Khamis, 26 Disember 2019

Supper

Supper.

Dah agak lama aku tinggalkan tabiat kurang sihat ni.

Dulu-dulu memang aku cukup gemar makan di tengah-tengah malam. Selalunya pilihan aku adalah paratha yang berintikan telur hancur, mayonis, sos cili, serta salad, digulung ibarat sejenis makanan Timur Tengah. Atau jarang-jarang aku goreng sekeping dua daging burger. Fries sesekali. Dan bertemankan semug nescafe, kopi, atau milo. Sama ada sejuk berais atau panas.

Itu di zaman bujang dan bekerja.

Sebelumnya lagi, iaitu di zaman sekolah menengah, aku betah melantak nasi siap berlauk dan sepiring budu. Saban malam juga lah.

Kadang-kadang dalam berhati-hati membuka tudung periuk, terdengar juga bunyi tudung periuk berlaga dengan periuk, atau keletak dapur gas dibuka untuk aku panaskan lauk, atau pinggan berlaga sesama mereka tatkala aku menarik hanya satu. Lalu akan terdengarlah suara ma bertanya, kucingkah itu?

Otomatik aku kaku dalam posisi sedang memegang pinggan dan sudip nasi. Hanya bebola mata yang bergerak kiri kanan, layaknya seorang pencuri yang tertangkap melakukan jenayah.

Apabila tiada bunyi ngiauan kucing menyahut akan terdengar pula ma memaksa diri bangun, dan dalam keterpaksaan aku bersuara juga.

Itu adalah pada awal-awal berada di sekolah menengah. Akibat aktiviti ini berat aku bertambah mendadak kira-kira 20kg dalam masa dua tahun.

Usai SPM dek kelapangan masa, aku putuskan untuk belajar memasak nasi goreng. Lalu setiap menjelang tengah malam aku akan mencuba pelbagai resepi nasi goreng mengikut sebuah buku resepi bertajuk Masakan Gerai. Dari situ aku putuskan semangkuk nasi goreng kampung yang enak mesti menggunakan sedikit sos ikan.

Sejak berkahwin agak lama juga aku tidak lagi makan di tengah-tengah malam. Sehinggalah sesekali keinginan itu datang.

Dan walaupun makan tengah malam selalu dipasangkan dengan megi, tapi aku tidaklah punya ikatan yang begitu kuat dengan megi, aku lebih gemarkan nasi. Lebih sanggup tanak nasi dan jadikan ia nasi goreng.

Setahun dua ni aku dapati perasaan mahu makan di tengah malam akan muncul apabila adanya tekanan. Jujurnya, berperang dengan perasaan adalah memenatkan.

Ia menghakis ketahanan emosi dan menyedut tenaga fizikal juga.

Sesekali aku memilih untuk berkongsi rasa dengan mereka yang akrab. Tapi adakala berdiam juga satu pilihan.

Buat-buat gembira mengetik aksara di laptop, atau buat-buat selesa menggunakan hanya ibu jari menaip di skrin enam inci telefon pintar, bertemankan segelas nescafe panas.

Acapkali neacafenya hanya aku cicip apabila sudah suam-suam suku. Ada waktu malangnya ia hanya aku teguk apabila sudah sejuk benar. Tetapi tetap aku habiskan. Walau kadang-kadang sedikit tawar, atau seringkali terlebih pahit.

.

Begitulah.

Rabu, 25 Disember 2019

Smallest Thing

Sepertimana sekecil perkara boleh mengundang senyum, seperti itu juga sekecil perkara boleh memadamkan senyum itu.

Cuma, beberapa menjak ini aku banyak menghitung dan membuat kira-kira. Apa wajar secubit rasa sakit itu diumpamakan sebagai setitik nila?

Terjatuh menitik ke dalam segelas latte panas lalu warna keruh kopi bercampur susu segar, tiba-tiba bertukar warnanya. Malah mengganggu bau harum asalnya.

Dan pastinya menggugat selera pemilik secangkir latte itu.

Mengapa nila seringkali dipersalahkan selaku sesuatu yang membawa erti negatif semata? Sedang ia juga boleh jadi seperti si nila yang memberi sedikit warna cantik yang sedikit tapi berseri pada sehelai kurung sekolah putih yang kusam.

Justeru meski bibir masih berat menguntum senyum waktu sebegini, aku kira kali ini adalah seri satu sama. Ada setitik nila yang merosakkan secawan latte, tapi masih ada sedikit nila yang memberi sinar pada sehelai kurung putih yang lusuh kainnya.

Lalu, saksikanlah bahawa rasa sesak yang menghimpit itu, aku lepaskan.

Hidup hanya sekali dan memenuhinya dengan benci dan sakit hati hanya ibarat mengumpul sampah lembap dalam tong seminggu lamanya - busuk dan berulat.

Ikatkan plastik itu, masukkan dalam plastik lain yang kering lalu campakkan ke tempat sepatutnya.

Jangan lupa ganti plastik sampah yang baru.

Ahad, 24 November 2019

Bahasa Melayu Bahasa Sukar? Bah 2

Sambungan...


Suatu ketika dulu di kampus, ada seorang pelajar dari luar negara (Timur Tengah kalau tak silap) cukup terkenal dengan kemampuannya menguasai loghat Kelantan.

Ya, beliau bertutur dalam dialek Kelantan pekat dan bukanlah Bahasa Melayu baku. Ini kerana pergaulannya dengan pelajar dari Kelantan lalu setelah beberapa ketika beliau cukup mahir dalam loghat tersebut (adakala lebih pekat dari mereka yang berasal dari Kelantan sendiri).

Pernah sekali aku terserempak beliau sewaktu sedang membeli nasi kukus dan aku memaksa diri memakukan pandangan pada ayam-ayam goreng berempah yang panas berasap dalam bakul supaya tak ketara rasa terkejut itu. Tapi telinga aku tadah juga luas-luas.

Suatu ketika dulu aku juga boleh menggunakan Bahasa Arab sebagai bahasa pertuturan (meski ia sudah jadi sejarah yang paling manis) malah kebiasaannya aku dan kawan-kawan akan menggunakan bahasa tersebut apabila kami ingin bercerita tentang sesuatu yang kononnya sulit - contohnya mengumpat. (Maafkanlah penyalahgunaan itu, kami hanya remaja yang perasan dewasa waktu itu.)

Lalu aku kira, bahasa seperti sebilah pisau. Setajam mana ia andai hanya tersimpan rapi ia akan berkarat juga. Ia perlu sentiasa digunakan untuk terus berfungsi sebagai sebilah alat pemotong atau ia hanya akan kekal sebagai sekeping besi nipis yang tiada guna.

Jadi soalan adakah benar Bahasa Melayu itu bahasa yang sukar?

Tidaklah.

