditelan, tapi nak diluah tidak sesekali.

Begitu lah aku. Lalu minggu ini Butterscoth akan menemani, pagi, tengahari, dan petang. Kelaparan mendorong kepada kebejatan minda, justeru perut yang kenyang adalah lebih baik dari perut yang kosong dan lapar.

Bak kata senior yang aku kagumi tu, wanita dan makanan tak terpisahkan.



P/S: Sweet escape.

Selasa, 2 Februari 2016

New Duty

Day 1 was today (practically yesterday since it past midnight already).

As a first day it went pretty smooth.

Tomorrow, or should I say today, will be Day 2.

All the best for me.

Just a friendly self reminder. People deserves chances.

I would like to elaborate more, but maybe later.

P/S : They wont be calling P1SKO as much as before I guess.

Ahad, 24 Januari 2016

Wanita Bekerjaya VS Memasak

Terlebih dahulu, aku bukan tergolong pandai memasak sejak azali. Dan bukan juga jenis yang sekali cuba memasak terus hebat setaraf chef kedai makan ala masakan thai. Ironinya aku suka rancangan masakan dan kadang-kadang suka juga cuba-cuba memasak mana lah tahu tiba-tuba jadi sedap setara Chef Wan.

Aku sorang bekerjaya. Balik cuma nak mandi, makan, rehat, dan menghadap laptop, tv, atau buku.

Nama nak bersilat di dapur dan hanya selesaikan urusan memandikan (?) diri serta lain-lain usai memasak yang paling-paling perlukan sejam, memang kelihatannya bukan pilihan yang bijak pada aku.

Justeru, satu masa dulu aku tertanya juga. Pasangan yang sama-sama kerja, bila balik si isteri masih punya tenaga ke dapur siapkan paling tidak dua atau tiga jenis masakan (walau secikai mana sekali pun jenis masakan tu), homo sapiens jenis apakah mereka yang mampu menjana tenaga extra sebegitu?

Kerja seharian itu sendiri sudah menghakis hampir keseluruhan semangat tapi mereka masih gagah dan jitu mencampak pelbagai haiwan serta daunan ke kuali dan periuk lalu menghasilkan makanan setara kedai makan kalaupun bukan lebih sedap.

Lebih lagi bila masakan tu memerlukan tugasan seperti menggunakan blender yang pada aku... Oh renyahnya!

Tapi, mengalaminya sendiri rupanya aneh dan takjub.

Lebihan tenaga memang akan terjana sendiri sebaik sampai di rumah untuk tugasan menyediakan makan malam.

Tidaklah aku rajin sangat nak memasak (atau pandai lah sangat nak masak) tapi angan-angan untuk makan bersama encik beliau itu rupanya jadi booster kepada tenaga extra.

Dari sorang anak dara yang memang hampir nil tentang ilmu persilatan di dapur sekarang aku mungkin dalam proses nak tukar tali pinggang putih kepada kuning. Mungkin bila aku pandai buat kueh nanti aku akan berjaya tukar kepada tali pinggang merah.

Dah oh ya, sekarang dah jadi puan isteri serta puan ibu, bukan anak dara yang tak gemor memasak lagi muahahahaha.

Bila satu hari balik keje encik beliau boleh mintak masak ayam paprik, begitu rupanya rasa bahagia jadi orang reti memasak hahahaha.

Kesimpulannya, bekerjaya tak perlu vs memasak. Kerana persilatan di dapur adakala adalah terapi kepada kerjaya yang adakala menghentak pundak. Dua-dua ibu jari aku jempulkan kepada mereka yang hebat tahap tali pinggang hitam dalam kedua-dua bidang.

Anda homo sapiens yang hebat...!


P/S : Misi terbaru, balik kampung lagi nanti nak beli periuk pengukus, patik nak belajar buat tepung pelita hahahaha.

Khamis, 21 Januari 2016

Sandwich Telur

Pagi ni makan sandwich telur.

Kali pertama aku makan sandwich telur ialah masa berada di Plaza Damansara. Pagi-pagi buta sebelum masuk keje singgah sebentar di 7E.

Pilihan yang ada ialah deretan sandwich, dan sumenya adalah sandwich telur.

Agak kecewa sebab aku rasa sandwich telur, apalah sangat. Lebih baik sandwich tuna, ayam dan seangkatan dengannya. Apa lah telur.

Tapi bila makan, aku terpaksa berhenti menggigit, merenung semula sandwich di tangan, sebelum sambung makan sambil menukar fikiran.

Sedap boh!

Dan hari-hari berikutnya menyaksikan aku dan sandwich telur. Sandwich lain taknak pandang dah.

Sandwich telur hari-hari pon boleh.

Begitulah kisah aku jatuh suka dengan sandwich telur 7E. Sekarang, aku dah pandai buat sandwich telur sendiri hahahaha.

Eh sandwich telur adalah satu pencapaian bagi orang tak reti memasak macam aku ya, sila jangan gelak.



P/S: Breakfast!

Ahad, 3 Januari 2016

#meismemasak

Aku, memang tak pandai memasak.

Bukan tak pandai yang sikit-sikit, tapi memang tak pandai yang betul-betul. Mungkin kerana aku memang tak minat memasak.

Di kampung, memang harapan tinggi saja lah aku nak masak. Alasannya, sesekali aku balik kampung nak merasa lah masakan ibuku tersayang walhal alasan je semata kan. Dan waktu di rumah sewa pulak, makan nafsi-nafsi, dan member serumah pulak memang kaki makan kat kedai jadi makin suram lah aktiviti masak memasak apalagi masing-masing pulak kerja balik dah maghrib. Namanya nak menyinsing lengan baju bersilat di dapur tu memang agak malas lah.

Cuma tu lah, ironinya aku suka menonton rancangan masak-memasak.

Kata orang dah kahwin karang pandai la kau masak. Hah, mungkin untuk orang lain sebab aku tetap tak pandai masak meski dah kawen.

Setiap kali mau masak aku memang akan bertanyakan pakcik Google macamanakan memasak masakan tersebut. Dan kerana encik suami tak sukakan aktiviti tersebut bak katanya biarlah ada originaliti dalam memasak, maka aku akan baca sekali lalu resepi tersebut, dan sesekali bukak telefon semula untuk pastikan aku mengikut langkah yang betul.

Sewaktu bergelar warga kota ibu kota dulu, ada banyak pilihan andai kata malas masak, apatah lagi tempat tinggal dulu siap ada satu kedai makan yang meyediakan servis penghantaran makanan ke muka pintu tanpa sebarang caj tambahan. Maka makin banyak lah alasan untuk tidak memasak. Nak memasak sekali seminggu pun susah.

Tapi sejak berada di Hulu Kelantan ni, pilihannya hanya lah sama ada memasak, atau makan di kedai. Selalunya pilihan kedua adalah sukar memandangkan encik suami tak gemar mana nak menyantap di kedai,

Justeru, bermula lah episod mari memasak setiap malam.

Kata orang dalam bahasa omputih, practice makes perfect. Lalu sekarang ni, dari skala satu hingga sepuluh di mana sepuluh paling tinggi, aku rasa aku layak lah untuk berada di tangga ke lapan atau tujuh.




P/S: #meismemasak di IG adalah sekadar menyimpan resepi supaya lain kali ada sumber merujuk andai tiba-tiba minda terbejat gagal mengingat.