Amaran: Ini sebuah entry yang panjang. Aku tulis pada Mei 2021. Namun kekal sebagai draf.
Hari ini, aku ketemu sedikit rasa yakin untuk menekan butang publish.
Ia hanya sebuah kenangan. Itu sahaja.
---
Tiga belas tahun. Seratus lima puluh enam bulan. Lima puluh enam ribu sembilan ratus empat puluh hari tidak termasuk lebihan hari di tahun-tahun lompat dalam tempoh itu.
................................
Jika orang lain mempunyai pelbagai pahit maung dikecewakan kaum berlainan atas nama kasih, sayang, dan cinta, aku pula hanya ada satu kisah.
Persahabatan.
Aku selalu merasakan hidup aku agak kelakar - sentiasa teruji dengan sahabat dan persahabatan. Sama jenis, sama kaum, dan sama jantina. Tidak ada unsur-unsur teman-tapi-mesra.
Meski aku dikenali sebagai seorang yang agak peramah dan seorang ambivert yang lebih cenderung ke arah extrovert, ironinya aku seorang pemendam dan sangat pendiam semasa kecil. Justeru aku cukup gemar menulis.
Inspirasi penulisan aku berubah-ubah sehinggalah semasa di tingkatan empat, inspirasi aku lebih bertumpu kepada seorang teman yang memanggil aku sebagai kakak - hanya kerana aku lebih tua setahun.
Kami boleh dikatakan teman rapat, sering berkunjung ke rumah masing-masing, sehinggalah aku berjaya menempatkan diri di sebuah asasi selepas SPM. Manakala sahabat ini menyambung pelajaran ke tingkatan enam.
Aku kira hanya kurang sebulan, sahabat ini kemudiannya bertemu kekasih hati. Dan sebaik sahaja status ini bertukar, beliau dengan tega meminta aku berhenti menghubunginya, kerana masanya kini hanya untuk teman lelaki.
Dua tahun keakraban kami berkecai begitu sahaja.
Sahabat ini malah beberapa kali menekankan bahawa dia tidak pernah ikhlas dalam persahabatan kami.
Aku mati kata pastinya. Dan dari itu jujurnya aku berhenti menulis. Berhenti berpuisi. Malah, aku berhenti untuk terus bersahabat.
Di asasi itu, tidak ada sesiapa yang mengenali aku. Maka tidak akan ada siapa mampu mengesahkan kenyataan ini.
Dua tahun di asasi, aku menyarung perwatakan yang jelas bercanggah dari aku yang sebelumnya. Kesempatan jarak rumah yang dekat dengan asasi membolehkan aku sentiasa menjarakkan diri dengan kawan-kawan lain.
Di asasi, aku dikenali sebagai seorang pembangkang. Seorang yang gemar membelakangkan keputusan majoriti. Seorang yang sentiasa mempunyai cadangan bertentangan dengan usul yang asal.
Pun begitu, aku masih membenarkan sesetengah golongan mengambil kesempatan terhadap aku. Dan ibarat drama, aku pernah santai bersandar di dinding, mendengar kawan-kawan sekelas bercakap yang buruk-buruk tentang aku. Menariknya, wajah-wajah yang sama akan tersenyum penuh mesra sebaik bertemu.
Hingga kini, aku sentiasa berhati-hati dengan wajah-wajah itu.
Dengan semua yang terjadi, aku kira aku sudah cukup mengutip pengalaman hidup untuk mendepani bermacam ujian lain. Rupanya aku silap.
Kesilapan itu bermula apabila aku terleka. Terpesona dengan percikan indah bunga api sekam, terlupa di dasarnya ada marak nyalaan yang boleh membinasakan. Lalu jadilah aku sang kelkatu yang kealpaan - terbang terus mendekat menghulur nyawa.
Ia bermula dengan sebuah kepercayaan yang aku pasak. Semester kedua aku memilih untuk tinggal di rumah sewa bersama lapan yang lain.
Proses mencari rumah dan seangkatan dengannya boleh dikatakan aku yang uruskan, bersama seorang senior tahun akhir yang juga merupakan kawan sekampung.
Yang lain, hanya menyerahkan hal itu kepada aku.