Tiada yang mustahil sehingga ia benar-benar dibuktikan mustahil. Dan ia hanya akan boleh dibuktikan setelah adanya percubaan. Bukankah suatu masa mengayuh basikal itu sukar hingga kita jatuh berkali-kali, luka di lutut dan lenguh di mana-mana, hingga gigi kita ketap dan semangat kita kutip lalu mengayuh basikal umpama menghela nafas - mudah dan senang.

Oh, mengayuh basikal tidak sesukar mana untuk aku. Tapi menunggang motosikal, ya. Terlanggar pokok rambutan, terseret deretan teh hiasan ayah hingga cacat barisannya, dan terpanjat anak tangga dapur.

Ironinya aku masih seorang penunggang motosikal hingga detik entry ini ditulis. Betah bertayar dua meski ada huruf D di sekeping lesen.

Begitulah.







Isnin, 18 November 2019

Bahasa Melayu Bahasa Sukar?

Allughatul 'Arabiyyah Lughatun Sahlatun.
Bahasa Arab Bahasa Mudah.

Kata guru Bahasa Arab aku hampir 20 tahun dulu, Bahasa Arab sesungguhnya adalah bahasa yang senang difahami dan mudah dikuasai. Ia bahasa yang indah sepertimana gelarannya bahasa syurga.

Sikit pun aku tak nafikan kenyataan ini. Cuma selaku anak jati Melayu pastinya tak aku akui bahasa ibunda aku sendiri bahasa yang sukar. Justeru kata-kata guru yang seorang ini selalu aku dan kawa-kawan lain sanggah sambil ketawa-ketawa dengan ayat:

Allughatul 'arabiyyah lughatun so'bah, allughatul malizi sahlah!' (Bahasa Arab susah, Bahasa Melayu mudah!)

Dan kami (para pelajar dan guru tadi) akan berbalas ayat yang berbeza tetapi masih membawa maksud yang sama. Kebiasaannya para pelajar tetap akan menang kerana guru itu akan akhirnya menjungkit bahu sambil menggeleng kepala dengan ulah kami. Dan kami akan berpandangan sesama sendiri sambil terus tertawa.

Bagaimanapun, hampir sepuluh tahun kemudian aku ditemukan dengan seorang pelajar luar negara yang menuntut di kampus yang sama. Sambil sama-sama menunggu untuk menemui supervisor, perbualan kami menjurus ke arah bahasa.

Kata pelajar itu, sepanjang tiga tahun di Malaysia dia fasih berbahasa kantonis dengan beberapa accent namun lain ceritanya apabila melibatkan Bahasa Melayu. Beliau bukan sahaja tidak mampu berbahasa melayu malah lebih malang gagal untuk memahami bahasa kebangsaan ini.

Sejurus aku terfikir, benarkah Bahasa Melayu terlalu payah dipelajari?



.



Bersambung.

Ahad, 3 November 2019

Comeback

Dah hampir penghujung 2019.

Menyamakan jalan hidup dengan segaris graf, aku kira titik graf hidup aku mulai ke bawah sejak 2016. Ada banyak turun naik yang tidak begitu berbeza sepanjang 2017. Kemudian ia perlahan-lahan jatuh semula dengan agak jelas pada 2018. Penghujung 2018 menyaksikan ada beberapa percubaan yang menaik, dan agak menaik sepanjang suku awal 2019. Menjelang pertengahan 2019 ia turun semula dengan agak mendadak. Bagaimanapun di hujung-hujung 2019 titik itu ada kenaikan sedikit.

Dalam tempoh empat tahun akhir-akhir ini, aku banyak kehilangan diri. Semangat jitu yang suatu waktu sentiasa menjadi pencetus, sirna oleh pelbagai perkara yang terjadi.

Sepanjang jangka masa tersebut aku kekal ditemani keluarga dan sebahagian sahabat yang selayaknya memikul gelaran itu. Bagaimanapun, ada satu pelajaran penting yang aku kutip.

Walau seluruh dunia berdiri di sisi, yang paling utama adalah kemahuan sendiri. Antara intipati yang mustahak adalah menerima kenyataan.

Menerima bahawa mengalah tak bermaksud kalah. Menerima bahawa keadilan di dunia adalah tidak mungkin, tetapi menjadi yang teraniaya bukanlah pengakhiran segala-galanya. Menerima bahawa takdir dan susun atur hidup setiap manusia adalah berbeza. Masakan indah sebuah taman tatkala semua bunganya berwarna ungu, bukan?

Yang jelas, Tuhan tak pernah jauh. Sentiasa ada. Selalu ada. Dan akan kekal ada. Sampai bila-bila.

Jadi kali ini aku mahu terima hakikat bahawa aku yang dulu, adalah masa lalu. Detik yang manis untuk sentiasa aku kenang, waktu-waktu indah yang boleh selalu aku ingat.

Tapi tidaklah bermaksud aku yang sekarang adalah sepenuhnya baru, sebaliknya anggaplah aku yang sekarang bak tembaga yang hilang sinarnya, dan dicat baru untuk wajah yang lebih baru walau masih banyak yang sama.




----



Percubaan menulis seperti dulu agak sukar, tapi ini bukanlah percubaan terakhir. Segalanya hanya akan tamat apabila nyawa sudah terpisah dari badan.

Sehingga itu berlaku, ketemu lagi.

Isnin, 26 Ogos 2019

Rabun

Aku mula alami masalah rabun pada usia seawal sembilan tahun. Dengan sejarah keluarga yang tidak bercermin mata, aku mengambil masa agak lama untuk sedari masalah tersebut.

Sehingga sekarang aku sudah bercermin mata lebih 20 tahun. Sejak-sejak rabun semakin teruk aku hanya tanggalkan cermin mata ketika mandi, ambil wuduk, solat, dan tidur.

Selain itu kami sentiasa bersama walau adakala rasa rimas menyelinap.

Setahun dua akhir-akhir ni masalah rabun sudah mula memberi kesan terhadap minat aku pada warna.

Kalau dulu aku lebih gemarkan warna hitam, coklat, atau warna-warna dalam nada gelap untuk kebanyakan aksesori atau alatan elektronik, sekarang aku terpaksa akur untuk bertolenransi dengan warna-warna lebih cerah dan menyerlah - seperti kuning, hijau, merah, atau putih.

Pengecas telefon dan earphone contohnya, jika ia berwarna hitam, maka aku akan teraba-raba mencari mereka terutama di waktu malam dan malas mencapai cermin mata. Jika ia berwarna putih, sekurang-kurangnya aku hanya perlu membuka mata seluas-luasnya dan memberi sedikit tumpuan untuk mendapatkan lokasi yang betul.

Jujurnya, meraba-raba dalam kegelapan adalah satu perasaan yang sangat hopeless. Terasa sangat tak berkemampuan dan sedikit rasa kecewa. Dan aku tak sukakan perasaan sebegitu.

Untuk cermin mata pula, aku lebih suka ia besar dan berbingkai penuh. Ketebalan atau kenipisan cermin tidak begitu penting, asalkan ia berkualiti, tahan lasak, serta tidak mudah calar.

Ini pun menjadi isu juga kadangkala, kerana pekerja di kedai cermin mata lebih gemar usulkan gaya terkini yang sama ada berbingkai separuh, atau, berbingkai penuh, tetapi lebih kecil. Lebih cantik dan lebih trendy katanya.

Aku tolak beberapa kali pun masih dihulurkan juga. Ni siapa yang nak pakai cermin mata sebenarnya, aku ke dia.

Bagaimana rupa aku setelah ia dikenakan ke muka, berada di tangga lebih bawah dari nombor tiga.

Yang paling utama ada selesa.
Yang kedua cantik di pandangan aku.
Yang ketiga mudah pakai dan mudah tanggal apabila sedang bertudung dan kekal di muka tatkala di rumah juga.

Apa pandangan orang apabila ia aku kenakan?

Itu, lain cerita.

Sekurang-kurangnya aku taklah meminati warna-warna aneh untuk sepasang cermin mata.

Begitulah aku yang rabun jauh.

Isnin, 19 Ogos 2019

Siapa Tu? Bahagian Akhir

Menjelang Maghrib hari itu, bekalan air pulih seperti biasa. Setelah segarkan badan dengan mandi sepuas hati di bawah pancuran air (yang hanya berfungsi apabila bekalan air ada sepeti biasa), kau bersiap-siap untuk solat.

Tidak seperti kebiasaan yang mana kau hanya solat di dalam bilik tamu, kali ini kau bentangkan sejadah di ruang tamu. Ada sesuatu yang perlu kau selesaikan. Ada tamu yang perlu kau hantar pulang.

Usai tunaikan kewajiban, kau betulkan duduk dan mengangkat tangan untuk berdoa.

Kemudian, kau menapak ke arah pintu rumah. Daun pintu kau renggangkan sedikit, muat-muat laluan seekor kucing.

"Terima kasih lah kalau itu adalah pertolongan, cukuplah tu, bolehlah tinggalkan rumah ni. Pergilah ke mana-mana yang lebih baik."

Seketika, kau terasa ada hembusan hangat menyentuh bahagian lengan yang terdedah. Hanya sekejap itu. Dan segala-galanya hening seperti biasa.

Alhamdulillah, kau ucap perlahan.

Sambil bertenang-tenang menunggu Isyak, kau teringatkan perjalanan kau beberapa hari lepas. Melalui kawasan hutan yang sering dimomokkan tentang kewujudan masjid bunian.

Kononnya sesiapa yang singgah solat di situ, meski solatnya hanya keseorangan, acapkali terjadi adanya sahutan suara makmum yang ramai di belakang.

Dan setiapkali melalui kawasan itu kau selalu tertinjau-tinjau cuba menjejak lokasi masjid itu, malangnya tak pernah kau ketemu.

Agaknya keterlaluan memikirkan sehingga ada yang menumpang hingga ke rumah, begitu lah fikiran kau.

.

Tamat.


.


"Aisyah nak solat zohor ni" ujar anak kau yang berusia tiga tahun setengah kepada ibunya.

Satu rakaat kemudian.

"Eh abang ni, janganlah kacau Aisyah nak solat!" Dengus anak kau.

Isteri kau berlari keluar.

"Aisyah cakap dengan siapa?"

"Abang tu! Kacau je Aisyah nak solat!" Bebel anak kau.

"Abang mana?" Isteri kau melilau.

"Tu, dia dah balik." Anak kau halakan jari telunjuk ke arah tingkap, bersebelahan pintu yang sentiasa bermangga dari luar.




.




Habis.

Siapa Tu? Bahagian 1

Raya Haji tahun tu kau hanya keseorangan. Anak dan isteri kau izinkan balik kampung memandangkan polisi di tempat kerja kau yang hanya meluluskan permohonan cuti untuk satu perayaan sahaja.

Nak meredah kesesakan jalanraya agak mustahil kerana cuti hari minggu kau pun hanya sehari, hari raya pula jatuh di tengah-tengah minggu pada tahun tersebut. Jadi, kau rela dalam terpaksa.

Pagi-pagi hari raya kedua kau ditugaskan agak jauh ke Selatan sana, justeru kau sengaja memulakan perjalanan seawal enam pagi, usai tunaikan solat Subuh. 

Namun tatkala memulas pili air, tiada apa yang keluar. Maklumlah kau bahawa sekali lagi kawasan tempat tinggal kau mengalami masalah air. Kau abaikan saja dan memulas pili yang bersambung kepada tangki air.

Menjelang asar kau tiba di rumah dengan badan yang berlengas dan perut yang berkeroncong. Periuk nasi segera kau capai, setelah isikan beras, periuk kau bawa ke sinki dan paipnya kau buka.

Setitis air keluar, dan tiada lagi.

Fahamlah kau gangguan bekalan air masih belum pulih. Lalu kau menapak ke bilik air. Pili yang bersambung ke tangki air hanya di bilik mandi dan bilik air, manakala di sinki merupakan sambungan langsung ke bekalan air biasa.

Elok kau kuak pintu bilik air yang lantainya kering, tercongok dua baldi yang penuh berisi air.

Setengah saat kau teringat, seawal kau keluar pagi tadi memang bekalan air sudah tiada. Andai kata bekalan pulih seketika sekalipun, anak dan isteri kau masih di kampung.

Atau tidak?

Periuk nasi kau letakkan kembali, dan mula menyelongkar ketiga-tiga bilik. Isteri kau adakala tiga suku juga, manalah tahu dia memang sudah balik lebih awal dan sengaja menyorok apabila mendengar kau membuka pintu tadi.

Tapi tiada.

Bilik tidur masih seperti kau tinggalkan tadi.

Bilik jahitan isteri kau pun masih begitu.

Kau tak puas hati.

Mungkin juga isteri kau memang sudah balik lebih awal tapi dapati tiada bekalan air lalu berjalan-jalan ke pasaraya.

Telefon bimbit kau capai dan mula mendial.

"Hello sayang, rindu ke?" Usikan isteri kau abaikan dan terus bertanya.

"Kat mana?" Serius nada kau.

"Baru balik ni, tadi pegi beraya," jawab suara di sebelah sana.

"Balik mana?" kau menyoal.

"Balik rumah ma lah. Kenapa?" suara isteri kau dah mula cuak sama.

"Tak balik sini?" kau menekan, mencari kepastian jitu.

"Belum, kenapa?"


Kau ringkaskan apa yang berlaku. Giliran isteri kau berkongsi debaran yang sama.


"Habis tu siapa yang tadahkan air?" Isteri kau bertanya.

"Adalah tu yang menolong," kata kau.


Tiba-tiba terasa ada hawa sejuk yang berhembus. Bulu roma kau merinding.





Bersambung...

Sabtu, 17 Ogos 2019

Siapa Nor? Bah Akhir

Sepasang tangan menjulur keluar dari celah-celah pintu lalu mencapai bungkusan berbentuk kotak dari tangan adik berbaju seragam merah putih.