Setelah bersusah-payah, akhirnya kami bersembilan berjaya memulakan semester kedua sebagai housemates.
Aku melangkah masuk ke rumah flat itu dengan tekad untuk berada di situ sehingga tamat pengajian. Dengan hati yang bersedia menerima sahabat-sahabat lain sebagai teman serumah.
Tapi panas yang aku harap hingga ke petang, rupanya hujan lebat di tengahari. Belum beberapa hari kami berada di situ, sudah ada konflik sehingga menyebabkan salah seorang menarik diri.
Satu semester kemudian, seorang lagi keluar dari rumah itu.
Sejak itu aku semakin terasa bahang. Seolah-olah akan ada lagi yang perlu keluar dari rumah itu. Dalam diam aku sudah memasang pasak, tidak akan ada lagi yang menapak keluar dari situ, dan jika terpaksa, orang itu adalah aku.
-------------
Ini kisah tiga belas tahun dulu. Yang kekal menjadi parut dalam kenangan. Ingatan yang selalu mencalar.
Ia tiada kesudahan. Tiada penamat wajar bak sebuah novel, atau sebuah drama.
Tiada yang pernah sudi bertanya tentang ini.
Hanya seorang. Yang aku juga tidak pasti bagaimana tiba-tiba ikatan antara kami seutuh ini.
Itu adalah kali pertama aku bercerita tentang ini kepada seseorang. Kali pertama bercakap tentangnya tanpa ada sebak yang mencengkam.
Selama tempoh ini, peristiwa itu selalu berjaya membuat aku penasaran. Meski aku akui, aku bukan aku yang sekarang sekiranya ia tidak terjadi. Ia adalah titik tolak perubahan besar yang aku lakukan.
Cuma, ia kekal sebuah pengajaran paling pahit.
Bagaimana seseorang boleh berubah hanya kerana sebuah kisah yang tidak pasti benarnya.
Bagaimana seseorang boleh membenci hanya mendengar kisah dari satu pihak.
Bagaimana sepasang mata yang selalu redup boleh menjeling tajam. Dan jelingan penuh kebencian itu selalu menghantui, selalu menyakitkan, selalu melukakan. Rasa yang sama - benar-benar rasa sakit yang sama - setiapkali kerling tajam itu hadir di ingatan.
------
Masih membaca?
Ini kisah cringe, aku akui.
Jika kisah ini aku panjangkan ke IIUM mungkin, aku kira lewat komen-komen pasti ada yang menyuruh aku move on, bersabar, abaikan, dan lupakan.
Kata orang lama-lama, tempat jatuh pun dikenang, apalagi tempat yang merubah seluruh kehidupan.
Aku akan sentiasa mengenang. Kerana tatkala mereka kekal sesama mereka, aku juga menapak, walau awalnya kekok dan bertatih. Memulakan persahabatan baru. Menikmati hidup dari sudut yang berbeza. Malah jalan kami jarang ketemu. Jika ada titik persamaan, aku hanya pekakkan telinga dan butakan mata.
Aku hanya ingin nukilkan kisah ini di laman ini.
Halaqah yang bulat itu akan kekal dalam ingatan.
Mata redup yang mengerling sambil tangan memeluk lutut itu juga akan segar dalam kenangan.
Malah senyum sinis yang tersungging itu juga, masih terlihat.
Aku tidak lupa.
Tenang. Ini bukan bicara sebuah dendam. Si Penambahan ini bukanlah berbahu bidang untuk memikul dendam tiga belas tahun.
Cuma, aku tidak lupa.
Sebelum ada yang mahu menasihatkan supaya memaafkan meski enggan melupakan, ketahuilah hal ini.
Tidak semua kenangan itu muluk. Dan apa sahaja bentuk kenangan itu, ia adalah sebahagian dari aku.
Dan bukanlah aku sengaja mengenang-ngenang. Ia bergelintar di situ, dijemput tidak dipelawa pun bukan.
Memaafkan?
Malangnya aku tidak punya pilihan ini, maaf.
Kerana untuk memaafkan, sekurang-kurangnya perlu ada kekesalan. Tetapi, aku tak pernah melihat ini di wajah-wajah mereka.