"Nama penerima?"

Slip di bahagian atas bungkusan dijeling sekilas.

"Nur."

"No kad pengenalan?"

Segaris dua kerut terlakar di dahi.

"86......"

.

Adik berbaju seragam merah putih tersenyum. Meninggalkan pintu rumah yang tidak terbuka walau selepas empat set ketukan. Melangkah laju anak-anak tangga sambil masih membimbit bungkusan di tangan.

.

Tiba di aras paling bawah, dia pantas menuju ke deretan kotak-kotak logam bersegi empat. Matanya melilau mencari kombinasi nombor yang diperlukan.

.

Jumpa.

.

Dia membongkok. Mulut salah satu kotak bersegi empat dikuak. Separa penuh. Bungkusan tadi dikeluarkan, diletak cermat di dalamnya.

.

Adik berbaju seragam merah putih menghela nafas lega.

.

Tapi tidak lama, kerana ada yang mencari NOR.

.

Tamat.

Jumaat, 16 Ogos 2019

Siapa Nor? Bah 1


.

Pernah tak, kau sedang seronok bergelak tawa mengejar si kecik di pasaraya, sambil sesekali gelengkan kepala tatkala tangannya mengunjuk deretan coklat, donut goreng gebu berhias cantik (baca: Big Apple), dan air teh ais dalam gelas plastik jernih (baca: Tealive)?

.

Dalam masa yang sama, waktu yang sama, detik yang serupa, barangan yang kau pesan lewat dalam talian tiba di pintu rumah oleh adik berbaju seragam merah putih.

.

Barang yang kau tunggu-tunggu kira-kira sebulan lamanya.

.

Barang yang kau mimpi-mimpikan menggunakannya.

.

Tentu kau sangka adik berbaju seragam merah putih yang kepenatan mengetuk pintu akan mengalah dan tampalkan notis kegagalan penghantaran di pintu bukan? Lalu apabila kau kembali ke rumah, kau akan mencapai titipan itu dan membuat panggilan untuk meminta agar dilakukan penghantaran kedua.

.

Tapi tidak.

.

Adik berbaju seragam merah putih tidak menapak turun empat set anak tangga sambil mengilik bungkusan yang gagal diserahkan, kerana pintu rumah kau terkuak pada set ketukan ketiga, dan sepasang tangan mencapai bungkusan tersebut lalu turunkan nama dan tandangan - NOR.

.

Hujan lebat menggila. Dan kau bertahan di pasaraya menunggu hujan reda.

.

Tiba di rumah menjelang senja, kau buka laman sesawang dan mula menjejak barangan tersebut.

.

Pada baris paling atas tertulis;

"Delivered to nor, 03:54:54pm"

.

Otak kau jeda dua detik - penghuni rumah kau hanya tiga orang. Seorang keluar bekerja dan hanya kembali waktu Isyak berkumandang, dan dua lagi adalah kau dan si kecil, yang jelasnya sedang bercanda di pasaraya.

.

Lalu, siapa NOR yang menerima bungkusan itu?

.

Dan...

.

Di mana bungkusannya?

.

Bersambung............

Khamis, 2 Mei 2019

Panggil Saya Siti Nurhaliza

Panggilan ke mana-mana pusat panggilan telco kebiasaannya tanpa caj, atau sekali caj (contohnya 50sen untuk satu panggilan tak kisah berapa lama tempohnya.

Tetapi untuk Hotlink ada pemanggil akan dikenakan caj panggilan sebanyak 30sen seminit. Kecuali panggilan dari Sabah dan Sarawak yang tiada caj, yang merupakan salah satu teknik pemasaran untuk menarik pengguna dari sana.

Justeru tak hairanlah dari sana agak banyak panggilan prank, malah dalam sistem pun ada kategori panggilan prank.

Ada sorang pemanggil ni memang agak popular di kalangan para agen, dek kekerapan membuat panggilan hangit kepada kami.

"Boleh saya dapatkan nama cik?"

"Panggil saya Bulat."

"Baik Cik Bulat, apa boleh saya bantu?"

"Saya nak cakap dengan Vicky, saya taknak cakap dengan kakak."

Ini salah satu ulahnya - meminta bercakp dengan mana-mana agen yang spesifik, maklum bahawasanya kami akan membuat panggilan semula. Adakala dia meminta kami menunggu dan dia mahu ke dapur untuk makan.

Apa kami buat?

Tentulah tamatkan saja talian! 😆😆

Bagaimana kami yakin itu adalah panggilan prank?

Sebaik sahaja menerima panggilan, agen akan masukkan nombor telefon ke dalam sistem dan semu rekod panggilan terdahulu akan tertera.

Nah.... Sepanjang-panjang alam tertulis panggilan prank.

Selalunya aku hanya mendengar cerita kawan-kawan lain, sehinggalah suatu hari aku menyambut panggilan si gadis dari Sabah ini.

"Boleh saya dapatkan nama Cik?"

"Nama saya Siti Nurhaliza."

Jawapannya aku terima sebaik menekan enter. Terkedu juga melihat deretan prank call yang dibuatnya, paling kurang sekali dalam sehari.

"Ya Cik Siti, apa boleh saya bantu ya?" Masih juga kekalkan nada skema walaupun sudah hampir tergelak.

Sambil tu tangan sempat mencoret nota kepada teman di sebelah perihal prank call yang sedang aku layan - satu-satunya cara untuk bergosip sambil bekerja, kerana mulut sedang sibuk bercakap dengan pemanggil.

"Jangan panggil saya Siti! Panggil saya Siti Nurhaliza!" Bentaknya.

Eh marah pulak.

"Ya Cik Siti Nurhaliza, apa boleh saya bantu?"

"Kakak, saya sakit perut ni. Saya letak dulu, nanti saya panggil semula. Kakak sambut ya, jangan bagi orang lain sambut."

Panjang pulak pesannya. Haa yelah Cik Siti. Eh Cik Siti Nurhaliza.

"Ya boleh Cik Siti Nurhaliza."

"Ok bai kakak."

Rabu, 24 April 2019

Kak Ada Lagu Ni?

Suatu ketika, Caller Ringtone cukup menjadi kegilaan pengguna telefon bimbit. Meski ada yang percuma tetapi lagu-lagu terhangat masakini pastilah berbayar. Kebiasaannya caj langganan sebulan sekali antara RM1-RM3.

Selain mendapatkan sendiri lagu pilihan untuk ditetapkan sebagai Caller Ringtone dari dial pantas layan diri, masih ada pengguna yang gemar menghubungi pusat panggilan telco hanya untuk mendapatkan kod untuk sesuatu lagu.

Panggilan semacam ini selalunya aku anggap sebagai panggilan yang melegakan, kerana selalunya aku hanya perlu meletakkan pemanggil di dalam talian sementara mendapatkan kod untuk mereka, dan panggilan akan berakhir sejurus selepas itu.

Pun begitu, ada dua golongan pemanggil untuk tujuan ini.

Pertama, yang jelas dengan apa yang mereka mahu. Mereka akan nyatakan tajuk lagu dan nama artis, atau sekurang-kurangnya salah satu daripadanya. Justeru panggilan selalunya hanya memakan masa satu minit sehingga satu minit setengah.

Kesukaan aku pastinya.

Manakala golongan kedua, adalah mereka yang suka berteka-teki. Mereka memanggil, dan menyanyikan lagu yang mereka mahu tanpa maklum siapakah penyanyinya atau apakah tajuk lagunya.

Ini adalah golongan yang sering buat aku angkat bendera putih.

"Kak, kamu ada ka lagu ini?"

"Ya encik, boleh saya dapatkan tajuk lagu dan nama penyanyinya?"

"Ini.. tajuknya saya tak tahu kak. Penyanyinya juga saya lupa namanya, tetapi perempuan. Alah kak, lagu yang selalu diputarkan di radio itu, selalu jam 2 petang."

Aduh pukul 2 petang aku masih kerja, dah bilanya aku nak dengar lagu.

"Ramai tu encik penyanyi perempuan, boleh saya tahu nama dia tak?" Cubaan berdiplomasi.

"Alah kak, begini lagunya..." Dan mula menyanyi.

"Maaf ya encik, untuk dapatkan kod Caller Ringtone ni saya perlukan maklumat tepat ya," Nasib baik sempat mencelah apabila pemanggil menarik nafas untuk menyambung bait seterusnya.

"Kak tak pernah dengar ke lagunya?"

"Saya perlukan tajuk lagunya encik," Sambil sengaja tekankan suara pada perkataan tajuk.

Masalah aku ialah aku jarang mendengar lagu Melayu atau English, sebaliknya aku gembira melayan lagu-lagu dari Korea Selatan, jadi memang sukar untuk aku teka apabila pemanggil mula berkaraoke.

Selasa, 23 April 2019

Are You Married?

Selain dari para QA (aku pun tak pasti nama panjang mereka, Quality Analysis ke apa ke, yang pasti antara tugas mereka ialah monitor rakaman panggilan untuk tujuan penambahbaikan), Team Leader (TL) juga akan turut sama mendengar semula rakaman panggilan para ejen (Customer Service Representative yang menyambut panggilan dipanggil ejen).

Tujuannya adalah untuk memastikan ketepatan maklumat yang disampaikan kepada pemanggil/pelanggan.

Adakala TL akan membuat panggilan secara rawak untuk mengalami sendiri cara para ejen menyambut panggilan. Bukan semua TL gemarkan cara ini kerana pada sesetengah mereka ia memakan masa dan menambah beban kerja. Pun begitu, ada seorang TL yang cukup sukakan method yang satu ini.

Namanya Sunjay. Beliau seorang yang agak gila-gila, tetapi berfikiran terbuka dan tidak lekas menghukum andaikata ejennya ada melakukan kesilapan. Beliau disenangi kebanyakan TL, para superior lain, dan ejen-ejen juga.

Ironinya aku kerap mengelak berurusan dengan Sunjay. Bukanlah aku tak sukakan dia tapi ulah happy-go-lucky nya menyebabkan aku berasa rendah diri.

Suatu petang waktu aku sedang merenung jam di skrin komputer sambil menghitung detik untuk break selama 15 minit, ternampak kelibat Sunjay menapak masuk ke floor dengan sengih bahagianya.

"Hello guys! Good afternoon!~" Katanya, separuh melaung. Rata-rata yang lain membalas senyumnya dan sebahagian yang lain hanya membalas dengan lambaian sementelah melayan panggilan.

Sunjay selalunya akan memulakan shiftnya di sebelah petang atau malam, dan adakalanya berakhir di penghujung waktu operasi, 2 pagi.

Sambil mencapai headset dan menyangkutnya di kepala, Sunjay berdiri dan membuat pengumuman.

"I'm going to make a test call, be ready guys!"

Itu kali pertama aku mengalami sendiri perkara sebegini, sebelumnya aku hanya mendengar dari ejen lain tentang hobi TL yang seorang ni.

Jam di monitor aku kerling lagi, hanya tinggal seminit dua sebelum break aku bermula. Entah kenapa aku yakin benar aku takkan 'terpilih' untuk test call dari Sunjay.

Sempat juga ternampak dua orang TL (Doraemon dan Kak Nandini) sedang berkongsi earphone - bersedia mendengar secara langsung perbualan test call dari Sunjay.

Tettt.

Ada panggilan masuk.

Spontan aku tegakkan badan, ucapkan skrip greeting yang mengandungi pengenalan jenama, nama aku, dan tawaran bantuan. Tangan kanan di tetikus manakala tangan kiri bersedia menari di keyboard.

"Maxis Customer Service, Mazeedah speaking, how may I assist you?"

"Ah yes, please. I would like to know the rate to Zimbabwe."

Serta merta peluh dingin merenik tatkala aku mendengar suara tu. Sunjay!

"Sure sir, I will assist you on that. May I have you name please?" Meski hakikatnya aku mula menggigil, mujurlah suaraku tak terkesan dan kekal kedengaran skema.

"You can call me... Dev." Jawabnya, setelah terjeda sesaat - memikirkan namanya mungkin. Dahi aku berkerut juga mendengar nama pilihannya, kerana nama Dev selalunya digunakan oleh watak-watak lakonan Salman Khan yang kacak tu.

"Can I put on hold for a moment while I get the rate for you sir?"

"Sure."

Butang 'hold' aku tekan, dan headset segera aku lurutkan dari kepala. Sambil tangan menekan-nekan papan kekunci mendapatkan nota International Direct Dial (IDD) untuk memenuhi permintaan Sunjay, err, Encik Dev, peluh aku kesat berkali-kali.

Entah dari mana datangnya peluh yang bercucuran tak henti di dahi, bawah pelipis mata dan sekitar hidung, malah jantung berdegup lebih laju dari biasa.

Dari hujung mata aku ternampak TL Doraemon dan TL Nandini sedang gelakkan aku. Cait.

Butang 'hold' aku tekan semula.

"Thank you for waiting Mr Dev," ucapku, sepertimana skrip, sebelum menyambung perbualan dan memaklumkan kadar panggilan dari Malaysia ke Zimbabwe per minit, serta kadar yang dikenakan apabila menerima panggilan dari Malaysia semasa berada di sana.

Dev (atau Sunjay) terdiam seketika sebelum bersuara.

"Oh so expensive. You dont have cheaper rate?"

"For the time being this is the only rate that we have, sir," Jawab aku, masih berperang dengan peluh dingin yang terus menerus terbit.

"Maybe you can tell to your boss, get cheaper rate-lah. I always travel to Zimbabwe for my business."

"Sure sir, I will raise you concern to relevant department and any latest update will be announce on our official website," Kata aku, se-professional yang mampu.

Hakikatnya aku tak sabar-sabar nak ucapkan 'Thank you for calling Maxis". Lalu aku segera menambah.

"Is there anything else can I help you Mr Dev?"

"Yes, I have one question for you." Ah apalagi....

"Yes sir?"

"Are you married?"

Ok. Jawapan soalan ni tak ada dalam skrip. Ah sudah....

"I'm really sorry sir, but is there anything else related to Maxis or Hotlink that can I assist you?" Spontan ayat ini meluncur meski kenyataannya jantung dah macam nak terlompat keluar dari dada.

Kenapalah Si Sunjay ni nak dajalkan aku...

"Oh, ok-lah. I just want to ask you that question. I dont want to ask anything else."

Aku hela nafas lega.

"Before we end the conversation, may I ask you one last question sir?"

Aku taknak tanya dah sebenarnya tapi menurut skrip aku kena dapatkan skala perkhidmatan aku dari 1 hingga 5, 1 paling rendah dan 5 paling tinggi, berapa skala yang pemanggil boleh bagi.

Kerana aku sangat berpandukan skrip (dan tak suka kena bebel dengan QA atau TL sebab tak ikut skrip) maka aku ikut je meski agak cringe.

"No. You dont answer my question so I dont want to answer yours." Encik Dev aka Sunjay buat suara sentap.

"It's okay sir, thank you. Thank you for calling Maxis." Aku tamatkan panggilan, tukar status kepada break, tanggalkan headset di kepala, dan mengeluh lega sedrama yang boleh.

Sejurus Sunjay berdiri semula dan melaung - lebih kuat dari sapaan Selamat Tengahari nya tadi, "Who is Mazeedah?!"

Aku terlalu penat untuk bersuara, lalu aku hanya angkat tangan ke udara, selurus yang boleh.

"ARE YOU MARRIED??" Jerit Sunjay lagi.

Kali ini aku turut sama tinggikan suara, "NO!"

TL Doraemon dan TL Nandini tergelak besar.

Boleh Saya Dapat Nombor Awak?

Sejurus tamat kursus pendek selepas berakhirnya final exam pada 2010, aku mendapat tawaran bekerja. Jawatan Inbound Customer Service untuk Hotlink.

Hotlink adalah talian prabayar, atau lebih dikenali sebagai prepaid. Talian prabayar cukup mudah digunakan, dari remaja anak-anak sekolah menengah, para foreigner, sehinggalah mereka yang berkerjaya mahupun para surirumah.

Kira-kira 10 tahun dulu, penggunaan telefon pintar adalah cukup jarang, justeru rata-rata panggilan yang aku terima adalah memohon tetapan untuk penggunaan internet. Kalau korang dilahirkan di penghujung 90-an, mungkin korang sukar membayangkan apa itu tetapan internet.

Zaman itu adalah zaman Iphone dan Blackberry. Ini adalah dua jenis telefon yang tidak memerlukan tetapan dari telco sebaliknya bergantung pada model telefon yang digunakan. Manakala handphone lain seperti Samsung, Nokia, atau Sony, penggunanya perlu meminta tetapan untuk membolehkan mereka melayari internet.

Meski tetapan boleh didapatkan secara percuma sendiri, adakala pengguna perlu mendapatkan bantuan dari Customer Service, terutama apabila mereka mendapatkan tetapan lebih dari limit yang telah ditetapkan.

Jadi suatu hari, aku menerima panggilan dari seorang pengguna yang memerlukan tetapan ini. Sempat mengerling maklumat si pengguna yang sebaya adik aku yang berjarak lima tahun, aku layan saja panggilan seperti biasa.

Di penghujung perbualan, aku bertanyakan soalan sepertimana kehendak skrip.

"Ada apa-apa lagi boleh saya bantu?" Dengan tona suara penuh skema.

"Aah, ya. Macamana eh kalau saya nak cakap dengan awak lagi?" Intonasinya kedengaran sedikit nakal.

"Boleh encik, takde masalah. Encik boleh hubungi kami di 1300820120 pada setiap hari jam 8.00 pagi hingga 2.00 pagi (waktu operasi pada waktu itu lah, sekarang ni semuanya dah 24jam rasanya)." 

Harap maklum bahawasanya aku tuturkan ayat tersebut sambil kuntumkan senyuman semanis mungkin.

"Eh taklah, maksud saya macamana kalau saya nak cakap dengan awak jugak?" Sambungnya, masih mencuba nasib.

"Boleh encik, takde masalah. Encik boleh minta untuk bercakap dengan saya, saya akan hubungi encik semula," Kata aku, kali ini dengan senyum yang lebih lebar sambil menahan gelak supaya tidak meletus.

Dik, kau sebaya adik akak je dik.

"Taklah... maksud saya, saya nak nombor telefon awak lah, nombor handphone personal awak," Ujarnya dengan lebih tegas dan jelas. Ada sedikit bunyi bengang di situ.

"Maaf ya encik, panggilan ini direkodkan ya." Ayat penyelamat dalam banyak situasi.

"Hmphh! Patutlah awak cakap pun pelik je!" Suaranya naik seoktaf, siap pakej dengusan.

Tanpa sempat aku ucapkan kata-kata selamat tinggal, dia matikan talian.

Panggilan seterusnya masuk dan aku sambut dengan gelak yang terpaksa ditangguhkan.

Jumaat, 29 Mac 2019

Dosa Semalam

Semester kedua di Kuala Lumpur, aku memilih untuk tinggal di rumah sewa, yang jaraknya kira-kira sepuluh minit dari universiti. Tinggal bersama lapan yang lain di sebuah rumah tiga bilik dengan satu bilik air.

Bagaimanapun konflik bermula sebaik sahaja kami bersembilan berkumpul dan ia berkesudahan dengan seorang dari kami menarik diri. 

Lalu bermulalah kisah lapan gadis tinggal bersama. 

Hakikatnya, teman sebilik atau serumah boleh menjadi kawan, sebaliknya kawan tidak semestinya boleh menjadi teman sebilik atau serumah. Silap langkah, persahabatan jadi taruhan.

Kira-kira setengah tahun kemudian, seorang lagi memilih untuk keluar dari rumah tersebut. Dan jujurnya keadaan mulai semakin merosot selepas itu. Sehinggalah aku bernekad, tidak akan ada lagi yang keluar dari rumah itu, dan sekiranya ada, orang itu adalah aku.

Beberapa konflik berlaku, salah satu yang terbesarnya apabila sikap concern yang aku sangka tidak apa-apa, rupanya disalah erti oleh salah seorang teman serumah. Bak setitis nila yang tumpah ke susu, birunya merebak dengan cepat.

Kemuncaknya, aku dipulaukan.

Enggan mengalah, aku masih terus mencuba. Dan usaha terakhir adalah aku meminta kami semua berkumpul untuk sesi berterus-terang sejujur hati, usai sahur pada suatu pagi Ramadhan.

Mendung seakan berlalu, kami berjanji untuk menerima masing-masing seadanya. 

Pun begitu, persis lagu Slam, gerimis muncul di tengahari. Aku kuyup keseorangan di waktu yang lain berteduhan di bawah bayangan payung berwarna-warni, berdiri memerhatikan aku.

Aku putuskan cukuplah di situ. 

Aku keluar dari rumah itu.

Jujurnya ia cukup memeritkan. Tak siapa tahu, dan tak pernah siapa sudi mahu ambil tahu.

Lebih malang, persahabatan dengan sebahagian mereka juga hancur terus. 

Malang lagi? Ya, aku juga dipulaukan dan menerima jelingan serta pandangan aneh dari teman seuniversiti yang lain, yang seratus peratus hanya mendengar cerita dari versi di rumah sewa.

Terus terang, aku pernah berkira-kira untuk menangguhkan pelajaran, atau berhenti sahaja dari belajar supaya tak ketemuan lagi dengan mereka, dan ikhlasnya, tekanan yang aku rasakan bukanlah sedikit.



------



Walau aku percaya mereka melakukan kesilapan, tapi aku tidak pernah mendengar kata maaf dari mereka. Dan aku juga tak pernah secara sukarela mahu memaafkan mereka.

Melupakan, tapi tanpa kerelaan atau keredaan.

Meski aku yakin aku bukan aku yang hari ini tanpa berlakunya kejadian ini, tapi jauh di dalam hati, masih ada luka yang adakalanya masih berdenyut sakit.

Ego seorang aku.




------


Apa perasaan aku bila aku dapati teman serumah yang kedua keluar dari rumah sewa tersebut, langsung tidak pernah bercerita yang tidak-tidak kepada orang lain?

(Walau aku juga melakukan perkara yang sama - tidak ada dari kalangan teman seuniversiti yang benar-benar tahu apa yang berlaku memandangkan tidak ada yang benar-benar berani bertanyakan hal itu.)

Teman serumah yang keluar lebih awal itu, aku yakin aku ada melakukan kesilapan terhadapnya, dan aku yakin juga yang aku tak pernah ungkapkan kata maaf padanya.

Justeru, apa beza seorang aku yang ini dengan mereka itu?



-----


Ia pahit, tapi aku kira ini adalah pembalasan tunai untuk aku.



-----


Mengapa aku nukilkan semua ini di laman public yang boleh diakses oleh sesiapa sahaja?
Kerana aku mahu katakan ini.

------

Kawan-kawan,

Pagi itu waktu kita bertujuh duduk bersila membentuk halaqah, bahang terasa di mana-mana. Dari tepi, kiri dan kanan, malah depan dan belakang.

Aku hanya seorang, dan kalian berenam. 

Walau terasa peritnya berhadapan dengan kerling tajam dan pandangan penuh kebencian, dari wajah-wajah yang aku anggap sahabat, namun apa yang aku katakan pada pagi itu, itulah kebenaran.

Saat berkeputusan untuk tinggal bersama, aku menerima kalian adanya. Walau ada ulah yang sesekali menjentik rasa, aku tidak ambil hati lama-lama kerana aku mahu bersama kalian hingga tamat pengajian. 

Khilaf seorang aku ialah dengan menyangka aku juga diterima adanya aku. Lalu aku betah menunjukkan diri yang sebenar. Dan aku kira di situlah bermula segalanya.

Kalian meragui kata-kata seorang aku, tapi begitulah. Kenyataan takkan berubah, walau berapa kali ombak datang menerjah pasiran pantai. 

Aku memang seorang yang lantang dengan pandanganku, hingga jarang yang menyedari aku juga seorang yang sangat menghargai sahabat dan persahabatan.

Persahabatan selalu punyai kedudukan yang cukup istimewa dalam hidup aku, justeru kejadian itu amat memberi kesan. 





-----



Hal ni ternampak kecil sekarang, setelah lebih sepuluh tahun berlalu. Kita semua sudah semakin matang, sudah ada keluarga dan kehidupan masing-masing.

Andai antara kalian terbaca tulisan ini, tak ada apa-apa yang perlu dilakukan. Aku sekadar bercerita.







P/S: Sahabat.


Isnin, 4 Februari 2019

Cinta Tanpa Syarat

Kata orang, kasih sayang ibu bapa dan keluarga tak berpenghujung. Tiada permulaan dan tiada penamat.

Justeru bila kali pertama mengetahui adanya sebuah nyawa yang sedang membesar dalam rahim, aku membayangkan satu limpahan rasa sayang. Bagaimanapun jujurnya hanya rasa tergamam dan terkejut menyapa tatkala melihat dua garis merah jambu pada alat uji kehamilan.

Pun begitu, kali pertama melihat hasil imbasan ketika ia berusia kira-kira 10-12 minggu, hati tiba-tiba rasa dipenuhi rasa teruja, diikuti rasa gembira. Aku kira itu rasanya bila jatuh cinta pandang pertama.

Kali pertama memulakan perbualan dengan si kecil yang masih membesar dalam kandungan, meski rasa kekok itu menebal, lama kelamaan ia jadi makin menyeronokkan. Kerap juga tertawa sendiri apabila ia menendang manja bila waktu kerja hampir tamat.

Kini si kecil tu masih kecil, tetapi sudah mulaib bijak memandangkan pengalamannya hidup di dunia luar sudah pun hampir mencecah empat tahun.

Dan sekali lagi rasa terkesima, apabila aku dapati bukan hanya kasih sayang ibu dan ayah yang tidak bertepi, tapi juga kasih seorang anak kecil.

Mungkin apabila dia makin membesar, rasa kasih itu akan makin terbahagi, kerana ibu bapa bukan lagi satu-satunya dalam hidupnya, akan ada kawan-kawan, guru-guru, dan macam-macam lagi.

Tetapi buat masa sekarang, aku hanya ingin menikmati indah cinta tanpa syarat seorang anak kecil.

Khamis, 31 Januari 2019

STJM: 10 Minggu

Intermittent Fasting (IF).

Aku mulakan IF pada 18/11/18. Tarikh pun cantik kan, haha.

Tiga minggu pertama angka pada penimbang memang menurun. Hampir 2kg dalam masa hanya sesekejap itu.

Bagaimanapun angka itu mulai meningkat semula bagaimanapun tidaklah kembali ke asal sebermulanya ia. Dan meski agak kecewa tetapi dek mula terbiasa dengan pola pemakanan yang baru, aku teruskan sahaja.

Dan rasanya sepanjang tempoh sepuluh minggu ini aku hanya kecundang sehari atau dua, selebihnya aku kira aku agak berjaya.

Jajan kadang aku hadap juga.
Kerepek pun sesekali sekeping dua aku capai.
Minuman ringan adalah seteguk aku sisip, itu pun terasa perubahan pada tekak yang dah mulai bijak merasakan minuman sebegitu terlalu manis.
Makanan segera memang ada juga, kadang kala.

Setelah sepuluh minggu, rasanya aku kembali mampu menyarung sehelai blaus yang sengaja aku simpan. Blaus yang aku beli beberapa hari sebelum akad nikah hampir lima tahun dulu sebetulnya cukup longgar dengan potongan kembang di bawah.

Bagaimanapun beberapa bulan lepas aku tergamam apabila mendapati aku tak ubah nangka disarungkan kain batik tatkala suka-suka mencuba.

Dari situ aku dapati aku perlu kembali ke asal. Sekurang-kurangnya untuk kesihatan.

Alhamdulillah, walau hanya sekilo yang hilang (0.9kg setepatnya, hahaha), tapi kemampuan menyarung semula baju-baju lama, adalah juga satu kejayaan yang manis.

Selasa, 22 Januari 2019

STJM: Tak Hidup Dipuja Tak Mati Dikeji

Kau muda, berkerjaya di bandar atau di ibu kota, berkereta buatan luar negara, punya rumah meski masih milik bank, punya suami yang juga makan gaji, punya juga anak sepasang yang keduanya dihantar ke rumah pengasuh yang dibayar bulanan; lalu sempurnalah engkau di mata masyarakat.

Maka selalulah nama kau meniti di bibir makcik dan pakcik sama ada saudara mara atau langsung tiada hubungan darah, sebagai satu contoh yang mesti diikuti. Suatu kejayaan yang indah dan manis.

Manakala seorang engkau yang lain pula, bekerja sendiri, apa saja pekerjaan yang dilakukan - menjahit, berniaga di dalam talian, membuat khidmat percetakan, katering, atau apa saja - yang membawa erti tiada usaha maka tiadalah rezeki, justeru masyarakat akan pakat-pakat menggeleng kepala beramai-ramai sambil meluahkan keluhan mencari-cari di mana kesilapan engkau yang ini hingga terpaksa bersusah-payah mengerah keringat demi mencari sesuap rezeki yang halal.

Apatah lagi bila engkau hanya punya anak seorang, atau punya anak dua tapi keduanya sama jantina, atau punya anak tetapi menghadapi masalah kesihatan, engkau semakin jauh dari skala sebuah kejayaan yang sempurna, indah, lagi manis.

Seolah kehidupan engkau-engkau yang taklah panjang mana ini semata-mata mahu memuaskan hati dan nafsu para masyarakat sebegini.

Engkau-engkau di luar sana, masih mahu tunduk patuh pada masyarakat bak sekam ni? Ternampak menarik dari jauh tapi panas membahang apabila mendekat.

Atau, mahu pejamkan mata dan pekakkan telinga, lalu sambut tangan seorang aku, dan mulai hidup untuk diri sendiri?

Yuk, ganding bahu bersama.

Hidup tak lama. Sudah tujuh tahun aku lewati suku abad dan aku sudah penat memaksa diri tersenyum saat hati rasa rawan, sudah lelah pura-pura tertawa waktu jiwa rasa ngilu, dan tak larat lagi buat-buat mesra bila hakikatnya tidak.

Siapa sahaja masyarakat itu, aku mohon diri.

Ini hidup yang dipinjamkan buat aku, justeru coraknya biar aku yang tentukan. Selagimana nadanya tak menyimpang dari Pemiliknya, aku pinta kau, kau, dan kau, minggir dari jalan aku.

Kerana pahitnya ubat sering aku telan sendiri, dan duri yang terpijak di kaki hingga membusuk jadi nanah pun aku hadap sendiri-sendiri, lalu engkau muncul begitu sahaja bila saja jalan penuh semak sudah terlihat lorongnya.

Justeru aku mohon maaf, langkah yang meski masih beberapa tapak ini akan aku teruskan. Walau masih bertatih tapi kau tak pernah tahu bagaimana aku hampir putus nafas bergelumang dalam lumpur hingga tangan tercapai tali kontot lalu berdiri semula dalam susah payah.

Maaf aku tak mahu menoleh.



Khamis, 17 Januari 2019

Spa VS Tradisional

Mazeed Home Massage menawarkan perkhidmatan urutan seluruh badan ke lokasi/rumah anda.

Urutan yang berkonsepkan kombinasi urut tradisional dan urutan ala spa ini meliputi:

1- Kejang betis
2- Lenguh lengan
3- Tegang bahu
4- Lenguh pinggang
5- Gastrik
6- Bengkak susu
7- Sengkak rahim
8- Urutan kegel

Setiap sesi urutan yang memakan masa kira-kira dua jam sehingga dua jam setengah ini kemudiannya diakhiri dengan regangan tasak.

Bermottokan "Nikmat Sekarang Lega Kemudian", Mazeed Home Massage menggabungkan teknik urutan yang  menenangkan dalam masa yang sama masih mampu memberi kelegaan usai setiap sesi. Justeru, minyak aromaterapi bauan lavender digunakan dalam setiap sesi urutan.

Dengan semua di atas caj yang dikenakan cukup berbaloi iaitu hanya RM55 untuk setiap sesi tidak termasuk kos pengangkutan.

Terletak di Bukit Tinggi, Klang, Mazeed Home Massage betah ke mana-mana lokasi sekitar Kuala Lumpur/Selangor seperti Sentul, Selayang, Pantai Dalam, Bangsar, Subang, dan Shah Alam.

Untuk keselesaan, waktu operasi juga seawal 9 pagi (bergantung kepada lokasi) sehingga 10 malam (sesi terakhir bermula usai solat maghrib) dari Isnin sehingga Ahad termasuk pada cuti umum.

Sebarang pertanyaan atau tempahan sesi boleh terus ke talian 013-6293240.

Selasa, 8 Januari 2019

Mazeed Home Massage

Mazeed Home Massage ialah konsep urutan ke tempat anda.

Caj untuk setiap sesi ialah RM55 dan ia tidak termasuk caj pengangkutan (Mazeed Home Massage menggunakan perkhidmatan awam - LRT/KTM/MRT dan Grab).

Tempoh setiap sesi adalah kira-kira dua jam atau lebih. 

Sesi urutan menggunakan minyak aromaterapi ini meliputi seluruh badan bermula dari regangan, kepada bahagian tapak kaki, betis, peha, pinggang, lengan, membawa kepada tapak tangan, seterusnya urutan manja di bahagian muka, leher, dan kepala.

Juga ada urutan sengkak rahim dan urutan di bahagian perut bagi yang mahu. 

Urutan kemudiannya akan berakhir dengan sesi regangan.

Mazeed Home Massage berlokasi di Bukit Tinggi, Klang, namun kami juga menerima tempahan di sekitar Kuala Lumpur/Selangor juga seperti Selayang, Sentul, Bangsar, Pantai Dalam, Cheras, Teluk Panglima Garang, dan Shah Alam.

Tempahan boleh dilakukan seawal sehari sebelum menerusi Whatsapp/Telegram. 

Perkhidmatan kami disediakan pada setiap hari (sesi terakhir pada pukul 8.00 malam dengan terma dan syarat).




P/S: Mazeed Home Massage boleh dihubungi di talian 0136293240.